2022 Acura NSX Type S

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Acura telah mendedahkan NSX produksi paling berkuasa pernah dihasilkan – ini dia, Acura NSX Type S! Model ini merupakan edisi ‘selamat tinggal’ sempena tahun terakhir NSX ditawarkan dalam pasaran, dan ia dihasilkan hanya 350 unit.

Ini merupakan NSX Type S pertama ditawarkan di luar Jepun sejak lencana Type S diperkenalkan pada NSX generasi pertama dan ia dihasilkan di kilang Performance Manufacturing Center (PMC), Ohio, Amerika Syarikat. Dari 350 unit yang dihasilkan, 300 unit akan dijual di AS, dan selebihnya akan dieksport ke luar. Acura juga menyatakan bahawa NSX Type S ini merupakan model produksi jalan raya paling berkuasa pernah dihasilkan jenama divisi premium Honda berkenaan.

NSX Type S ini masih dijana oleh rangkaian kuasa hibrid yang terdiri dari enjin V6 3.5 liter dengan dua pengecas turbo dan juga sepasang motor elektrik berkuasa 72 hp/146 Nm di kedua-dua roda hadapan serta sebuah motor elektrik di belakang berkuasa 47 hp/148 Nm.

Namun untuk enjin petrol NSX Type S ini, ia dirombak semula dengan penggunaan penyuntik bahan api baharu yang memberikan kadar aliran 25% lebih tinggi, unit intercooler baru yang mampu menyisihkan haba 15% lebih baik, serta sepasang pengecas turbo baharu yang dikongsi bersama jentera lumba sebenar NSX GT3 Evo yang memberikan boost turbo lebih tinggi pada kadar 16.1 psi berbanding jumlah asal 15.2 psi.

2022 Acura NSX Type S

Ini membolehkan enjin tersebut mengekstrak 20 PS dan 55 Nm lebih besar, menjadikan kuasa keseluruhan yang dibekalkan pada NSX Type S ini berjumlah 608 PS dan tork maksima 667 Nm. Kuasa dari enjin yang terletak di tengah kerangka kereta tersebut dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT sembilan kelajuan.

Acura turut membuat talaan semula pada kotak gear berkenaan bagi membolehkan pemandu menurunkan gear dengan lebih agresif menerusi mod Rapid Downshift, penurunan gear secara automotik juga lebih agresif, tukaran gear naik yang lebih pantas dalam mod Sport dan Sport+, serta mampu untuk mengekalkan putaran enjin pada tahap tinggi ketika menurunkan gear dengan lebih baik dalam mod Track.

Bagi memberikan sensasi pemanduan yang lebih baik, sistem Intake Sound Control (ISC) dan Active Sound Control (ASC) pada NSX Type S ini juga ditala semula bagi memberikan bunyi ‘sedutan’ udara dan bunyi enjin yang lebih mengujakan ketika dipandu.

Menurut Acura, sistem torque vectoring pada sistem pacuan Sport Hybrid Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) NSX Type S ini turut ditala semula bagi memaksimakan prestasinya. Nisbah gear pada dua motor elektrik yang memacu gandar hadapan kini telah direndahkan sebanyak 20%, memberikan pecutan lebih baik.

2022 Acura NSX Type S

Selain talaan semula dibuat pada casis dan suspensi, pengendalian model ini juga turut ditambah baik menerusi pemadanan rim aloi forged lima jejari baharu yang membolehkan ukuran trek hadapan meningkat 0.4 inci dan belakang meningkat 8-inci. Rim tersebut dibalut dengan tayar Pirelli P-Zero yang khas dibangunkan untuk NSX Type S ini (mempunyai cop “H0” pada bahagian sisi) bersaiz 245/35ZR di hadapan dan 305/30ZR20 di belakang.

Ia juga menerima brek Brembo dengan angkup enam omboh di hadapan serta angkup empat-omboh di belakang, di mana kesemuanya datang dengan kemasan merah secara standard.

Acura turut menawarkan Lightweight Package untuk NSX Type S ini yang menampilkan komponen-komponen lebih ringan terdiri dari penutup enjin gentian karbon, kemasan-kemasan dalaman gentian karbon dan juga set brek Brembo karbon seramik (dengan angkup dalam kemasan hitam, perak, merah atau oren). Pakej ini menampilkan pengurangan berat sebanyak 26.4 kg.

Untuk semua tingkat taraf prestasi yang dibuat ini, Acura mendakwa bahawa NSX Type S mampu untuk mencatatkan masa lap 2 saat lebih pantas di litar Suzuka, Jepun berbanding Acura NSX 2021 standard.

