Honda Civic generasi ke-11 didedahkan dalam bentuk prototaip – tunjuk rekaan luar & dalam lebih matang

Honda Civic generasi ke-11 didedahkan dalam bentuk prototaip – tunjuk rekaan luar & dalam lebih matang

Tuan-tuan dan puan-puan, memperkenalkan, ini Honda Civic generasi ke-11! Seperti yang diumumkan tempoh hari, ia masih dalam versi prototaip. Namun jika di lihat pendedahan-pendedahan model-model baharu Honda sebelum ini, ‘prototaip’ yang dimaksudkan ini adalah prototaip akhir yang hampir sama sepenuhnya dengan versi produksi sebenar nanti.

Menurut Honda, Civic generasi ke-11 ini akan mula dijual pada lewat musim bunga 2021 nanti sebagai model 2022. Jadi rekaan akhir sebenar mungkin akan didedahkan dalam masa berberapa bulan lagi. Model prototaip yang didedahkan kali ini adalah dari versi sedan, dan model generasi baharu ini turut akan tampil dalam versi hatchback. Model-model berprestasi tinggi turut tidak ketinggalan, di mana ia juga bakal tampil dengan lencana Si dan Type R.

Berbanding dengan Civic FC sedia ada, model generasi baharu ini dihasilkan dengan bentuk lebih matang, kurang elemen-elemen seperti robot Gundam, dan ia nampak lebih elegen seperti model-model Eropah dalam masa yang sama masih menampilkan rupa sebuah sedan segmen-C yang sporty.

Muka Civic ini masih diberikan gril signatur Solid Wing Honda, tetapi ia dihasilkan lebih nipis bersama jalur-jalur melintang dalam kemasan hitam. Ia digandingkan dengan lampu depan yang juga lebih tirus, bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-L.

Honda Civic generasi ke-11 didedahkan dalam bentuk prototaip – tunjuk rekaan luar & dalam lebih matang

Bampar hadapan Civic generasi baharu ini juga nampak jauh berbeza dari Civic FC. Tiada lagi liang kemasukan udara palsu yang besar pada kedua-dua sisi, dan ia hanya menampilkan kemasan berbentuk-C berwarna hitam, bersama gril bawah tengah yang besar juga dalam kemasan hitam.

Pada profil sisi, bayangan badan Civic ini seakan Honda Accord generasi sedia ada, tetapi dalam skala lebih kecil. Bukan sahaja bentuk, malah perincian seperti rekaan bentuk lengkuk pada tiang-C serta pintu penutup lubang tangki bahan api juga menampilkan rupa yang sama seperti Accord.

But belakang Civic generasi baharu ini dihasilkan dengan bentuk lentik seperti diberikan spoiler ekor itik – juga satu lagi rekaan yang disalin dari Accord. Lampu ‘sepit ketam’ pada FC hilang terus, dan digantikan dengan lampu lebih melintang lurus, bersama grafik jalur LED berbentuk-L, membuatkan ia seakan sebuah kereta rekaan jenama Eropah.

Rekaan belakang Civic ini dilengkapkan dengan bampar yang direka jauh lebih ringkas dan tidak ‘sibuk’ seperti pada Civic FC. Ia hanya menampilkan sepasang reflektor yang sangat nipis, bersama kemasan ringkas berwarna hitam disekeliling tip ekzos oval di kiri dan kanan.

Honda masih belum mendedahkan gambar sebenar bahagian dalaman Civic ini, dan hanya menyiarkan lakaran kabin hadapannya. Seperti yang boleh anda lihat, konsep minimalis turut diberikan pada bahagian dalaman ini.

Papan pemuka Civic baru ini sangat ringkas – tiada elemen seperti kapal angkasa pada Civic FC, dan ia hanya menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa.

Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas. Suis larasan fizikal untuk sistem pendingin hawa pula diletakkan di tingkat bawah papan pemuka ini.

Honda Civic generasi ke-11 didedahkan dalam bentuk prototaip – tunjuk rekaan luar & dalam lebih matang

Rekaan yang ringkas ini nampaknya membolehkan Honda memberikan ruang storan lebih besar pada panel tengah yang bersambung dengan konsol gear, di mana ia turut menempatkan dua pemegang cawan serta suis brek parkir elektronik. Model generasi baharu ini turut menerima paparan meter digital, bersama roda stereng baharu dengan jejari pukul tiga dan sembilan yang lebih nipis dan tegak.

Tiada sebarang spesifikasi mekanikal didedahkan. Namun Honda ada mengumumkan bahawa Honda Civic generasi ke-11 ini akan dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan Honda Safety Sense yang ditingkat taraf, struktur badan Advanced Compatibility Engineering (ACE) yang memberikan lebih perlindungan kepada penumpang dan pejalan kaki ketika berlaku kemalangan.

Honda turut menyatakan bahawa struktur badan Civic generasi baharu ini dihasilkan lebih tegar, bagi menawarkan kualiti pemanduan yang lebih diperhalusi serta pengendalian yang sporty. Jadi apa pendapat anda dengan Civic baharu ini? Rasa teruja dengan imej yang lebih matang, atau lebih suka gaya sebelum ini?


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required