Sejak Honda NSX generasi kedua (juga dikenali sebagai Acura NSX di Amerika Syarikat) diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2015, ramai yang sudah mengatakan nanti akan ada versi yang lebih ganas, berkemungkinan menggunakan lencana “Type R”.

Nampaknya, memang betul, Honda telah mengumumkan mereka akan memperkenalkan NSX versi prestasi tinggi, tetapi ia tidak akan dipanggil sebagai Type R. Sebaliknya, pengeluar dari Jepun itu akan menggunakan nama Type S, dan ini bukanlah kali pertama kerana NSX asal tahun 90-an dulu juga pernah diperkenalkan dengan versi Type S.

Sama konsep seperti model lama itu, NSX Type S baru akan menerima pelbagai peningkatan yang dapat meningkatkan kepuasan memandu. Dalam kata Honda, “NSX Type S menaikkan lagi tahap prestasi yang sudah sedia mengagumkan pada supercar ini, memberi lebih kuasa, lebih pecutan, pengendalian lebih tepat dan pengalaman pemanduan lebih beremosi.”

Perincian selanjutnya masih belum didedahkan, dan kita cuma akan mengetahuinya apabila kereta tersebut membuat penampilan rasmi 12 Ogos nanti di Monterey Car Week. Honda memberitahu, nanti kita boleh menjangka enjin V6 hibrid 3.5 liter, serta sistem Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) yang dipertingkat.

Pada model NSX standard, enjin V6 ini mampu menghasilkan 507 PS (500 hp) dan 550 Nm, sementara tiga motor elektrik yang diletakkan padanya – dua di hadapan dan satu antara enjin dan transmisi – menyumbang kepada kuasa keseluruhan sebanyak 581 PS (573 hp) dan 645 Nm.

Bersama pengumuman ini, Honda juga telah menyiarkan beberapa gambar dan video teaser model baru ini, yang menampakkan rekaan rim lima cabang, diffuser belakang lebih agresif, warna matte baru, kemasan gentian karbon serta lencana Type S di luar.

Kemudiannya terdapat juga lencana nombor keluaran, yang menandakan eksklusiviti model tersebut, kerana ia diberitahu cuma akan dikeluarkan sebanyak 350 unit sahaja, dengan 300 untuk AS, 30 untuk Jepun dan 20 lagi untuk negara lain.

Satu yang mungkin menyedihkan, versi Type S ini akan menjadi keluaran terakhir NSX sebelum ia dihentikan hujung tahun 2022 nanti. Ya, hanya beberapa tahun sahaja NSX ini dikeluarkan dan kita juga masih tidak mengetahui sama ada model generasi ketiga akan dibangunkan ataupun tidak. Disebabkan itu, Type S akan menjadi model yang dikejar oleh pengumpul kereta, sama seperti model NSX terdahulu.