Kini masa yang agak mencabar untuk industri automotif Malaysia, disebabkan kesan pandemik yang mengakibatkan penutupan sektor ekonomi serta PKP yang menyekat pergerakan orang ramai. Semua ini antara lain telah menyumbang kepada penurunan jualan kenderaan baru di negara ini. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini menjelaskan bahawa industri itu telah kehilangan sebanyak RM14 bilion bagi Jun dan Julai 2021.

Menurut laporan The Star, anggaran MAA itu adalah berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, yang menunjukkan purata kerugian sebanyak RM12 bilion bagi jualan sebulan bagi kedua-dua kenderaan baru dan terpakai, kecuali motosikal.

Dengan andaian kenderaan baru menyumbang sebanyak 60% daripada angka jualan, MAA menganggarkan kerugian jualan kenderaan baru bagi kedua-dua bulan itu adalah RM14.4 bilion keseluruhannya. Ambil maklum bahawa ini belum lagi mengambil kira kehilangan pendapatan daripada aktiviti eksport dan jualan alat ganti.

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad memaklumkan yang syarikat pengeluar kenderaan telah mengurangkan kos mereka sejak PKP pertama yang diperkenalkan pada Mac 2020. “Pemegang francais automtotif mungkin masih mampu bertahan, tetapi pengedar kenderaan yang mempunyai kos operasi yang tinggi dan masalah kewangan mungkin akan gulung tikar,” jelas beliau.

Bagaimanapun, dengan kelonggoran beberapa aktiviti ekonomi yang diumumkan beberapa hari lalu, persatuan itu beserta ahlinya yakin bahawa industri ini akan dapat bangkit dan pulih bagi tempoh berbaki sepanjang tahun 2021 ini. Bulan lalu, persatuan itu menetapkan semula sasaran TIV kepada anggaran 500,000 unit berbandung ramalan asal dengan 570,000 unit yang diumumkan pada Januari. Angka terakhir setakat ini bagi tahun 2021 pada akhir Julai 256,215 unit.

“Kini sektor automotif sudah boleh beroperasi semula, kami akan tetap dengan ramalan TIV 500,000 unit. Pengecualian SST yang akan berlangsung hingga akhir tahun ini juga akan membantu menaikkan jualan,” ujar Aishah.

Beberapa pengeluar kenderaan di negara ini juga berkongsi pandangan yang sama, termasuk Honda yang memaklumkan bahawa syarikat itu mengalami penurunan jualan kenderaan sebanyak 52% bagi tempoh Mei hingga Julai. Berpandangan sekatan pergerakan tidah hanya melumpuhkan pengeluaran kenderaan, tetapi turut memberi kesan sama kepada rantaian bekalan yang lebih luas. Syarikat itu juga memastikan pematuhan SOP ketat di kilangnya di Melaka selepas dibenarkan beroperasi semula, dengan matlamat untuk memenuhi pesanan sedia ada secepat mungkin.

CEO Kumpulan Naza, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan pula berkata perniagaan automotif syarikat itu mengalami penurunan sebanyak 70% pada Julai. Beliau menambah, disebabkan itu syarikat mencari jalan lain untuk melayani pelanggan dan percaya permintaan dalam pasaran masih sihat.

“Membeli dan menjual kini boleh dilakukan secara dalam talian. Walaupun ketika PKP, pekerja kami masih mampu berusan dengan pelanggan secara maya. Bagaimanapun, kaedah itu adalah terhad kepada sebehagian perkhidmatan sahaja, memandangkan pelanggan tetap mahu berkunjung ke bilik pameran untuk pengalaman yang lebih nyata,” ujar Nik Hamdan.

“Dengan pemulihan ekonomoi, dan harapnya ia dipacu oleh kadar vaksinasi yang tinggi, kami boleh menjangkakan penegnalan model baru akan diumumkan. Kami ingin memanfaatkan tempoh tanpa SST hingga hujung tahun nanti,” tambahnya lagi.

Bermaz Auto selaku pengedar kenderaan Mazda berkata terdapat kekurangan dalam bekalan alatan dan komponen tempatan, yang diburukkan lagi dengan kekurangan cip peringkat global. Masalah cip ini juga diakui dan dialami oleh Proton dan Mercedes-Benz Malaysia, yang menyebabkan kelewatan bagi penyerahan kenderaan kepada pelanggan. Bagaimanapun, kedua-dua syarikat telah berusaha untuk memastikan tempoh serahan itu dapat disegerakan, dan dalam masa sama telah juga memperkenalkan beberapa model baru untuk menggalakkan lagi rantaian aktiviti automotif keseluruhannya.

Sementara itu, Presiden Toyota, Ravindran Kurusamy memaklumkan syarikat itu menerima angka tempahan yang menggalakkan bagi model barunya, dan akan menyambung semula operasi dengan giat untuk mengurangkan kesan terhadap perniagaannya serta pelanggan. “Setakat ini, tiada sebarang kesan terhadap perniagaan kami, dalam hal-hal berkaitan kekurangan cip di peringkat global,” tambahnya.