AirAsia Ride dilancarkan di Malaysia untuk saingi Grab

AirAsia Ride dilancarkan di Malaysia untuk saingi Grab

Akhirnya, AirAsia kini melancarkan perkhidmatan e-hailing sendiri, yang digelar AirAsia Ride di Malaysia. Penawaran terbaru syarikat ini akan bersaing dengan Grab dan servis e-hailing lain di negara ini, dan boleh diakses melalui aplikasi Super App yang turut menyediakan penghantaran makanan, beli-belah serta servis tempahan hotel dan penerbangan.

Ketika ini, AirAsia Ride hanya terdapat di Kuala Lumpur dan Selangor. Servis ini bagaimanapun akan diperluas ke negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak menjelang hujung tahun ini. Menurut CEO AirAsia Super App, Amanda Woo, ada juga perancangan untuk menawarkan AirAsia Ride di negara ASEAN yang lain seperti Thailand dan Indonesia kelak.

Walaupun AirAsia Ride beroperasi dalam cara yang sama dengan servis e-hailing lain, syarikat itu memaklumkan ia tetap ada perbezaan ketara untuk lebih memudahkan pengalaman pengguna. Sebagai contoh, pengguna boleh memilih pemandu yang diinginkan daripada senarai yang tersedia berbanding pemandu yang ditugaskan terus — perincian seperti jarak pemandu dan profil peribadinya juga akan turut dipaparkan.

AirAsia Ride dilancarkan di Malaysia untuk saingi Grab

Tidak ketinggalan ada juga Allstar Ride, di mana pemandu merupakan juruterbang dan kru kabin AirAsia, bergantung kepada ketersediaan. Kebebasan untuk memilih ini adalah tambahan kepada ciri lain yang pengguna sudah biasakan diri, misalnya pilihan jenis kenderaan, jika mahu.

Dari segi harga, tambang AirAsia Ride adalah purata RM1 bagi setiap km, tidak termasuk caj tol. Pengguna boleh menempah perjalanan on-demand atau tempahan awal, walaupun yang terakhir itu memerlukan jumlah minimum RM20, seperti dilaporkan Soyacincau.

Sama seperti Grab, pengguna boleh menambah tip ketika membuat tempahan untuk memberikan insentif tambahan kepada pemandu. Bayaran boleh dibuat melalui tunai atau kad kredit dan kad debit, dan syarikat itu turut merancang untuk membolehkan pengguna membayar melalui mata ganjaran Big juga.

Walaupun penumpang akan menikmati banyak kelebihan, AirAsia Ride juga memberi perhatian kepada pemandu dengan konsep “driver-forward”. Ini membolehkan rakan pemandu mereka untuk memperbaiki jumlah pendapatan dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik. AirAsia Ride mengenakan yuran 15% kepada pemandu, yang lebih rendah berbanding kadar biasa 20%; ini membolehkan pemandu untuk menerima 85% daripada jumlah tambang penumpang.

AirAsia Ride juga menggunakan data terkumpul untuk mengoptimumkan masa pemandu dan meningkatkan kecekapan serta pendapatan mereka. Sebagai contoh, pemandu boleh ditugaskan untuk perjalanan pergi-balik ke lapangan terbang dengan masa menunggu yang singkat berdasarkan anggaran masa ketibaan penerbangan penumpang.

Syarikat itu juga memaklumkan ia tidak akan mendenda pemandu yang menolak perjalanan yang ditugaskan, suatu hal yang berbeza dari kebiasaan platform lain. Sebaliknya, ia menggunakan model galakkan yang memberikan pemandu lebih banyak ganjaran dan manfaat untuk mengambil lebih banyak tugasan.

AirAsia Ride dilancarkan di Malaysia untuk saingi Grab

Ketika ini, terdapat sekitar 1,500 rakan pemandu yang berdaftar, dan syarikat menjangkakan 5,000 lagi pemandu akan menyertai mereka dalam tempoh enam bulan, selari dengan perluasan servis ini ke seluruh negara. Semua pemandu telah mendapatkan lesen PSV, divaksin penuh dan diuji dengan kerap.

“Ada juga kemungkinan untuk AirAsia Ride untuk disepadukan dengan Teleport, cabang logistik kami untuk memanfaatkan servis logistik dan juga penghantaran, dengan calon pemandu yang sama bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos,” ujar Amanda.

Satu lagi inovasi produk servis yang sedang dalam perancangan adalah untuk bekerjasama bagi menggunakan kenderaan elektrik, untuk merancakkan lagi perkembangan pengangkutan mapan di ASEAN,” tambahnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required