PANDU UJI: Honda Civic 1.5 TC-P 2020 – Prestasi kekal sama, imej luaran bergaya; Masih ngam ho!

PANDU UJI: Honda Civic 1.5 TC-P 2020 – Prestasi kekal sama, imej luaran bergaya; Masih ngam ho!

Honda Civic FC atau generasi ke-10 yang dilancarkan pada tahun 2016 menjadi antara kereta sedan segmen-C yang terlaris di Malaysia. Malahan penawaran enjin 1.5L turbo menjadi daya tarikan, selain mengekalkan unit 1.8L dan menggugurkan model 2.0L dalam barisan Civic FC ini.

Di sini, kelibatnya kerap kelihatan di merata tempat. Olahan gayanya yang boleh dikatakan agak ketara berbanding generasi sebelum ini menjadi tarikan utama mengapa ia menjadi pilihan (dan idaman) ramai. Walau bagaimana pun, ramai juga pemilik Civic FC di sini yang melakukan modifikasi untuk memantapkan lagi gayanya. Tapi kalau sekadar standard sekali pun, Civic FC ini tetap dilihat mempersona.

Selepas empat tahun dilancarkan dan menandakan sudah tiba masanya ia masuk ke pertengahan hayat, Civic FC menerima model facelift versi 2020. Dilancarkan pada Februari 2020 sebelum aktiviti kita semua ‘tergendala’ akibat serangan COVID-19, Civic ini masih kekal sebagai unit pemasangan tempatan (CKD), ditawarkan dengan tiga varian iaitu model asas 1.8 S, spesifikasi pertengahan 1.5 TC dan varian tertinggi 1.5 TC-P.

PANDU UJI: Honda Civic 1.5 TC-P 2020 – Prestasi kekal sama, imej luaran bergaya; Masih ngam ho!

Ia ditawarkan dengan harga dari RM113,600 hingga RM139,600, namun dengan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember ini, harganya turun menjadi RM109k hingga RM135k.

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji varian 1.5 TC-P. Sebenarnya keterujaan untuk memandunya berada di skala sederhana, kerana beberapa kali pernah mengendalikan versi yang sebelum ini. Ini kerana tiada perubahan mekanikal dilakukan, ia masih menggunakan enjin sedia ada L15B7 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder dengan lonjakan kuasa 173 PS dan 220 Nm. Ia turut dilengkapi dengan transmisi CVT, yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

Tapi kita bercerita dahulu mengenai apa pembaharuan dan peningkatan ciri terutamanya imej yang dilakukan terhadap Civic 2020 bagi varian tertinggi ini.

Untuk facelift kali ini, tidak banyak semakan yang dilakukan terhadap luarannya. Boleh dikatakan sekadar perubahan minima. Wajah depannya kini dimantapkan dengan elemen kemasan hitam berkilat pada sambungan “wing” di bahagian grilnya yang menggantikan kemasan krom sebelum ini.

Bahagian bawah bampar depan pula kini diberikan kemasan hitam melintang dan kehadiran spoiler belakang baharu serta roda aloi 18-inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4 235/40 melengkapi gayanya. Ciri baharu yang turut diberikan termasuklah penderia parkir hadapan dan bilah pengelap cermin automatik.

Sebenarnya, kalau tidak diperhatikan betul-betul, model facelift 2020 ini tak banyak beza pun dengan model sebelumnya. Walau bagaimana pun, penambahan beberapa ciri baharu membantu menyuntik kesegaran pada imejnya walau pun pada kadar minima.

PANDU UJI: Honda Civic 1.5 TC-P 2020 – Prestasi kekal sama, imej luaran bergaya; Masih ngam ho!

Menjengah bahagian kabinnya, juga tidak banyak pembaharuan yang ditampilkan. Kini tempat duduk belakang boleh dibaringkan dengan nisbah 60:40. Selain itu unit utama Advanced Display Audio tujuh-inci kini menampilkan tombol kawalan nada suara dan rotary on/off serta butang fungsi fizikal yang lain.

Lain-lain ciri yang masih dikekalkan termasuklah paparan instrument dengan skrin LCD berwarna sepenuhnya,kawalan pendingin hawa dwi-zon, brek parkir elektronik, ruang storan yang tersorok di bawah konsol tengah yang turut menempatkan soket kuasa 12V serta port USB dan HDMI.

Begitu juga dengan roda stereng yang dilengkapi butang pelbagai fungsi, upholstery balutan kulit untuk tempat duduk, cermin pandang belakang anti-silau, pedal penukar gear, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, Remote Engine Start (fungsi yang boleh menghidupkan enjin dan pendingin hawa dalam jarak antara 10 meter), Walk Away Auto Lock (yang boleh mengunci sendiri kenderaan dalam 30 saat, atau jarak kunci lebih dua meter dari kenderaan) serta tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala.

Civic 2020 ini juga masih mengekalkan keselesaan tempat duduknya. Sejak versi 2016, Honda telah mengetengahkan reka bentuk tempat duduk hadapan yang lebar di bawah tetapi mengecil di bahagian atas, secara tidak langsung turut memberikan pandangan hadapan yang lebih optimum buat penumpang di belakang.

Keselesaan yang ditampilkan bukan setakat ketika mengendalikannya, bahkan sebagai penumpang sama ada di hadapan atau duduk di belakang. Malah ruang meletak kaki di bawah tempat duduk hadapan (bagi penumpang belakang) juga sedikit luas kerana kedudukan tempat duduk hadapan ditinggikan sedikit. Malahan lantai dalaman juga lebih rendah tetapi masih tidak sulit untuk urusan keluar-masuk.

