Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang berlangsung hari ini turut memutuskan untuk membenarkan rakyat merentas negeri apabila negara mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran 90% itu dijangka mampu dicapai dalam masa dua hingga tiga minggu sahaja lagi.
“Saya percaya, ramai yang sudah tidak sabar untuk pulang ke kampung berjumpa dengan keluarga setelah sekian lama. InsyaAllah, sasaran 90% ini dijangka dapat dicapai dalam masa 2-3 minggu sahaja lagi.
“Kelonggaran yang kita kecapi hari ini adalah hasil pengorbanan kita bersama. Saya yakin, dengan adanya kelonggaran-kelonggaran ini, kita dapat mengembalikan kecemerlangan ekonomi negara tidak lama lagi. Namun, dalam usaha ini, kita juga hendaklah sentiasa peka dan saling menjaga keselamatan diri dan Keluarga Malaysia,” kata beliau menerusi laman Facebook rasminya.
Semalam beliau mengumumkan negara telah mencapai tahap 80% kadar vaksinasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan (PICK).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.