Selari dengan strategi untuk meningkatkan penawaran kenderaan elektrik (EV) dan fuel cell elektrik (FCV) dalam pasaran dengan sasaran jualan 40% daripada jumlah keseluruhan menjelang 2030, 80% menjelang 2035 dan 100% menjelang 2040, Honda menguatkan lagi perancangan mereka dengan mendedahkan beberapa rekaan serta model konsep elektrik terbaru.
Dipanggil sebagai Honda e:N Series (huruf “e” diambil daripada “e:Technology” dan “N” daripada “New/Next”), barisan model maju ini buat permulaan akan lebih dikhususkan kepada pasaran China yang dianggap sudah bersedia untuk menerimanya.
Dua model yang akan diperkenalkan paling awal adalah e:NS1 dan e:NP1, di mana ia akan dijual di China pada tahun hadapan dan dibuat masing-masing oleh Dongfeng Honda dan GAC Honda. Menggunakan asas yang sama, dua crossover ini boleh dikatakan seperti versi elektrik untuk HR-V generasi ketiga, dan telah ditunjukkan lebih awal April lalu melalui model konsep e:prototype.
Setakat ini masih belum ada perincian berkenaan penggerak yang akan digunakan, tetapi laporan awal mengatakan e:NS1 akan dikuasakan oleh satu motor elektrik yang diletakkan di gandar belakang, dengan kemampuan 182 hp untuk varian asas, dan 201 hp untuk varian lebih tinggi.
Untuk barisan model elektrik itu secara keseluruhannya, Honda mengatakan ia bakal menampilkan “ciri pemanduan sporty dan mengujakan, unik bagi model Honda,” bersama ruang dalam selamat, menyenangkan dan pintar – model e:N akan menggunakan e:N OS, iaitu sistem bersepadu yang menggabungkan sistem Sensing, Connect serta kokpit digital jenama tersebut.
Tiga lagi model yang akan mengikuti jejak e:NS1 dan e:NP1 sedang melalui proses pembangunan, dan ia akan menggunakan asas daripada e:N COUPE Concept, e:N SUV Concept dan e:N GT Concept, dengan rancangan pengenalan kepada pasaran dalam masa lima tahun lagi.