PANDU UJI: JMC Vigus Pro 4×4 — trak China yang ingin melawan gergasi-gerasi Jepun; ada peluang?

PANDU UJI: JMC Vigus Pro 4×4 — trak China yang ingin melawan gergasi-gerasi Jepun; ada peluang?

Mengapa sebuah jenama kenderaan China ingin masuk dan bersabung sekali dalam satu segmen kenderaan yang sudah sedia sengit adalah satu hal yang menarik untuk diteliti. Sama ada pengeluar dan pengedarnya betul-betul yakin dengan tahap kualiti penawarannya untuk bersaing, atau sengaja ingin kacau daun dan bereksperimen di dalam sebuah segmen pasaran yang terbukti mapan dan akan terus berkembang — dua ini saja sebab yang boleh dikatakan menjadi penentu terhadap langkah itu.

Yang saya maksudkan ialah model trak pikap terbaru yang menjengah pasaran tempatan pertengahan Oktober lalu; sebuah trak dari Jiangling Motors Co. Ltd (JMC) dari China yang dipasang dan diedarkan oleh Angka-Tan Motor (ATM) Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Warisan TC Holding Berhad yang bertindak selaku pengedar tunggal trak pikap Vigus Pro di Malaysia.

Ini menjadi tambahan terbaru kepada sebuah segmen yang sudah cukup padat dan sengit saingannya. Tentulah kita tak perlu diperingatkan dengan panjang lebar tentang penawaran trak pikap yang ada di Malaysia ketika ini. Hampir semua model yang ada sudah mempunyai reputasi yang bukan calang-calang, dan sudah menapak di sini sejak lama. Kebanyakannya pula adalah dari jenama Jepun yang memang sudah terbukti ketahanannya.

PANDU UJI: JMC Vigus Pro 4×4 — trak China yang ingin melawan gergasi-gerasi Jepun; ada peluang?

Corak penawaran trak pikap semasa yang ada kini juga sudah berevolusi dan telah bertukar menjadi produk yang berevolusi dan bertambah baik — sudah jauh lari daripada imej kerja buruh atau sebagai jentera tugas-tugas kasar. “King” yang paling sukar ditandingi sudah tentulah Toyota Hilux, yang masih tetap mengungguli dengan tahap kepercayaan yang tinggi dalam kalangan pemilik trak pikap.

Terbaru di pasaran tempatan, tahun lalu UMW Toyota memperkenalkan versi facelift trak terbabit, dengan panambahan varian 2.8L Rogue (RM146,880) yang turut melibatkan peningkatan kuasa — dan lebih memenuhi permintaan pelanggan yang inginkan sebuah trak sebegai pelengkap gaya hidup, bukan lagi untuk tugas-tugas berat.

Itu belum kita ambil kira model-model jenama Jepun yang lain. Misalnya, salah satu model yang turut tampil dengan penawaran meyakinkan ialah Mitsubishi Triton, yang turut memperkenalkan varian Athlete yang kini merupakan spesifikasi paling tingginya di Malaysia, pada harga RM141,500.

PANDU UJI: JMC Vigus Pro 4×4 — trak China yang ingin melawan gergasi-gerasi Jepun; ada peluang?

Tidak lupa juga Isuzu D-Max, yang pada April lalu turut dilancarkan versi facelift terkininya untuk pasaran tempatan, dengan varian 3.0L X-Terrain 4×4 sebagai model paling lengkap pada harga RM141,938. Kedua-dua ini juga dari satu sudut boleh dilihat sebagai sebuah penawaran untuk memenuhi kepenggunaan gaya hidup lebih daripada tugas berat.

Tentunya ada beberapa lagi model trak pikap yang masih dijual di sini jika ingin disenaraikan. Sekali lalu, model seperti Nissan Navara (terbaru juga ditawarkan dalam varian menarik, PRO-4X) dan juga Ford Ranger (yang menjadi pilihan utama pengguna urban sejak awal pengenalannya pada 2012 di sini). Melihat kepada semua model pesaing yang ada ini, yang hampir kesemuanya mempunyai kekuatan penawaran yang bukan calang-calang, ada satu pertanyaan yang bermain dalam fikiran; kenapa sebuah jenama China seperti JMC masih ingin “cucuk jarum” dalam segmen sama?

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama trak pikap dari jenama China cuba meninggalkan jejak dalam pasaran tempatan. Paling tidak ada sebuah model sebelum ini yang sudah pernah mencuba nasib, iaitu GWM Wingle 5 sekitar tahun 2013. Namun ia tidak kekal lama di sini, apatah lagi penawarannya ketika itu juga tidak ada banyak kelebihan untuk meletakkannya di hadapan pesaing lain. Jadi, apa pula taruhan JMW Vigus Pro terbaru ini?

