Tata Tigor EV facelift dilancarkan di India – kereta elektrik kompak bermula RM68k, jarak gerak 306 km

Tata Tigor EV <em>facelift</em> dilancarkan di India – kereta elektrik kompak bermula RM68k, jarak gerak 306 km

Tata Motors telahpun melancarkan Tigor EV facelift di India, iaitu versi elektrik sepenuhnya untuk sedan kompak Tigor yang bersaing dalam segmen sub-empat meter di negara berkenaan. Tigor EV ini juga merupakan model elektrik sepenuhnya kedua dari pembuat kereta dari India berkenaan yang ditawarkan untuk orang awam selepas SUV Nexon EV.

Ia ditawarkan dalam tiga varian kemasan iaitu XE, XM dan XZ+, dan dijual pada harga bermula 1.199 juta rupee (RM68,299) untuk model asas XE, sehingga 1.314 juta rupee (RM74,850) untuk model varian tertinggi XZ+ yang datang dengan warna badan dua tona.

Harga yang ditawarkan berkenaan menjadikan Tigor EV kini merupakan kereta elektrik penuh (EV) paling mampu milik untuk orang awam di India, lebih murah dari Nexon EV yang dijual pada harga bermula 1.399-1.685 juta rupee (RM79,659-95,944).

Asas kepada unit penjana Tigor EV ini adalah unit rangkaian kuasa Ziptron Tata, yang menampilkan sistem operasi elektrik 300+ volt, yang jauh lebih baik berbanding versi awalannya yang muncul pada tahun 2019 menampilkan hanya sistem 72-volt.

Tata Tigor EV <em>facelift</em> dilancarkan di India – kereta elektrik kompak bermula RM68k, jarak gerak 306 km

Ia terdiri dari motor elektrik yang memacu roda hadapan (dengan transmisi kelajuan tunggal serta turut memberikan brek pemulihan kuasa) menghasilkan 75 PS (74 hp atau 55 kW) dan tork maksima 170 Nm. Angka ini jelas lebih besar dari versi sebelumnya yang hanya menawarkan 41 PS (40 hp atau 30 kW) dan 105 Nm. Bekalan kuasa tersebut membolehkan Tigor EV memecut dari 0-60 km/j dalam masa 5.7 saat.

Motor elektrik tersebut menerima bekalan kuasa elektrik dari pek bateri lithium-ion dengan sistem penyejuk cecair berkapasiti 26 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 306 km dengan satu caj penuh (disahkan oleh Persatuan Penyelidik Automotif India atau ARAI). Bateri baharu ini juga satu lagi tingkat taraf besar berbanding versi sebelum ini yang hanya berkapasiti 21.5 kWj yang hanya menawarkan jarak gerak sejauh 213 km.

Sistem 72-volt sebelum ini sebenarnya masih lagi digunakan oleh Tata terhadap versi kenderaan komersil Tigor EV yang dikenali sebagai Xpres-T, yang baru dilancarkan pada Julai lalu. Namun bagi sistem 300+ volt baharu pada Tigor EV facelift ini masih tidak sebaik Nexon EV yang menawarkan motor berkuasa 129 PS/245 Nm dan jarak gerak sejauh 312 km.

Untuk mengecaj semula bateri, Tigor EV kini sudah tidak lagi menggunakan Bharat EV Charger (BEVC) untuk sistem AC dan pengecaj pantas DC, di mana ia telah digantikan dengan penyambung lebih konvensional. Bagi pengecaj AC, model baharu ini menggunakan pengecaj standard Type 2 dan juga dengan palam 15 A, yang mengambil masa lapan jam 45 minit bagi mendapatkan caj 0-80% (SoC).

Tata Tigor EV <em>facelift</em> dilancarkan di India – kereta elektrik kompak bermula RM68k, jarak gerak 306 km

Manakala untuk pengecaj pantas DC pula, Tigor EV facelift ini menggunakan standard CCS2 dan mana-mana pengecaj DC 25 kW boleh menjana semula bateri dari 0-80% SoC dalam masa hanya 65 minit. Kebolehan ini juga jelas lebih baik dari versi sebelumnya di mana pengecaj AC 3 kW memerlukan 11.5 jam untuk mendapatkan 0-100% SoC dan 15-kW DC memerlukan dua jam untuk 0-80% SoC.

Menurut Tata, mereka telah menguji unit rangkaian kuasa Ziptron ini dalam jarak melebihi 35 juta km dalam ujian pemanduan dunia sebenar merentas India dengan permukaan muka bumi yang mencabar. Malah pek bateri dan motor elektrik yang digunakan juga menerima penilaian IP67. Ini membolehkan Tata menawarkan waranti lapan tahun atau 160,000 km untuk bateri dan motor Tigor EV berkenaan.

Tigor EV ini menampilkan rupa yang sama dengan model yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman konvensional, tetapi dibezakan dengan berberapa perincian kecil. Ia menampilkan gril hadapan tanpa sebarang laluan udara, serta diberikan elemen grafik seakan logo Mercedes Benz pada gril tersebut dan liang udara bampar hadapan.

Asas bahagian dalaman juga masih kelihatan sama, namun untuk model elektrik sepenuhnya ini menampilkan suis putar bagi menggantikan tuil penukar gear konvensional, panel instrumen digital dan juga serlahan-serlahan biru EV.

Senarai kelengkapan lain yang turut diberikan pada Tata Tigor EV ini termasuk rim 14-inci bersama tayar rintangan golekan rendah bersaiz 175/65R14, lampu hadapan porjektor, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, lampu kabus, upholsteri fabrik, sistem pendingin hawa automatik, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup, serta glove box dengan fungsi penyejuk.

Model asas XE tidak dibekalkan dengan sebarang pemain muzik, manakala varian XM diberikan skrin 3.5-inci dari Harman bersama empat pembesar suara. Model tertinggi XZ+ pula menerima skrin lebih besar bersaiz tujuh-inci bersama empat tweeter tambahan, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, butang kawalan pada roda stereng dan juga kamera undur.

Tata Tigor EV <em>facelift</em> dilancarkan di India – kereta elektrik kompak bermula RM68k, jarak gerak 306 km

Bagi keselamatan pula, Tata Tigor EV ini menerima hanya dua beg udara, brek ABS bersama EBD dan juga sistem kestabilan elektronik. Walaupun kelengkapan tersebut dilihat sangat asas, kereta elektrik mampu milik berkenaan mencapai penarafan empat binang dalam ujian keselamatan Global NCAP (GNCAP).

Tigor EV ini merupakan model EV pertama yang diuji oleh GNCAP, dan ia mendapat respon positif dari setiausaha agung GNCAP, Alejandro Furas. “Tata telah menunjukkan penambahbaikkan keselamatan yang konsisten menerusi kesemua barisan modelnya,” kata Furas.

“Tigor membuktikan bahawa penambahbaikkan turut boleh dibuat pada model-model EV, di mana ia membabitkan kesukaran teknikal kerana sistem rangkaian kuasa elektrik. Tata memang sepatutnya dikenali dan dihargai untuk komitmen ini bagi menambahbaik kenderaan mereka dalam respon terhadap seruan Global NCAP bagi mendemokrasikan keselamatan kenderaan,” tambahnya lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required