Toyota Hilux facelift 2021 kini di M’sia — 2.8L Rogue, lebih kuasa, 5 varian, 10,000 km servis, dari RM93k

Toyota Hilux <em>facelift</em> 2021 kini di M’sia — 2.8L Rogue, lebih kuasa, 5 varian, 10,000 km servis, dari RM93k

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini dengan rasminya melancarkan Toyota Hilux facelift 2020 untuk pasaran Malaysia. Hilux dengan wajah baru ini ditawarkan dalam lima varian; 2.8 Rogue AT 4×4 pada harga RM146,880; 2.4V AT 4×4 pada harga RM133,880; 2.4G MT 4×4 pada harga RM111,880; 2.4E AT 4×4 pada harga RM108,880; dan Single Cab 2.4 MT 4×4 pada harga RM92,880. Semuanya harga atas jalan tidak termasuk insurans.

Untuk peringkat awal ini, UMWT menawarkan varian Rogue pada harga RM144,880 – kurang RM2k – bagi pelanggan yang membelinya sepanjang tahun ini. Ambil maklum juga bahawa harga ini termasuk SST, memandangkan trak pikap tidak termasuk di dalam pengecualian cukai kenderaan yang diumumkan kerajaan untuk tahun 2020.

Sama seperti sebelum ini, dua pilihan enjin ditawarkan, iaitu 2.4L dan 2.8L GD turbodiesel. Bagaimanapun, hanya Rogue yang akan menggunakan unit yang paling besar tersebut. Enjin 1G-FTV itu kini menghasilkan sebanyak 204 PS pada 3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm – peningkatan sebanyak 27 PS dan 50 Nm berbanding sebelum ini.

Toyota Hilux <em>facelift</em> 2021 kini di M’sia — 2.8L Rogue, lebih kuasa, 5 varian, 10,000 km servis, dari RM93k

Walaupun dengan angka janaan kuasa yang lebih, Toyota mendakwa enjin ini 4% lebih jimat bahan api dengan purata penggunaannya pada kadar 10.9 km/l. Enjin ini turut diberikan unit turbo diperbaharui agak lebih tahan yang kini menggunakan sejukan cecair (dulu sejukan udara).

Varian selebihnya pula menggunakan enjin 2GD-FTV 2.4L yang menjana 150 PS pada 3,400 rpm dan 400 Nm dari 1,600 hingga 2,000 rpm. Unit dengan variable nozzle turbocharger (VNT) menerima penambahbaikan dari aspek penyejukan dan penjimatan bahan api. Dengan peningkatan tekanan pada sistem commonrail, penjimatan diesel ditingkatkan sebanyak 5%. Apa yang lebih menarik ialah tempoh servisnya – Hilux kini hanya perlu diservis setiap 10,000 km/6 bulan (berbanding setiap 5,000 km/3 bulan sebelum ini), yang akan memberi kesan kepada pengurangan kos servis pemilik.

Semua varian dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan – automatik dengan Sequential Shift (dengan mode Power/Eco) atau manual bagi yang single cab dan 2.5G double cab. Sterengnya juga kini telah dilengkapi sistem Variable Flow Control (kecuali pada Single Cab) yang mengurangkan beban pada pam stereng, dan menyumbang kepada penjimatan bahan api. Varian Rogue dan 2.4L V pula menerima Auto LSD untuk cengkaman yang lebih baik. Semua varian datang dengan pacuan 4×4.

Toyota Hilux <em>facelift</em> 2021 kini di M’sia — 2.8L Rogue, lebih kuasa, 5 varian, 10,000 km servis, dari RM93k

Versi Single Cab menggunakan rim 17-inci logam, 2.4E dan 2.4G dengan rim 17-inci aloi sementara 2.4V dan Rogue menggunakan rim 18-inci dengan tayar highway terrain (All Terrain bagi yang lain) saiz 265/60. Bagi Rogue, rekaan rim juga berlainan.

Bagi kelengkapan, semua varian menerima lampu depan reflektor halogen automatik. Bagaimanapun, bagi 2.4V dan Rogue datang dengan lampu projektor bi-LED automatik dengan DRL dan lampu kabus LED. Tiga varian paling atas (G MT, V dan Rogue) dilengkapi lampu isyarat pada cermin sisi kuasa elektriknya.