Untuk tahun lebih dekat jawapan kepada pertanyaan ini, kami memandu ujinya dalam masa yang singkat minggu lalu untuk mencuba sendiri. Ini mungkin lebih kepada ulasan ringkas yang tercermin daripada tanggapan kami selepas meluangkan masa kurang lebih empat jam dengan jentera ini tempoh hari.

Pertama kali memerhatikan dengan agak teliti trak ini, kami berpandangan bahawa ia mempunyai penampilan dan rekaan yang agak terperinci dan tidak mengecewakan sebenarnya, jauh berbeza daripada norma atau tanggapan biasa trak China sebelum ini. Lihat wajah depannya saja sudah membuktikan hal itu; komposisi rekaannya nampak matang dan tegap sebagai sebuah wajah depan sebuah trak pikap.

Bahagian gril yang luas dengan jalur melintang yang jelas, diikuti pula dengan lampu utama dalam rekaan nipis, kemasan krom di sudut yang menempatkan lampu kabus serta plat pelindung di bawahnya memberikan satu stance yang cukup meyakinkan. Lampu utamanya bagaimanapun masih menggunakan jenis projektor halogen dengan ciri On/Off automatik, sementara lampu nyalaan siangnya dari jenis LED.

PANDU UJI: JMC Vigus Pro 4×4 — trak China yang ingin melawan gergasi-gerasi Jepun; ada peluang?

Lihat lebih dekat pada rekaan bamparnya, kita akan mendapati antara elemen yang diberi keutamaan dan diteruskan ke bahagian-bahagian lain trak ini ialah rekaan bersegi, yang bertujuan untuk menampakkannya berotot dan gagah. Misalnya, ini dapat dilihat pada bahagian bampar di ruang lampu kabus, serta lengkuk tayar yang bersegi dan besar.

Dari sisi, JMC Vigus Pro ini nampak ringkas dan bersih, selain rekaan berotot pada lengkuk tayar dan juga garis bawah di sisinya yang dibawa hingga ke belakang. Trak ini menggunakan rim 16-inci aloi, serta pemijak kaki sisinya juga dari bahan tahan lasak dan tidak licin. Di belakang, lampu belakangnya datang dengan kesan visual 3D. Pintu ruang barangan sangat ringkas, dengan pelapik plastik hitam melintang yang menampakkan bahagian bamparnya sangat tebal. Kamera undur terletak pada bahagian pemegang pintu dan tersorok kemas, sementara sensor undur juga ada tertanam di bampar/pemijak.

Jika ada perkara yang nampak janggal pula, itu ialah sportsbar yang digunakan. Pertama, ia nampkan agak kecil dan kurus, tidak seimbang dengan imej keseluruhan trak ini yang tampil besar dan gagah, dan kedua ia nampak seperti material biasa walaupun menurut risalah, ia menggunakan material gentian kaca. Mujur, kedudukan lampu brek ketiga berada tinggi di atas, memudahkan lagi pemandu di belakang untuk nampak lebih jelas dan mengambil tindakan sewajarnya.

Kemudian, ada dua cangkuk yang terkeluar di setiap sisi. Pertama kali melihatnya di cermin sisi ketika memandu, pemandangan tersebut agak aneh. Ia mungkin bertujuan untuk memudahkan anda sekiranya perlu mengikat barangan di belakang, atau ingin memperkemas dan merapikan kanvas penutup. Walaupun sedikit mengganggu penglihatan, kelebihannya, ada banyak titik yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna untuk mengikat ketat barangan yang dibawa, misalnya sekiranya ingin mengangkut basikal untuk beriadah.

JMC Vigus Pro mempunyai ukuran dimensi seperti berikut; 5,305 mm panjang, 1,905 mm lebar, 1,835 mm tinggi dan jarak antara roda 3,085 mm. Radius pusingannya pula adalah 6.5 m dengan jarak kelegaan tanah 225 mm. Berat trak ini ialah 1,995 kg, dengan tampungan beban sehingga 850 kg. Kapasiti tangki minyak pula 68L.

Bila masuk pula ke dalam kabin, trak pikap JMC ini terus menunjukkan kesungguhan penawarannya yang menjanjikan. Rekaan dan suasananya nampak kemas dan sangat selesa, terasa seperti sebuah ruang kabin SUV berbanding sebuah trak pikap. Unit yang kami pandu ini datang dengan kemasan hitam dan krom, menerbitkan rasa elegan. Walaupun kebanyakan bahagian menggunakan material plastik keras, ada juga tempat-tempat yang diberikan material lembut, misalnya seperti papan pemuka berhadapan dengan penumpang.