Kita beralih pula cerita mengenai prestasi dan pengendaliannya. Penulis berkesempatan memandu ujinya menuju ke Temerloh, Pahang. Untuk kuasa yang disalurkan menerusi enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder, sudah ditahap memuaskan untuk hamburan 171 hp (178 PS) pada 5,500 rpm dan 220 Nm pada 1,700 rpm.

PANDU UJI: Honda Civic 1.5 TC-P 2020 – Prestasi kekal sama, imej luaran bergaya; Masih ngam ho!

Ada yang bertanya, adakah enjin 1.5 liter VTEC turbo ni boleh menyamai unit 1.8 SOHC yang ditampilkan untuk varian Civic 1.8S 2020? Untuk pengetahuan anda, enjin yang dipadankan untuk 1.8S boleh menghasilkan kuasa hingga 141 hp pada 6,500 rpm dan tork puncak 174 Nm pada 4,300 rpm. Daripada angka ini, anda boleh menilai atau membandingkan sendiri, enjin mana yang lebih berkuasa.

Lonjakan kuasa yang dipersembahkan oleh enjin 1.5 VTEC Turbo ini, kalau diikutkan memang menggiurkan. Ia mampu memberikan persembahan yang cemerlang kecuali jika kenderaan baru mula bergerak dan anda terus menekan pedal pendikit untuk kerahan tenaga yang terus memuncak.

Contohnya, jika ingin memotong kenderaan di hadapan, Ketika jentera yang dipandu dalam kelajuan perlahan mahu pun sederhana, dan ingin terus memecut laju, adakalanya terasa enjin dengan transmisi CVT tidak begitu bersatu. Melainkan pemanduan diubah ke pacuan secara manual dengan memilih mod S. Maka pemanduan berubah karakteristik, menjadi lebih sporty dan lebih padu.

PANDU UJI: Honda Civic 1.5 TC-P 2020 – Prestasi kekal sama, imej luaran bergaya; Masih ngam ho!

Kalau anda memandu di lebuhraya, mungkin itulah yang anda mahukan, pemanduan yang lebih sporty dan agresif. Walau tanpa mod S pun, masih boleh memberikan prestasi yang memuaskan (melainkan pada situasi yang saya sebut di atas, iaitu jika kenderaan ingin mencapai kelajuan secara mendadak). Melayan setiap selekoh juga menyeronokkan. Menyerlahkan karakteristik enjin VTEC turbo ini. Kala itu, kuasa pendikitannya memang cukup memberikan responsif yang dikehendaki.

Satu lagi perkara yang wajar dipuji untuk bahagian mekanikal ialah bahagian suspensinya. Kalau melalui permukaan tidak begitu okay termasuk jalan yang beralun, atau pun jalan berlubang, kesan hentakan dan gegarannya terasa agak minima. Sekaligus memberikan keselesaan terhadap pemanduan.

Kalau anda mahu mengetahui cerita lebih mendalam mengenai prestasinya, saya sarankan anda membaca ULASAN PANDU UJI CIVIC 2016 yang ditulis oleh Farid empat tahun yang lalu.

Tapi bagi anda yang mementingkan aspek keselamatan, Civic 2020 ini antara pilihan yang tepat. Kini ia hadir dengan penawaran pakej keselamatan dan teknologi bantuan pemandu Honda Sensing. Ciri berkenaan terdiri daripadanya antaranya Kawalan Melayar Adaptif (ACC) dengan Mengikut Dalam Kelajuan Rendah (LSF), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Menghindar Perlanggaran (CMBS), Sistem Pengekalan Lorong (LKAS), Penghindaran Pertukaran Laluan (RDM) dan Amaran Pertukaran Lorong (LDW). Sekaligus menjadikan Civic 2020 sebagai model ketiga Honda untuk pasaran tempatan yang dilengkapi ciri berkenaan selepas CR-V dan Accord.

Turut disertakan sekali ialah ciri Auto High-Beam (AHB) serta sistem kamera sisi LaneWatch. Lain-lain ciri termasuk enam beg udara, sensor parkir depan, bantuan kestabilan kenderaan (VSA), ABS, EBD, bantuan brek, Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan kamera undur.

Kalau ditanya pada penulis, apa ‘wow factor’ yang ada pada imej Civic 2020 ini? Jawapannya; “Auranya masih sama sewaktu pertama kali melihatnya di hadapan mata dalam sesi pandu uji di Thailand pada 2016. Sejujurnya penulis tidaklah begitu teruja melihat model facelift ini ketika ia pertama kalinya dipertontonkan di Bukit Jalil pada tahun lepas, sebab tak banyak perubahan pun dengan model 2016. Berbanding pertama kali melihatnya di Thailand dulu, yang memang buat hati terus jatuh cinta. Tapi kalau diberi peluang untuk memiliki sebuah sedan, ya Civic ini pasti jadi pilihan.”

Imej luaran sporty, prestasi ngam ho dan harganya juga boleh dikatakan tahap mampu milik, jadi apa mahu lagi? Atau mungkin anda mahu mempertimbangkan pilihan lain termasuk dari pesaingnya sendiri seperti Mazda 3 sedan yang memang ‘sedap’ dikendalikan tapi harga yang lebih tinggi (RM140k-RM160k) atau pun Toyota Corolla Altis (RM129k-RM140k) yang kurang popular di Malaysia tetapi sebenarnya memiliki prestasi yang juga memuaskan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required