Honda Civic Type R FK8 paling hardcore setakat ini iaitu versi Limited Edition diumumkan sudah berjaya dinobatkan sebagai kereta produksi pacuan hadapan paling pantas di Litar Suzuka, Jepun setelah mencatatkan rekod lap 2 minit 23.993 saat.

Ini bermakna rekod lap 2 minit 25.454 saat yang dicatatkan oleh Renault Megane RS Trophy-R pada tahun lalu telah berjaya dileburkan oleh Type R Limited ini. Model ini masih dijana oleh enjin 2.0 liter VTEC Turbo berkuasa 320 PS dan tork maksima 400 Nm yang sama seperti model biasa, namun ia kini menerapkan falsafah asal untuk model-model Type R NA seperti Civic Type R EK9 sebelumnya iaitu dihasilkan seringan yang boleh.

Untuk itu, pelbagai perincian telah dicabut dari Type R FK8 Limited Edition antaranya termasuk pengelap cermin belakang, penutup tonneau, skrin infotainmen beserta sistem audio, sistem pendingin hawa bersama saluran pemanas untuk bahagian belakang dan mengurangkan penebat-penebat bunyi.

Honda Civic Type R Limited Edition Suzuka Circuit

Model edisi terhad ini juga diberikan rim 20-inci aluminium forged khas dari BBS yang dibuat yang lebih ringan dari versi biasa, serta dibaluti tayar lebih serius Michelin Cup 2. Secara keseluruhan, model edisi terhad ini tampil 47 kilogram lebih ringan dari model Type R FK8 biasa.

Selain itu, Honda turut menala semula suspensi dan juga sistem stereng Type R Limited Edition ini bagi membolehkan pemandu memberikan kawalan dan respon pada tahap maksimum.

Honda hanya menghasilkan Type R Limited ini hanya dengan satu warna iaitu Phoenix Yellow (dikenali sebagai Sunlight Yellow di UK). Jika anda peminat tegar Type R, anda tentu tahu bahawa warna ini berasal dari EK9 Type R dan sinonim dengan penala lagenda Honda iaitu Spoon.

Honda Civic Type R Limited Edition Suzuka Circuit

Model edisi terhad ini juga diberikan perincian khas lain termasuk kemasan hitam berkilat istimewa pada bumbung, penutup cermin sisi, liang udara pada penutup hud enjin, manakala di belakang ia hadir dengan lencana Civic berwarna krom gelap. Bagi menambah nilai eksklusif, kesemua FK8 istimewa ini akan diberikan plat dengan nombor serial unik – model ini hanya dihasilkan sebanyak 600 unit untuk pasaran Amerika dan 100 unit untuk pasaran Eropah.

Unit yang digunakan untuk memecahkan rekod di Suzuka ini adalah prototaip terakhir sebelum ia dijelmakan sebagai model produksi yang digunakan untuk penilaian prestasi terakhir pada Februari 2020, dan ia menampilkan spesifikasi dan juga talaan yang sama sepenuhnya dengan model produksi sebenar.

“Untuk model kemaskini ini, kelajuannya diperolehi dengan kerjasama Honda Racing Development (HRD) Sakura, yang memamainkan peranan utama dalam pembangunan sukan permotoran Honda. Kerjasama ini menghasilkan Type R dengan rekod lap terpantas di Litar Suzuka, yang selalu disifatkan sebagai ‘salah satu litar perlumbaan paling hebat di dunia'”, kata Ketua Projek Civic Type R, Hideki Kakinuma.

Walaupun rekod yang dicatatkan oleh Renault Megane RS Trophy-R di Suzuka ini sudah lebur, hot-hatch dari Perancis tersebut masih lagi memegang takhta sebagai kereta produksi pacuan hadapan paling pantas di litar “The Green Hell”, Nürburgring Nordschleife.

Rekod dengan catatan 7 minit 40.1 saat yang dibuat pada Mei tahun lalu itu telah meleburkan rekod 7 minit 43.8 saat yang dibuat oleh Honda Civic Type R FK8 dua tahun sebelumnya. Adakah dengan merampas takhta di Suzuka ini merupakan amaran awal dari Honda untuk mengambil semula gelarannya dari Renault di Nürburgring?

GALERI: Honda Civic Type R Limited Edition