Bulan lalu, Jaguar Land Rover Malaysia memperkenalkan Range Rover Velar 2021 yang dikemaskini, ditambah dengan peningkatan ruang dalaman dan kelengkapan baru. Yang sedang anda lihat ini adalah galeri varian P250 R-Dynamic yang dikemaskini, dan dijual pada harga RM612,207 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran. Tetapi, ini sudah termasuk pengecualian cukai SST 50% bagi kenderaan CBU yang berlangsung sekarang.
Enjin yang digunakan masih unit yang sama seperti sebelumnya, iaitu Ingenium 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menghasilkan 250 PS dan 365 Nm, dan digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ZF dan ada juga sistem pacuan semua roda sebagai ciri standard.
Rekaan luaran juga tidak ada yang berubah, walaupun ruang kabin menerima beberapa perubahan ketara. Antaranya ialah dail rotari sebelum ini telah diganti dengan tuil gear yang lebih konvensional. Stereng juga baru, datang dengan butang bersepadu yang sensitif terhadap sentuhan serta ciri pengesanan tangan pada stereng (untuk menilai perhatian pemanduan).
Selebihnya, kabin Velar turut didatangkan dengan sistem infotainmen Pivi Pro, dengan grafik yang lebih kaya dan perisian dipertingkat, disambung kepada peranti dual-skrin yang sama seperti sebelumnya. Pengguna boleh menyesuaikan paparan maklumat mengikut keinginan mereka, dan sistem berkenaan membolehkan lebih daripada satu peranti mudah alih disambung dalam satu masa.
Untuk suasana yang lebih tenang dan nyaman, ciri Active Road Noise Cancellation (ARNC) juga diperkenalkan; ia berfungsi sama seperti sepasang headphone dengan teknologi pembatalan kebisingan aktif. Lagi tambahan terbaru ialah kamera sekeliling 3D yang memberi gambaran persekitaran kenderaan kepada pemandu, dengan paparan pelbagai sudut sekaligus termasuk perspektif 3D dari atas serta ClearSight Ground View.
Satu pembaharuan mekanikal yang perlu dinyatakan ialah sistem suspensi udara elektronik kini datang standard untuk varian ini. Dahulu hanya varian P380 R-Dynamic yang didatangkan dengan ciri tersebut. Sistem berkenaan menjadikan perjalanan lebih selesa dengan melibatkan pengurangan ketinggian kenderaan sebanyak 10 mm ketika melayar dalam kelajuan di atas 105 km/j untuk aerodinamik yang lebih baik. Ketinggian ini juga boleh diubah dan ditentukan sebanyak +/- 50 mm melalui skrin sentuh, kunci jarak jauh atau butang kawalan dalam but.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.