Rasanya Honda Civic generasi ke-10 masih lagi baru dalam pasaran, dan momentum yang dibawa oleh ‘Civic Ketam’ tersebut masih lagi kuat. Namun hakikatnya model ini sudah pun mula diperkenalkan pada tahun 2015 (masuk ke pasaran Malaysia pada 2016), dan kini berada pada tahun kelima produksinya.

Seperti model-model dari jenama Jepun lain yang lazimnya hanya berada enam tahun dalam pasaran, tahun hadapan sepatutnya Civic akan diperkenalkan dalam versi generasi baharu. Nampaknya Honda berada betul-betul dalam landasannya, dan teaser untuk model prototaip tersebut sudah pun disiarkan, dengan pengumuman bahawa pendedahan sulung globalnya akan dibuat pada 17 Nov 2020 nanti!

Walaupun ia dinamakan ‘prototaip’ dengan perincian yang nampak seperti sebuah model produksi akhir seperti pada rim, lampu-lampu, pembuka pintu, cermin sisi dan sebagainya, boleh diagak versi produksi sebenarnya tidak jauh dari versi ini, sama seperti model prototaip akhir yang didedahkan Honda akhir-akhir ini, contohnya pada Honda Insight Prototype.

Bulan lalu, gambar paten untuk model generasi baharu ini sebenarnya telah pun bocor, dan dapat dilihat ia akan dihasilkan dalam dua versi badan iaitu sedan dan hatchback. Dalam video teaser selama 15-saat ini dapat disahkan bahawa ia akan diperkenalkan dalam versi sedan terlebih dahulu.

Juga boleh dilihat, elemen-elemen utama seperti bayang badan dengan tiang-C seakan Accord, gril Solid Wing Honda yang lebih nipis bersama lampu lebih tajam, serta lampu belakang lebih tirus dan tiada lagi imej ‘sepit ketam’ yang sama seperti lukisan paten berkenaan tampil pada model prototaip ini.

Tiada sebarang bayangan bahagian dalaman disiarkan pada video teaser berkenaan. Namun jika berdasarkan lukisan paten yang bocor sebelum ini, Civic akan menerima papan pemuka rekaan baru yang sangat berbeza serta skrin sistem infotainmen kini terletak di bahagian atas sekali serta diasingkan daripada pengawal pendingin hawa.

Di antara keduanya terdapat corong pendingin hawa yang nipis, dan ia diletakkan dalam satu garis lurus yang bersambung sehingga kepada corong pendingin hawa di bucu. Perubahan lain yang boleh diperhatikan adalah butang penghidup enjin kini diletakkan berhampiran konsol tengah dan bentuk perumah panel instrumen dihasilkan lebih ringkas.

Bentuk roda stereng juga diubah sepenuhnya dan kini lebih mirip seperti City terbaru, dengan bentuk heksagon di tengah dan mempunyai empat jejari. Butang yang berada pada stereng ini nampak seperti sama sahaja dengan yang digunakan pada City, tetapi di bahagian kiri terdapat satu butang skrol yang masih tidak diketahui fungsinya.

Nak tahu bagaimana rupa sebenar Honda Civic generasi ke-11 ini? Jangan lupa 17 November nanti di mana kami akan menyediakan laporan secepat mungkin sebaik sahaja perinciannya didedahkan secara rasmi.

GALERI: Gambar paten Honda Civic generasi ke-11 yang bocor