2022 Acura NSX Type S

Acura juga membuat penambahbaikkan pada Intelligent Power Unit (IPU) supercar hibrid ini bagi membolehkan motor elektriknya diberfungsi dengan lebih efektif. Ini membolehkan kadar pengggunaan kapasiti bateri meningkat 20%, serta memberikan ouput bateri 10% lebih baik. Dengan kapasiti dan output bateri lebih tinggi ini juga membolehkan sistem Sport Hybrid SH-AWD ditala bagi memberikan prestasi lebih baik untuk semua mod pemanduan.

Dari segi rupa luaran, NSX Type S ini menerima tingkat taraf aerodinamik dan juga pelbagai perincian lebih unik. Ia diberikan liang ambilan udara lebih besar bersama spoiler gentian karbon pada di hadapan yang boleh mengurangkan kesan terangkat pada bahagian berkenaan.

Ia juga menerima gril hadapan lebih besar bagi mengalirkan udara lebih banyak kepada radiator, manakala empat lagi liang, dua untuk setiap sisi akan mengalirkan udara ke sub-radiator yang terletak di belakang bampar.

Liang pada bampar hapadan berkenaan turut mengalirkan udara ke bahagian sisi kereta serta mewujudkan tirai udara. Ini membolehkan bahagian sisi turut kurang terangkat, sambil membantu aliran udara lebih baik kepada liang udara sisi khas untuk menyejukkan intercooler bagi sistem turbo.

Ia turut diberikan diffuser lebih besar di belakang, dihasilkan dari inspirasi rekaan jentera lumba GT3 Evo yang didakwa mampu memberikan kestabilan lebih baik dalam kelajuan tinggi, serta memberikan downforce lebih baik ketika mengambil selekoh.

Selain dari spoiler hadapan, bahagian luaran lain NSX Type S ini turut menerima banyak komponen gentian karbon, antaranya kemasan pada bendul sisi, spoiler deck-lid di belakang, diffuser belakang dan juga pada bumbung. Menurut Acura, komponen-komponen lebih ringan ini membantu NSX Type S berkenaan mendapat titik graviti lebih rendah.

Selain itu, Type S juga menerima kemasan-kemasan Gloss Berlina Black pada penutup cermin sisi dan pembuka pintu, serta kemasan gelap lain seperti pada tip ekzos, serta pada lampu hadapan dan belakang. Kemasan penutup enjin kini diwarnakan merah dan jelas kelihatan menerusi cermin tingkat belakang, bersama plak nombor siri unik yang diletakkan pada bahagian hujung. Lencana-lencana Type S turut diberikan pada sisi badan, berhampiran ruang roda belakang.

NSX Type S ini ditawarkan dalam 10 warna badan, kesemuanya dicat dengan lima lapisan. Menurut Acura, setiap lapisan berkenaan akan dipastikan kering sepenuhnya sebelum diberikan satu lapisan baharu. Model Type S ini turut menerima satu warna badan baharu yang digelar Gotham Grey yang didakwa model pertama Acura di Amerika Utara yang diberikan kemasan akhir matte.

Kemasan kusam tersebut dihasilkan dengan lapisan akhir clear matte metallic bagi mengantikan lapisan akhir berkilat pada warna lain. Warna Gotham Grey ini hanya diberikan pada 70 unit NSX Type S, dan ia perlu dihantar dari kilang PMC ke premis pengedar dengan menggunakan teknik isitimewa bagi mengelakkan cat tersebut rosak.

Antara teknik berkenaan turut termasuk penggunaan filem pelindung badan yang dilekat pada badan kereta, serta selimut badan yang lebih lembut digunakan ketika kereta tersebut dihantar. Kakitangan yang mengendalikan penghantaran berkenaan juga akan menerima latihan khas.

Untuk bahagian dalaman pula, NSX Type S diberikan pelapik bumbung Alcantara. Secara standard ia diberikan upholsteri dengan kombinasi Alcantara dan kulit Semi-Aniline dengan warna Ebony, Orchid dan merah. Manakala upholsteri kulit Semi-Aniline penuh dengan warna Ebony atau merah ditawarkan secara opsyen. Logo Type S disulam pada glove box dan diberikan pada kunci, manakala logo NSX dilekap pada perehat kepala tempat duduk.

Acura NSX Type S 2022 dijual pada harga bermula $169,500 (RM718k), manakala model yang hadir dengan Lightweight Package dijual pada harga $182,500 (RM773k).