Yamaha R15 V4 didedah – dilengkapi Traction Control, Lap Timer dan quickshifter, pilihan versi sporty R15M

Yamaha R15 V4 didedah – dilengkapi Traction Control, Lap Timer dan quickshifter, pilihan versi sporty R15M

Berita kewujudannya sudah diketahui ramai, dan sekarang akhirnya Yamaha mendedahkan secara rasmi YZF-R15 Version 4.0 buat pertama kali kepada dunia. Ia dilakukan di India, iaitu salah satu pasaran terpenting Yamaha, dan kemudiannya akan diikuti oleh negara-negara lain.

Menariknya bagi model R15 baru ini, Yamaha telah memperkenalkan juga versi lebih sporty yang dipanggil sebagai R15M, di mana ia menggunakan skema warna sama seperti R1M, dan diberikan beberapa kemasan unik seperti lencana R15M, penutup atas fork dengan logo R15M, tempat duduk khas, angkup brek Bybre warna emas serta lengan ayun dan pelindung ekzos berwarna kelabu. Spesifikasi teknikal adalah sama sahaja seperti R15 V4 biasa.

Enjin pada R15 V4 ini masih lagi sama, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api SOHC, VVA 155 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, tetapi kuasanya ada sedikit perbezaan, menjadi 18.4 PS pada 10,000 rpm dan 14.2 Nm tork pada 7,500 rpm (pengurangan 0.2 PS dan penambahan 0.1 Nm jika dibandingkan dengan model R15 V3 di India.

Naik taraf lebih penting yang diberikan oleh Yamaha pada model ini sebenarnya adalah pada bahagian elektronik, di mana R15 sekarang diberikan terus dengan sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup) sementara quickshifter pula diberikan pada model R15 warna biru dan R15M. Ciri ini melengkapi sistem ABS two-channel yang sudah sedia ada pada R15.

Kemudiannya pada bahagian panel paparan, unit digital penuh LCD yang digunakan sekarang boleh memaparkan lebih banyak informasi dan boleh disambungkan kepada aplikasi Y-Connect di telefon bimbit untuk memberikan fungsi seperti notifikasi dan tahap bateri. Paparan unit ini juga disediakan dalam dua mod iaitu Street untuk keadaan biasa, dan Track yang boleh memaparkan catatan masa pusingan di litar.

Sebagai sebuah model yang dipanggil sebagai versi baru, sudah tentu panel badan R15 ini ditukar dan ia melibatkan seluruh bahagian termasuklah tangki, penghadang lumpur dan panel tepi. Walaubagaimanapun, yang paling menarik adalah di bahagian depan kerana R15 V4 ini menggunakan hanya satu set lampu LED bulat di tengah untuk lampu biasa dan lampu tinggi, sementara di tepinya adalah lampu DRL.

Yamaha R15 V4 didedah – dilengkapi Traction Control, Lap Timer dan quickshifter, pilihan versi sporty R15M

Kelengkapan lain pada R15 V4 ini adalah sama seperti R15 sebelumnya, termasuklah fork USD di hadapan (satu peningkatan bagi model India sementara di negara kita R15 V3 sudah memang menggunakan fork USD), monoshock, brek cakera 282 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, tangki bahan api 11 liter, berat 142 kg dan lengan ayun aluminium.

Di India, R15 V4 dijual pada harga bermula 167,800 rupee (RM9,534) untuk model asas tanpa quickshifter, 172,800 rupee (RM9,818) untuk model warna biru dengan quickshifter, 177,800 rupee (RM10,102) untuk R1M Silver dan 179,800 rupee (RM10,216) untuk R1M MotoGP Edition.

GALERI: Yamaha YZF-R15 V4 2022

GALERI: Yamaha YZF-R15M V4 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Muhammad faiz on Sep 23, 2021 at 12:46 am

    Bila masuk pasaran malaysia dah sedia nak beli tunai terus

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Elman on Sep 23, 2021 at 9:55 am

    Awesome,,pasti puas hati….️️️…..

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Baru nak angkat haritu,nasib ade yg bgtau pasal v4 ni…hopefully harga xjauh beza sgt

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required