Setiap yang bermula pasti akan berakhir – siap sedia untuk ucapkan selamat tinggal kepada Honda Civic Type R FK8 kerana produksi untuk hot-hatch yang diperkenalkan pada 2017 berkenaan dilaporkan akan berakhir pada akhir Julai 2021 ini.

Menurut portal automotif Australia, Car Advice, Honda Australia mengesahkan bahawa tiada lagi FK8 yang boleh ditempah selepas akhir tahun lalu, walaupun versi facelift 2020 mendapat permintaan yang diluar jangkaan.

Tempahan untuk pelanggan sedia ada akan sampai ke negara berkenaan secara berperingkat-peringkat dari bulan Mei hingga November dari kilang Honda di Swindon, di mana kilang tersebut juga akan ditutup sepenuhnya selepas menyiapkan unit-unit terakhir ini.

Model Type R FK8 ini bakal digantikan dengan versi baharu sepenuhnya yang diasaskan dari hatchback Civic generasi ke-11. Walau bagaimanapun, Type R terakhir yang akan dijana oleh enjin petrol sepenuhnya itu hanya akan muncul pada lewat 2022.

Buat masa sekarang, FK8 adalah Civic Type R terpantas pernah dihasilkan oleh Honda. Ia dijana oleh enjin K20C 2.0 liter VTEC Turbo berkuasa 320 PS/400 Nm yang sama dengan Civic Type R FK2 sebelum itu. Namun dengan sistem suspensi belakang yang menggunakan sistem multilink (hanya torsion beam pada FK2) dan juga pakej aerodinamik yang lebih agresif membolehkan FK8 mencatatkan masa 7 minit 43.8 saat dilitar Nurburgring, 6.83 saat lebih pantas dari Type R FK2.

Rekod tersebut membolehkan Civic Type R FK8 memegang rekod sebagai kereta produksi pacuan hadapan terpantas di litar “The Green Hell” berkenaan, tetapi selepas itu dirampas oleh Renault Megane RS Trophy-R pada Mei 2019 dengan catatan masa 7 minit 40.1 saat.

Walau bagaimanapun, FK8 menerusi model lebih hardcore Civic Type R Limited Edition yang diperkenalkan pada tahun lalu berjaya merampas gelaran kereta produksi pacuan hadapan terpantas di litar Suzuka dari Megane RS Trophy-R (2 minit 25.454 saat) dengan catatan masa 2 minit 23.993 saat.