Sebelum ini, Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pernah mengeluarkan kenyataan bahawa apabila negara mencapai 90% peratusan vaksinasi bagi golongan dewasa, kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk pergerakan rentas negeri. Kenyataan tersebut sekaligus mengundang keterujaan rakyat Malaysia yang tidak sabar untuk merentas negeri terutamanya untuk pulang ke kampung halaman berjumpa ibu bapa dan keluarga tercinta.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), setakat 3 Oktober 2021 jam 11.59 malam, kadar vaksinasi lengkap dewasa telah pun mencapai 87.6%, maka hanya tinggal 2.4% sahaja lagi misi untuk kejayaan 90% itu mampu untuk dicapai.

Menambahkan keterujaan lagi apabila malam tadi, Ismail Sabri dalam perutusan khasnya berkata aktiviti merentas negeri yang ditunggu-tunggu oleh rakyat kini sudah semakin hampir untuk dibenarkan susulan peningkatan kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini.

Katanya, beliau amat memahami keluh-kesah rakyat yang ingin pulang ke kampung menziarahi ibu bapa dan khabar gembira itu akan diumumkannya sebaik kadar vaksinasi mencapai 90%, laporan Bernama.

“Saya percaya ramai yang nak balik kampung…sesetengah itu dah setahun lebih tak tengok ibu bapa mereka, sesetengah (ada yang) ibu bapa tak sihat. Saya tahu, arwah mak saya dahulu kalau saya tak balik setiap minggu atau dua minggu sekali, dia akan menangis apabila telefon saya.

“Ramai yang saya percaya mempunyai situasi seperti yang saya pernah hadapi dahulu. Kita faham tetapi kerana masalah kesihatan, kita sekat pergerakan kita tetapi saya dah kata kita tak akan sekat pergerakan rakyat selama-lamanya,” katanya.

Jelas beliau, langkah kerajaan menaikkan daripada 80% kepada 90% kadar vaksinasi sebelum kebenaran rentas negeri diberikan bertujuan untuk memastikan tiada negeri yang ketinggalan sebaik ia diumumkan.

“Saya cuma nak jelaskan dahulu kata 80% boleh merentas negeri kenapa tiba-tiba jadi 90%. Ini sebab kita lihat apabila 80%, kita lihat banyak lagi negeri-negeri yang peratusnya masih kecil. Jadi kalau kita buka seluruh Malaysia, kita tak nak tinggalkan negeri-negeri yang masih kecil peratusan vaksin di negeri mereka.

“Jadi sebab itulah kita tunggu 90% kerana kita percaya apabila 90%, setiap negeri (rata-ratanya) sudah (mencapai) 80% lebih. Jadi sebaik sahaja 90%, kita akan umumkan. Ini berita gembira buat semua rakyat Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bertujuan membendung penularan Covid-19, sektor pelancongan adalah antara sektor yang menerima impak paling besar.

“Ia bergantung kepada rentas negeri…selagi rentas negeri tidak dibenarkan, selagi itu pelancongan tidak boleh dimulakan, dari segi sektor pelancongan tak boleh dibuka,” katanya.