Mercedes-Benz A-Class sedan V177 CKD dilancarkan – A 200 dan A 250, bermula RM211k hingga RM240k

Mercedes-Benz A-Class  sedan V177 CKD dilancarkan – A 200 dan A 250, bermula RM211k hingga RM240k

Mercedes-Benz A 200 Progressive Line

Selepas dua tahun dijual di Malaysia dalam versi yang diimport sepenuhnya (CBU), Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini secara rasmi melancarkan A-Class sedan V177 dalam versi pemasangan tempatan (CKD). Ia masih ditawarkan dalam dua varian iaitu A 200 Progresive Line serta A 250 AMG Line, dan seperti dijangka, ia dijual pada harga lebih rendah.

Bagi A 200 Progresive Line CKD, sedan ini dijual pada harga RRM210,903. Manakala A 250 AMG Line pula dijual pada harga RM239,858. Angka-angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran serta termasuk pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi model CKD yang diberikan oleh kerajaan sehingga 30 Jun 2022.

Jadi berbanding model CBU, versi CKD ini adalah masing-masing sekitar RM11,000 dan RM19,000 lebih murah. Namun sekiranya cukai jualan 5% dikenakan semula selepas 31 Disember nanti, sedan A 200 dan A 250 ini akan dijual pada harga masing-masing RM219,888 dan RM249,888, atau sekitar RM10,000 dan RM18,000 lebih murah dari model CBU. Waranti masih tidak berubah dengan perlindungan selama empat tahun tanpa had perbatuan.

Mercedes-Benz A-Class  sedan V177 CKD dilancarkan – A 200 dan A 250, bermula RM211k hingga RM240k

Bagi spesifikasi, kedua-dua varian CKD ini masih menerima kelengkapan yang hampir sama dengan model CBU sebelum ini. Oleh itu, kedua-duanya diberikan lampu hadapan LED High Performance (tanpa pilihan lampu Multibeam) dengan sistem automatik. Ia juga disertakan dengan rim 18-inci lima jejari dan juga tip ekzos berkembar di belakang.

Pakej AMG Line pada A 250 ditambah dengan bampar hadapan lebih garang, skirt sisi, dan set rim AMG. Walau bagaimanapun, model A 200 kini tidak lagi menerima tayar run flat, dan ia kini sama dengan A 250, diberikan tayar standard dengan kit baikpulih tayar. Manakala bagi A250 pula model CKD ini tidak lagi menerima cakera brek hadapan yang ditebuk.

Pada bahagian kabin, A 200 dan A 250 sedan ini menerima sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) juga disertakan, dengan paparan dua buah skrin lebar bersaiz 12.3-inci yang turut berfungsi sebagai paparan instrumen utama.

Mercedes-Benz A 250 AMG Line

Sistem MBUX berkenaan dapat dioperasikan menggunakan arahan suara “Hey Mercedes”, yang dapat mengawal fungsi seperti penghawa dingin dan sistem navigasi, dan ia direka bagi ‘belajar’ sifat-sifat pemiliknya menerusi teknologi A.I.

Model A 200 hadir dengan kemasan ala gentian karbon bersama upholsteri kulit palsu Artico. Manakala model A 250 menerima tempat duduk sport dengan fungsi pemanas yang bersepadu dengan perehat kepala, bersama roda stereng rata di bawah dengan rekaan rata di bawah, kemasan brushed aluminium serta upholsteri Artico dan gentian mikro Dinamica.

Kelengkapan standard lain turut sama seperti versi CBU termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, tempat duduk larasan berkuasa dengan fungsi memori dan larasan lumbar empat hala, cruise control, cermin sisi dengan fungsi lipat automatik, kemasan bendul pintu bernyala, sistem navigasi berasaskan cakera keras serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Bagi sistem pendingin hawa, model CKD ini kini diberikan sistem Thermotronic dua zon dan ditambah dengan liang kabin belakang.

Mercedes-Benz A 250 AMG Line (kiri) dan A 200 Progressive Line (kanan)

Unit janakuasa juga serupa di mana model A 200 diberikan enjin 1.33 liter empat-silinder turbo M282 (dibina bersama Renault) yang menjana 163 hp pada takat 5,500 rpm, dan tork maksima 250 Nm bermula 1,620 hingga 4,000 rpm. Kuasa disampaikan pada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar jenis basah automatik tujuh-kelajuan dari Getrag, membolehkan model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.1 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksima 230 km/j. Penggunaan bahan api gabungan pula adalah 5.4 liter untuk 100 km.

Model A 250 pula masih menerima enjin 2.0 liter empat silinder turbo M260, tetapi menerima talaan semula bagi membolehkan ia menghasilkan 224 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,800 hingga 4,000 rpm. Kotak gear klac berkembar automatik jenis basah dari Mercedes-Benz juga masih diberikan, dengan talaan yang dikemaskini.

Enjin Mercedes-Benz A 250 AMG Line (kiri) dan A 200 Progressive Line (kanan)

Ini membolehkan A 250 sedan berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat dengan kelajuan maksima 250 km/j. Sementara penggunaan bahan api gabungan pula dicatatkan pada kadar 6.3 liter untuk 100 km.

Model A 250 juga menerima suspensi mulitilink yang lebih jitu pada bahagian belakang, manakala A 200 pula diberikan sistem torsion beam yang lebih ringkas. Walau bagaimanapun, kedua-duanya menerima talaan selesa dengan penyerap hentak pasif dan juga direndahkan 15 mm dari asal.

Untuk keselamatan pula, kesemua varian diberikan tujuh-beg udara, Bantuan Brek Aktif (brek kecemasan automatik), sistem pemantau tekanan angin tayar serta Bantuan Parkir Aktif bersama kamera undur. Bagi model A 250, versi CKD ini kini ditambah dengan pemantau titik buta.

GALERI: Mercedes Benz A 200 Progresive Line CKD 2021

GALERI: Mercedes Benz A 250 AMG Line CKD 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required