Honda Civic Hatchback 2022 didedahkan – pilihan kotak gear manual 6-kelajuan, suspensi lebih sporty

Honda Civic Hatchback 2022 didedahkan – pilihan kotak gear manual 6-kelajuan, suspensi lebih sporty

Selepas versi sedan didedahkan dua bulan lalu, kini Honda Civic generasi ke-11 secara rasmi diperkenalkan pula dalam bentuk badan hatchback. Ia kini sudah tidak lagi diproduksi di UK kerana kerana penutupan kilang Honda di Swindon, sebaliknya dihasilkan di Amerika Syarikat menerusi kilang Honda Greensburg, Indiana.

Amerika Syarikat dan Eropah adalah dua pasaran yang telah disahkan akan menerima Civic Hatchback ini. Jepun yang sebelum ini telahpun menghentikan jualan model sedan Civic, nampaknya terus akan menerima model Hatchback generasi baharu ini.

Seperti generasi sebelum ini, Civic sedan dan Hatchback berkongsi banyak persamaan seperti lampu hadapan, jarak roda dan juga sebahagian besar bahagian kabin. Pada bahagian muka, hatchback masih berkongsi bampar dengan rupa sama dengan versi sedan, tetapi diberikan gril berbeza di mana ia hadir dengan elemen sarang lebah, berbanding rekaan garis melintang pada sedan.

Kerana ketiadaan bahagian ‘punggung’, model Hatchback ini adalah 125 mm lebih pendek dari sedan, serta bahagian tailgate 50 mm lebih rendah yang kelihatan bersambung terus dengan garis bumbung yang lebih anggun. Lampu belakang model ini menampilkan kluster utama dengan rekaan berbeza terus dari sedan, serta merentangi keseluruhan pintu tailgate belakang.

Honda Civic Hatchback 2022 didedahkan – pilihan kotak gear manual 6-kelajuan, suspensi lebih sporty

Bampar model Hatchback ini juga nampak lebih sporty dari Civic sedan dengan menampilkan bahagian kemasan seakan diffuser yang lebih besar. Ia tidak lagi menampilkan tip di tengah seperti Civic Hatchback facelift generasi ke-10, sebaliknya diberikan corong trapezoid di kiri dan kanan bampar dengan kemasan krom sekeliling yang nampak lebih normal.

Dalam kabin, model Hatchback ini turut berkongsi papan pemuka lebih ringkas, serta kemasan dalaman lain yang menggunakan material sentuhan lembut yang lebih premium. Skrin infotainmen utama ditawarkan dalam saiz tujuh- dan sembilan inci, manakala paparan meter untuk pemandu juga ditawarkan dengan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 10.2-inci.

Berbanding model generasi ke-10, Civic Hatchback baharu ini menawarkan ruang kaki belakang 35 mm lebih besar. Bersama cermin belakang yang lebih besar serta cermin suku belakang baharu, ia memberikan suasana lebih luas untuk penumpang belakang.

Angka kapasiti ruang but belakang masih belum diumumkan, namun Honda menyatakan bahawa bukaan pintu tailgate tersebut kini 40 mm lebih lebar bagi memudahkan barang besar dimasukkan pada ruang tersebut. Tempat duduk belakang juga masih boleh dilipat dengan nisbah 60:40, manakala rekaan penutup kargo tarik-tepi masih di bawa pada model generasi baharu ini.

Honda Civic Hatchback 2022 didedahkan – pilihan kotak gear manual 6-kelajuan, suspensi lebih sporty

Pilihan unit rangkaian kuasa mungkin berbeza bergantung pada pasaran. Model pasaran Amerika Syarikat ini menawarkan pilihan rangkaian kuasa yang sama seperti model sedan. Oleh itu, Civic Hatchback LX dan Sport dijana oleh enjin NA 2.0 liter empat silinder DOHC i-VTEC berkuasa 158 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 4,200 rpm.

Manakala model EX-L dan Sport Touring pula menerima enjin lebih berkuasa 1.5 liter VTEC Turbo 180 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hinga 4,500 rpm – 6 hp/20 Nm lebih berkuasa dari model generasi ke-10. Berbeza dengan sedan yang hanya menerima kotak gear CVT, kedua-dua versi enjin pada Hatchback ini turut hadir dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan untuk pemanduan yang lebih sporty.

Pasaran Eropah pula telah disahkan tidak akan menerima mana-mana unit rangkaian kuasa yang dijana oleh petrol sepenuhnya ini. Selari dengan rancangan Honda pada benua berkenaan yang hanya akan menawarkan penjana dengan sistem elektrifikasi, Civic Hatchback Eropah hanya akan menerima model yang digerakkan oleh rangkaian kuasa e-HEV Hybrid.

Honda Civic Hatchback 2022 didedahkan – pilihan kotak gear manual 6-kelajuan, suspensi lebih sporty

Tiada perubahan dibuat pada asas mekanikal sistem suspensi Civic Hatchback ini di mana ia masih menampilkan Topang McPherson di hadapan serta multilink di belakang. Namun Honda menyatakan bahawa suspensi dan stereng untuk Civic Hatchback ini telah “dibangunkan di Eropah, ditala untuk Amerika Utara”. Ia bukan sahaja menampilkan karekter lebih sporty, malah Honda mendakwa bahawa Civic Hatchback 2022 ini merupakan “Civic Hatchback dengan pengendalian paling seronok pernah dihasilkan”.

Untuk keselamatan, Civic Hatchback masih menerima kelengkapan yang sama seperti model sedan. Ia tampil dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang telah ditingkat taraf menampilkan sistem pemanduan autonomi tahap 2 Traffic Jam Assist (TJA) yang memberikan respon lebih lancar serta semula jadi untuk cruise control adaptif serta bantuan pengekal tengah lorong. Manakala di Jepun, hatchback ini juga datang dengan fungsi Adaptive Driving Beam (ADB) yang akan menghalang silau pada mata pemandu lain.

Honda turut mengesahkan bahawa model paling berkuasa, Honda Civic Type R generasi baharu yang diasaskan dari Civic Hatchback ini akan didedahkan pada tahun hadapan. Jadi macam mana Type R baharu nanti? Agaknya lebih menarik rupanya berbanding model FK8R sedia ada, atau akan jadi kurang garang kerana asas Civic baharu ini yang nampak lebih matang?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required