Kerusinya walaupun hanya dibalut dengan fabrik, tetap tampil dengan reka bentuk dan material span lembut yang memeluk badan dengan sangat selesa. Mungkin kekurangannya adalah kerusi ini hanya datang dengan larasan manual sahaja, tiada larasan elektrik bahkan untuk pemandu. Mengimbangi kekurangan itu adalah tingkapnya; ada Auto untuk naik dan turun, serta ciri Anti-Pinch.

Stereng pula balutan kulit, dengan rekaan rata di bawah. Walaupun terasa sedikit kecil untuk memberikan rasa “kendalian” yang setara saiz trak ini, ia menampilkan ciri premium balutan kulit dengan butang kawalan tersedia. Sekadar makluman, butang untuk kawalan melayar (cruise control) turut ada, yang membolehkan pemandu menetapkan kelajuan antara 40 km/j hingga 150 km/j. Tidak lupa, turut disediakan ialah paddle shifter untuk memudahkan pemandu menukar gear.

Meter analognya juga ringkas dan jelas untuk dilihat oleh pemandu, diapit oleh skrin TFT 3.5 inci di tengah untuk data pemanduan. Di konsol tengah, terletak sebuah skrin sentuh lapan-inci sebagai perantara untuk sistem hiburan dan juga video kamera undur. Menambah ciri premium pada trak ini ialah rekaan tuil atau tombol gearnya.

Ia tampil ringkas dan moden, pertama dalam kelas trak pikap kerana biasanya rekaan ini digunakan untuk kenderaan penumpang yang sedikit premium, serta boleh dikendalikan dengan mudah juga tanpa perlu pergerakan berlebihan. Melihatnya kita boleh jadi terlupa bahawa ini sebuah trak pikap, yang biasanya akan hadir dengan rekaan tombol gear automatik yang konvensional.

Lain-lain kelengkapan yang turut ada pada trak ini termasuklah sensor depan dan belakang yang boleh mengesan dari jarak 120 cm di tengah dan 60 cm dari kedua-dua sisi yang akan memberikan amaran bunyi kepada pemandu, pemanas cermin sisi untuk memudahkan penglihatan waktu hujan, lampu utama On/Off automatik, kawalan cermin kuasa dan cermin sisi melalui remote, kunci pintu automatik yang sensitif terhadap kelajuan serta pengilap cermin automatik ketika hujan.

Rekaan luaran dan kabin nampak menarik, tapi macam mana pula dengan sistem janaan kuasa trak ini? Aspek ini sebenarnya juga boleh jadi satu kelebihan bagi JMC Vigus Pro — ia menggunakan enjin Puma 2.0L TDI diesel. Macam pernah dengar? Ini kerana ini enjin yang sama oleh Ford yang telah dikenali ramai, yang memberikan prestasi dan boleh diharap. Enjin ini menjana sebanyak 141 PS pada 3,600 rpm manakala tork pula 340 Nm dari 1,500-2,600 rpm. Kadar penggunaan minyak pula ialah 7.8L/100 km berdasarkan ujian UNECE R101.

PANDU UJI: JMC Vigus Pro 4×4 — trak China yang ingin melawan gergasi-gerasi Jepun; ada peluang?

Nah, tambah menarik adalah gandingan transmisi yang digunakan oleh trak ini — ia menggunakan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan dengan mod manual. Ini jarang-jarang digunakan untuk sebuah trak pikap, dengan jumlah kelajuan yang sebegini. Sebagai perbandingan, Ford Ranger Raptor yang dijual pada harga lebih RM200k barulah dilengkapi dengan transmisi 10-kelajuan. Jadi, aspek pacuan dan janaan kuasa memang nampak meyakinkan pada trak ini, apatah lagi ia juga hadir dengan sistem BorgWarner 4WD dengan differential lock Eaton.

Kemudian, macam mana rasa pemanduan JMC Vigus Pro? Sepanjang pengalaman singkat kami bersama trak ini, ia adalah sebuah trak yang sangat mudah dipandu. Ada perasaan yang terbit mengatakan bahawa trak JMC ini memang direka untuk lebih cenderung memenuhi keperluan penggunaan dalam bandar — trak pikap sebagai sebuah unsur gaya hidup yang semakin diterima.

Hampir setiap maklum balasnya terasa sangat ringan, baik ketika ingin memusing stereng dari keadaan pegun, menekan pedal minyak untuk menggerakkan trak serta bahkan breknya juga. Walaupun ia nampak agak berotot, sebenarnya disebabkan aspek maklum balas yang ringan itu telah menjadikannya sangat mudah dikendali.

PANDU UJI: JMC Vigus Pro 4×4 — trak China yang ingin melawan gergasi-gerasi Jepun; ada peluang?

Untuk duduk di dalamnya juga adalah satu pengalaman yang sangat menyenangkan. Kabinnya boleh dikatakan mampu menandingi suasana yang disediakan oleh model pesaing yang lain, dengan agak baik juga — ia ada memberikan rasa “mahal” dan bukan lagi sebagai satu penawaran yang lebih murah yang miskin kualiti.

