Honda Civic generasi ke-11 – gambar paten terdedah

Honda Civic generasi ke-11 – gambar paten terdedah

Honda Civic FC generasi kesepuluh yang berada dalam pasaran sekarang sudah diperkenalkan sejak lima tahun dulu, dan sekarang kita boleh menjangka ketibaan model serba baru. Ia bukanlah lagi rahsia kerana spyshot Civic generasi ke-11 sudah boleh dilihat waktu ia diuji di Thailand dan juga Eropah.

Walaupun gambar spyshot ini dapat memberikan kita gambaran bagaimana rupa asas Civic baru, pelekat samaran yang diguna walaubagaimanapun sedikit menyembunyikan bentuk sebenarnya. Kini, imej paten pula terdedah, diambil daripada IP Australian (1, 2) dan ditemui oleh forum Civic11 dan Civic XI.

Ada dua set imej yang tersebar, dengan satu daripadanya adalah versi sedan dan satu lagi versi hatchback. Dua bentuk badan ini sudah memang digunakan pada Civic generasi kesepuluh, tetapi terdapat khabar bahawa Honda tidak akan mengeluarkan versi coupe.

Bermula dengan versi sedan, kita masih dapat melihat muka yang tidak lari jauh, dan ia masih menggunakan gril Solid Wing Face dan diapit dengan lampu utama yang direka semula bersama lampu DRL. Bahagian bawah bampar juga sedikit berlainan dengan bukaan udara di bucu diasingkan daripada bahagian tengah.

Apabila dilihat dari tepi, bahagian A-pillar Civic baru ini nampak lebih tegak, bersama profail bentuk badan yang lebih menghampiri Accord. Malah, garis tingkap juga sudah lebih seperti model segmen D itu, dan anda boleh melihatnya pada bahagian atas tempat mengisi minyak yang dinaikkan.

Pada bahagian belakang, lampu berbentuk C yang membuatkan ia dipanggil sebagai “Civic ketam” telah diganti dengan unit yang lebih tajam. Anda juga boleh melihat bahagian but dipanjangkan lagi sementara pemantul cahaya diletakkan lebih tinggi dan bukaan udara (hiasan) dijadikan lebih nipis.

Bagi versi hatchback pula, bahagian hadapannya masih sama seperti versi sedan, tetapi bahagian belakang sudah tentu berbeza. Bentuk lampunya sangat berbeza dan dilengkapkan dengan jalur lampu yang bersambung di tengah. Spoiler di atas cermin yang digunakan pada model sebelum ini juga sudah tiada.

Melalui imej paten ini, jelas sekali Civic akan menerima rombakan yang banyak, tetapi perincian lain seperti platform, teknologi serta penggeraknya masih lagi belum diketahui. Selain enjin petrol dan diesel, kita juga boleh menjangka pilihan hibrid dan PHEV. Beberapa spyshot lain juga memberi kemungkinan kemunculan model prestasi Type R (Civic Type R sebelum ini cuma datang dalam versi hatchback).

Ada laporan yang mengatakan Honda akan mendedahkan Civic generasi ke-11 hujung tahun ini, tetapi tarikh sebenarnya masih belum diketahui. Jadi apa pendapat anda dengan rekaan baru ini? Terlalu sopan? Cukup garang? Atau anda masih rasakan rekaan Civic ketam lebih menarik?

GALERI: Imej paten Honda Civic Sedan generasi ke-11

GALERI: Imej paten Honda Civic Hatchback generasi ke-11

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required