Sebahagian dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), terdapat juga pelan untuk mobiliti aktif dengan memfokuskan pembangunan infrastruktur bagi pejalan kaki dan penunggang basikal. Ia akan diberikan penekanan terhadap infrastruktur yang bersepadu dan mesra pengguna, serta selamat dan selesa.

Langkah-langkah yang akan dilaksanakan termasuklah keadaan lalu lintas yang tenang serta teduhan semulajadi untuk ruang pejalan kaki. Ini adalah antara rancangan untuk meningkatkan mobiliti hijau sebagai sebahagian daripada pembangunan bandar dan wilayah termasuk mobiliti rendah karbon.

Pelan mobiliti rendah karbon juga akan diperkenalkan sebagai panduan perancangan, implementasi, pemantauan dan juga penilaian inisiatif mobiliti hijau di kawasan bandar dan luar bandar. Selain itu, kebolehcapaian, ketersambungan, keselamatan dan kebolehpercayaan terhadap pengangkutan awam juga akan ditambahbaik, berserta dengan mobiliti mikro yang lebih lancar untuk sambungan pertama dan jarak terakhir.