Honda telah mengumumkan bahawa mereka merancang untuk mempertingkatkan pengeluaran kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dan kenderaan elektrik sel bahan api (FCV) dalam pasaran utama elektrifikasi seperti di Amerika Syarikat dan China, sehingga 40% menjelang 2030. Ia akan meningkat kepada 80% pada 2035, dan kemudian 100% secara global menjelang 2040.

Halatuju ini telah diumumkan oleh presiden dan CEO Honda yang baru, Toshihiro Mibe dalam sidang media pertamanya yang dibuat minggu lalu. Mibe yang telah dilantik menyandang jawatan berkenaan pada Februari lalu telah menyatakan bahawa Honda bakal melalui “transformasi besar dalam masa yang singkat” dan pengumuman terbaharu ini mengembangkan lagi rancangan asal mereka sebelum ini yang mensasarkan untuk membariskan dua pertiga model-model mereka dari jenis EV, hibrid dan FCV pada 2030.

Teknologi lain yang turut dirancang dalam garis masa produk mereka juga didedahkan dan diulang dalam pembentangan tersebut. Bagi Amerika Syarikat, ini akan termasuk pengenalan dua model EV besar sebagai model 2024, menerusi lencana Honda, dan satu lagi di bawah jenama Acura. Model-model ini akan dihasilkan bersama General Motors (GM) serta bakal menggunakan bateri Ultium dari GM.

Bermula separa kedua dekad ini, Honda akan melancarkan pelbagai siri model EV di Amerika Syarikat, yang akan menggunakan platform modular EV global e:Architecture, dijangka bakal menggunakan pelbagai bentuk badan dari crossover sehingga sedan. Selepas pengenalan di AS, model-model tersebut kemudiannya akan dilancarkan di pasaran lain seluruh dunia.

Di China, Honda merancang untuk memperkenalkan 10 model EV dalam masa lima tahun. Model pertama dari 10 model berkenaan adalah versi produksi SUV e:prototype yang didedahkan di Auto Shanghai minggu lalu. Model elektrik sepenuhnya itu dijangka akan mula dijual bermula musim bunga 2022.

Manakala untuk Jepun sendiri, adaptasi model-model EV dan FCV berkenaan adalah sedikit lambat berbanding Amerika dan China, hanya pada kadar 20% menjelang 2030, namun ia akan terus mengikut kadar global iaitu 80% pada 2035 dan 100% pada 2040. Walau bagaimanpun, Honda menyatakan mereka akan menerapkan 100% teknologi elektrifikasi pada 2030 dengan teknologi hibrid petrol-elektrik, selepas enjin petrol sepenuhnya diharamkan di Jepun pada tahun tersebut.

Honda turut mengumumkan Kei-Car elektrik sepenuhnya pertama akan diperkenalkan di Jepun pada 2040, manakala pada pertengahan dekad, kenderaan pandu-sendiri elektrik Cruise Origin akan diperkenalkan untuk segmen servis mobiliti (MaaS). Kerjasama pembangunan dengan GM dan Cuise sudah pun berjalan, dan ujian dijadualkan bermula di Jepun pada tahun ini.

Jenama berkenaan turut menyatakan penyelidikan terhadap bateri solid generasi seterusnya – yang disasarkan bagi memberikan kapasiti tinggi dengan kos yang rendah – sedang dipercepatkan, dengan sasaran untuk dilengkapkan pada model-model baharu bermula separa kedua dekad nanti.

Honda menambah bahawa mereka akan terus proaktif dalam mempromosikan penggunaan sistem sel bahan api dan hidrogen dengan mengembangkan barisan model FCV serta menggunakan sistem sel bahan api untuk aplikasi lebih luas, termasuk trak komersil dan juga sumber tenaga tetap dan mudah alih.