Di dalam, tiga varian teratas itu juga dilengkapi dengan meter Optitron dengan paparan multi-info 4.2-inci berwarna, sistem tanpa kunci dengan butang Start dan stereng balutan kulit. Head unit dengan skrin sentuh bagi tiga varian ini juga lengkap dengan sokongan ciri Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto.

Enam pembesar suara adalah standard untuk semua varian double cab, termasuk slot pengecas USB. Varian 2.4V dan Rogue pula datang dengan pendingin hawa automatik dan corong belakang, serta dashcam sebagai ciri standard.

Bagi tempat duduk, varian G dan E menggunakan material fabrik, V menggunakan kombinasi fabrik dan kulit manakala Rogue menggunakan material kombinasi kulit dengan liang udara dalam warna hitam-kelabu. Rogue dan 2.4V juga menerima pencahayaan suasana bagi tempat duduk depan dan bahagian kaki penumpang – dengan lampu pada bahagian pintu untuk Rogue.

Bagi aspek keselamatan pula, versi single cab, 2.4G dan 2.4E datang dengan tiga bed udara, sementara dua varian tertinggi menerima tujuh beg udara. Semua varian double-cab mendapat penarafan lima-bintang untuk ASEAN NCAP, serta lengkap dengan VSC, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan dan sensor undur (2.4G ke atas ada kamera undur).

Peninjau titik buta dan amaran trafik lintasan belakang ada pada dua varian teratas, begitu juga dengan filem penapis haba keselamatan. Rogue bagaimanapun lengkap dengan Toyota Safety Sense, yang terdiri daripada ciri-ciri seperti Pre- Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Lane Departure Alert (LDA) dengan Yaw Assist.

Semua Hilux didatangkan dengan sistem sekuriti kustom yang terdiri daripada immobilizer enjin, penggera serta sensor cerobohan kabin. Sebagai tambahan, sistem telematik diberikan standard bagi Rogue dan 2.4V untuk membolehkan trak ini dijejaki dalam masa nyata menggunakan isyarat GPS.

Pilihan untuk aksesori tambahan juga tersedia; pembeli varian yang lebih rendah boleh memilih untuk menambah kelengkapan yang ada pada varian yang lebih tinggi. Sebagai contoh, ini termasuk head unit DVD-AVX (RM2,500 bagi 2.4E), peninjau pandangan panoramik (PVM) 360-darjah (RM2,600), peninjau titik buta (RM2,000 bagi 2.4G, 2.4E), perakam video belakang (RM350 bagi 2.4V, Rogue) dan sistem telematik (RM2,000 bagi semua kecuali 2.4V, Rogue).

Aksesori pilihan lain juga termasuk sportbar bagi semua varian double-cab, termasuk pada Rogue. Tambahan itu akan dikenakan RM1,555. Ada juga lampu pada bahagian pemijak sisi dan ruang barangan belakang. Rujuk senarai harga di atas untuk semua pilihan aksesori yang ada.

Pilihan warna ada tujuh; Bronze Mica Metallic (warna hero), Phantom Brown Metallic, Crimson Spark Red Metallic, Attitude Black Mica, Super White II, Medium Silver Metallic dan Silver Metallic. Bagi single-cab, hanya ada satu warna iaitu Solid White.

Jaminan pengeluar bagi Hilux ialah lima tahun atau 150,000 km. Untuk servis, UMWT juga menawarkan pakej Toyota Service Savers, yang membolehkan pelanggan untuk memasukkan sekali kos servis mereka ke dalam pinjaman – bermula dari RM3,580. Toyota menyisatkan pelanggan dapat jimat sehingga 13% dan menikmati diskaun sehingga 20% bagi alat ganti terpilih dengan pakej ini.

Versi ini merupakan facelift kedua bagi Hilux generasi ke-8 ini. Mula diperkenalkan pada 2015, ia diberi facelift yang pertama pada 2017. Dengan itu, ia juga diberikan perubahan wajah depan – dengan gril yang lebih besar – memberikan imej yang lebih gagah serta menarik berbanding variasi terdahulu. Rogue pula hadir sedikit berbeza dengan kemasan plastik hitam pada bahagian depan dan fender-nya. Lampu belakang juga kini dengan rekaan baru yang berbeza dari yang lama.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required