Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 dilancarkan di M’sia – A 200 dan A 250, bermula RM230k-RM268k

Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 dilancarkan di M’sia – A 200 dan A 250, bermula RM230k-RM268k

Oktober tahun lalu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun membawakan hatchback generasi baharu A-Class W177, dan kini mereka yang mahukan model sama tetapi dengan tahap praktikaliti lebih tinggi sudah boleh ke mana-mana bilik pameran MBM kerana versi sedan A-Class V177 secara rasmi telah dilancarkan pada pasaran tempatan.

Mercedes-Benz A-Class Sedan ini turut ditawarkan dengan dua varian iaitu A 200 Progresive Line dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM229,888, manakala model A 250 AMG Line dijual pada harga RM267,888. Kesemua harga adalah berserta waranti empat tahun tanpa had perbatuan. Jika dibandingkan dengan model hatchback, varian sedan A 200 hanya RM2,000 lebih mahal dan A 250 pula hanya RM4,000 lebih mahal.

Dengan kelebihan pada bahagian belakang, sedan ini adalah 130 mm lebih panjang dan enam milimiter lebih tinggi dengan dimensi keseluruhan 4,549 mm panjang, 1,796 mm lebar dan tinggi 1,446 mm. Manakala jarak roda pula masih kekal pada 2,729 mm. Menurut Mercedes, model sedan ini mempunyai ruang kepala belakang serta ruang bahu dan siku paling luas dalam kelasnya. Ruang but pula berkapasiti 420 liter atau 50 liter lebih besar dari model hatch.

Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 dilancarkan di M’sia – A 200 dan A 250, bermula RM230k-RM268k

Pada bahagian muka, model sedan ini masih mempunyai rupa yang sama dengan hatchback. Ia hadir dengan lampu hadapan lebih tirus dan hidung lebih rendah dari model sebelum ini, bersama gril berbentuk trapezoid dengan logo bintang Mercedes-Benz Bersaiz besar. Garis bahu juga seiras dengan versi hatchback bersama lampu belakang yang direka tirus.

Kedua-dua varian diberikan lampu hadapan LED High Performance (tanpa pilihan lampu Multibeam) dengan sistem automatik. Ia juga disertakan dengan rim 18-inci lima jejari dan juga tip ekzos berkembar di belakang. Pakej AMG Line pada A 250 ditambah dengan bampar hadapan lebih garang, skirt sisi, cakara brek hadapan yang ditebuk serta set rim AMG. Model A 200 menerima tayar run flat, tetapi untuk A 250 diberikan tayar standard dengan kit baikpulih tayar.

Bahagian kabin juga masih menyerupai model hatchback dengan papan pemuka berbentuk sayap, bersama panel paparan skrin berdiri sendiri. Liang penghawa dingin berbentuk turbin juga masih diberikan, bersama lampu suasana 64-warna dengan 10 tema.

Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 dilancarkan di M’sia – A 200 dan A 250, bermula RM230k-RM268k

Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) juga disertakan, dengan paparan dua buah skrin lebar bersaiz 12.3-inci yang turut berfungsi sebagai paparan instrumen utama. Sistem MBUX berkenaan dapat dioperasikan menggunakan arahan suara “Hey Mercedes”, yang dapat mengawal fungsi seperti penghawa dingin dan sistem navigasi, dan ia direka bagi ‘belajar’ sifat-sifat pemiliknya menerusi teknologi A.I.

Model A 200 hadir dengan kemasan kayu linden hitam bersama upholsteri kulit palsu Artico. Manakala model A 250 menerima tempat duduk sport dengan fungsi pemanas yang bersepadu dengan perehat kepala, bersama roda stereng rata di bawah dengan rekaan rata di bawah, kemasan brushed aluminium serta upholsteri Artico dan gentian mikro Dinamica.

Kelengkapan standard lain turut serupa dengan versi hatchback termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, tempat duduk larasan berkuasa dengan fungsi memori dan larasan lumbar empat hala, cruise control, sistem penghawa dingin automatik zon tunggal tanpa liang kabin belakang, cermin sisi dengan fungsi lipat automatik, kemasan bendul pintu bernyala, sistem navigasi berasaskan cakera keras serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 dilancarkan di M’sia – A 200 dan A 250, bermula RM230k-RM268k

Unit janakuasa juga serupa di mana model A 200 diberikan enjin 1.33 liter empat-silinder turbo M282 (dibina bersama Renault) yang menjana 163 hp pada takat 5,500 rpm, dan tork maksima 250 Nm bermula 1,620 hingga 4,000 rpm. Kuasa disampaikan pada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar jenis basah automatik tujuh-kelajuan dari Getrag, membolehkan model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.1 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksima 230 km/j. Penggunaan bahan api gabungan pula adalah 5.4 liter untuk 100 km.

Model A 250 pula masih menerima enjin 2.0 literempat silinder turbo M260, tetapi menerima talaan semula bagi membolehkan ia menghasilkan 224 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,800 hingga 4,000 rpm. Kotak gear klac berkembar automatik jenis basah dari Mercedes-Benz juga masih diberikan, dengan talaan yang dikemaskini.

Ini membolehkan A 250 sedan berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat dengan kelajuan maksima 250 km/j. Sementara penggunaan bahan api gabungan pula dicatatkan pada kadar 6.3 liter untuk 100 km.

Model A 250 juga menerima suspensi mulitilink yang lebih jitu pada bahagian belakang, manakala A 200 pula diberikan sistem torsion beam yang lebih ringkas. Walau bagaimanapun, kedua-duanya menerima talaan selesa dengan penyerap hentak pasif dan juga direndahkan 15 mm dari asal.

Untuk keselamatan pula, kesemua varian diberikan tujuh-beg udara, Bantuan Brek Aktif (brek kecemasan automatik), sistem pemantau tekanan angin tayar serta Bantuan Parkir Aktif bersama kamera undur.

GALERI: Mercedes Benz A 200 Progresive Line

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required