Di jalanraya, memandunya juga terasa sangat familiar. Ini kerana, jika anda sudah terbiasa dengan cara dan bunyian yang terhasil ketika memandu Ford Ranger sebelum ini, maka feel berkenaan kekal dan sangat ketara dapat dirasakan. Ini bermaksud, hal ini juga menjadi satu kelebihan untuk JMC Vigus Pro; ia datang dengan sistem pacuan dan janaan kuasa yang sudah terbukti boleh diharap dan berada pada tahap kualiti yang lebih daripada memuaskan.

Transmisi ZF automatik lapan-kelajuan yang ada pula menjadikan pemanduan lebih bersahaja. Walaupun bunyi enjin diesel masih kedengaran agak jelas dari dalam kabin, penukaran gear yang berlaku sangat lancar dan membolehkan trak ini sentiasa berada dalam keadaan bertenaga dengan tork yang tersedia pada kebanyakan kedudukan gear.

PANDU UJI: JMC Vigus Pro 4×4 — trak China yang ingin melawan gergasi-gerasi Jepun; ada peluang?

Namun ada satu perkara yang kami kurang gemar. Selepas meletak kenderaan dan ingin mengunci trak menggunakan remote, akan ada bunyi hon yang turut kendengaran sebagai tanda. Masalahnya bunyi berkenaan terlalu kuat, dan ciri ini dirasakan sama sekali tidak perlu. Sehingga ada keadaan ketika meletak trak ini berdekatan orang ramai yang sedang makan di meja luar kedai, kami memilih untuk tidak mengunci trak ini kerana tak ingin mengganggu persekitaran.

Kelengkapan keselamatan trak ini juga memuaskan pada tahap standard. Ia datang dengan dua beg udara sahaja, ada sistem brek anti-kunci (ABS), agihan daya brek elektronik (EBD), program kestabilan elektronik (ESP), bantuan mula mendaki (HSA), kawalan menuruni curam (HDC) serta brek cakera saiz besar di depan dan belakang.

JMC Vigus Pro 4×4 ini hanya ditawarkan dalam satu varian yang paling lengkap sahaja untuk pasaran tempatan, dengan harga RM98,888 atas jalan tidak termasuk insurans, dengan pengecualian SST. Empat warna ditawarkan untuk trak pikap ini — Solid White, Brilliant Silver, Glossy Black dan warna utama Steady Brown, dengan jaminan tiga-tahun atau 100,000 km.

Jadi, bagaimana untuk melihat penawaran JMC Vigus Pro ini dalam kalangan pesaing gergasi-gerasi Jepun yang ada ketika ini? Trak China ini ternyata ingin memberikan banyak nilai kepada pelanggannya, dan satu daripadanya adalah tanda harga yang berada di bawah RM100k bagi penawaran satu varian tunggal. Ini sebenarnya kurang sekitar RM40k jika dibandigkan dengan model-model varian tertinggi trak pikap lain yang ada.

PANDU UJI: JMC Vigus Pro 4×4 — trak China yang ingin melawan gergasi-gerasi Jepun; ada peluang?

Namun, itu boleh difahami, kerana bagi pesaing lain misalnya Isuzu D-Max 3.0L X-Terrain, ia bukan sahaja datang dengan kapasiti enjin yang lebih besar, sebaliknya dengan tambahan teknologi keselamatan maju seperti ADAS disertakan sekali. JMC Vigus Pro ini bolehlah dilihat sebagai sebuah penawaran yang ideal untuk mereka yang ingin mempertimbangkan varian-varian model lain selain varian yang tertinggi seperti disebutkan.

Ini kerana, walaupun sebuah trak China, ia bukanlah sama seperti kualiti buatan dan penawaran 10 tahun lalu. Ada banyak pujian yang boleh diberikan kepada trak JMC ini, terutama dari segi kehalusan pembuatannya yang kini mampu menyaingi trak-trak lain. Kedua, sistem janaan kuasanya juga sudah terbukti, bahkan mungkin menjadi lebih baik dan maju terutama transmisi yang digunakan, berbanding trak pikap lain.

Kami sendiri kagum dengan apa yang ada pada trak ini untuk ditawarkan. Ditambah dengan harganya yang berada di bawah RM100k (ketika ini adalah normal untuk trak pikap melepasi angka itu) dan mengambil kira semua kelengkapan yang ada, JMC Vigus Pro mungkin boleh menjadi pilihan alternatif yang sangat baik. Cuma, seperkara yang mungkin masih lagi menjadi kekurangannya adalah, disebabkan ini jenama baru, pusat servis dan sokongan lepas jualannya juga ketika ini adalah terhad, dan memerlukan masa untuk dikembangkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required