Setelah membuat penampilan pertama di India September lalu, Yamaha R15 generasi keempat (V4) kini memasuki pasaran Indonesia. Ia diperkenalkan sebagai R15 Connected, yang bermaksud semua versi dari yang asas berharga 38.9 juta rupiah (RM11,400) hingga R15M berharga 14.1 juta rupiah (RM12,900) didatangkan terus dengan sistem sambungan Y-Connect.
Bagi model generasi baru ini, enjin masih dikekalkan, iaitu unit satu silinder SOHC 155 cc dengan teknologi VVA dan padanan transmisi enam gear dengan klac slip & assist, mampu menghasilkan kuasa 19 hp 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.
Perubahan pertama yang boleh dilihat jelas adalah panel badan, di mana kesemuanya adalah baru, dan dipasang dengan lampu hadapan LED yang lebih kompak di tengah dan DRL di tepi. Tangki bahan api (kapasiti masih lagi 11 liter), panel tepi dan penghadang lumpur juga adalah baru.
Naik taraf paling penting R15 V4 sebenarnya adalah pada bahagian elektronik, di mana ia dipasang dengan sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup), quickshifter serta ABS two-channel. Bagi model pasaran Indonesia, semua ciri baru ini boleh didapati pada model R15M sementara model permulaan cuma datang dengan kelengkapan asas dan juga tiada ABS.
Selain daripada grafik lebih sporty (ditawarkan dalam warna perak dan corak sambutan ulang tahun GP ke-60), R15M juga menerima balutan tempat duduk dengan corak gentian karbon, angkup brek warna emas dengan cop Bybre, rekaan bahagian atas triple clamp seperti R1 dengan penutup fork warna biru serta dua mod pada panel instrumen, iaitu Street dan Track.
Kelengkapan lain R15 Connected masih sama seperti sebelum ini, termasuk fork USD di hadapan, monoshock dengan pelarasan pra beban, brek cakera 282 mm dengan angkup dua piston di hadapan, cakera brek 220 mm di belakang, lengan ayun aluminium, panel instrumen digital, rim 17 inci serta berat 137 kg (tambahan tiga kilogram bagi R15M).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.