Tiada penjana hibrid untuk Honda Civic Type R generasi baru, kekal sebagai kereta sport mekanikal

Tiada penjana hibrid untuk Honda Civic Type R generasi baru, kekal sebagai kereta sport mekanikal

Selain dari penggunaan pengecas turbo dan suspensi adaptif, Honda Civic Type R FK8 adalah antara kereta sport yang paling ‘asli’ ditawarkan dalam pasaran buat masa sekarang.

Ia masih menggunakan konfigurasi pacuan roda hadapan tanpa sistem AWD yang rumit, masih dibekalkan dengan LSD mekanikal dan bukan sistem torque vectoring, malah sehingga sekarang Honda masih tidak menawarkan kotak gear manual bagi memastikan pembeli Type R masih lagi seorang yang sangat suka memandu.

Nampaknya semua karekter ini masih akan dibawa kepada model generasi seterusnya – walaupun benua Eropah, UK dan juga Jepun bakal mengharamkan kereta dengan kuasa petrol sepenuhnya dalam masa lebih kurang 10 tahun lagi, Honda akan terus menghasilkan Civic Type R tanpa sebarang bantuan teknologi elektrifikasi, menurut laporan Autocar.

Portal berkenaan menyatakan bahawa, Honda Civic Type R generasi baharu tersebut akan tiba di pasaran UK pada separa pertama tahun hadapan, dan ini mungkin “edisi terakhir” dengan DNA asli Type R.

Model prototaip Honda Civic generasi ke-11 versi sedan (kiri) dan versi hatchback yang sedang diuji (kanan)

Honda telah pun mendedahkan rupa Honda Civic generasi ke-11 November lalu, dalam bentuk sedan sebagai prototaip dan ia dijangka menghampiri rupa produksi sebenarnya. Model Type R generasi baharu pula masih akan dihasilkan dalam versi hatchback lima pintu.

Walaupun Civic generasi baharu dalam versi asas kelihatan lebih ‘sopan’ berbanding generasi FC sedia ada, model Type R nanti dilaporkan masih akan diberikan penampilan dengan kit aerodinamik yang agresif. Varian tanpa sayap belakang yang besar seperti model Type R Sport Line pada model sedia ada juga dijangka masih akan ditawarkan di UK.

Enjin K20C 2.0 liter VTEC Turbo pada model generasi sedia ada juga dilaporkan akan terus digunakan pada model generasi baharu nanti. Kuasa yang dihasilkan juga mungkin lebih kurang sama, namun ia diperhalusi bagi memberikan respon dan penghantaran tork yang lebih baik.

Autocar turut menyebut bahawa sistem suspensi dua paksi pada bahagian hadapan yang berkesan menangani torque steer, serta senjata mekanikal lain seperti LSD, suspensi multilink di belakang dan pelbagai lagi akan terus di bawa pada Honda Civic Type R generasi baharu ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required