Harga rasmi bagi Mazda BT-50 generasi ketiga untuk pasaran Malaysia telah pun didedahkan minggu ini, dan kini kami bawakan pula galeri penuh trak pikap tersebut. Jika model generasi sebelum ini menggunakan asas daripada Ford Ranger, model baru ini beralih kepada Isuzu D-Max pula, yang baru juga dilancarkan tahun ini.

Walaupun platform dan enjin dikongsi dari D-Max, BT-50 diberikan rekaan luaran yang jauh lebih menarik dan menawan. Rekaan Kodo menyaksikan wajah depannya membawakan imej yang sama dengan barisan SUV CX Mazda yang lain, dengan lampu tirus serta bukaan gril yang luas. Bahagian belakang BT-50 juga lebih ringkas dengan rekaan lampu yang berbeza daripada D-Max. Rekaan dalaman BT-50 juga berbeza, dengan kecenderungan yang lebih menyerupai ruang kabin kereta.

Dibawa masuk CBU dari Thailand, variannya bermula dengan 1.9L Single Cab MT, diikuti dengan double cab 1.9L Mid MT, 1.9L Mid AT, 1.9L High AT dan yang paling lengkap 3.0L High Plus AT. Ketika ini, hanya ada harga untuk dua varian terakhir yang dinyatakan itu sahaja, dengan 1.9L High AT pada harga RM124,179.20, sementara 3.0L High Plus AT pada harga RM143,218.40.

Semuanya harga atas jalan tidak termasuk insurans dan termasuk jaminan lima-tahun atau 100,000 km jaminan pengeluar. Pengecualian SST ketika ini tidak terpakai untuk model ini, kerana ia trak pikap dan dikategorikan sebagai kenderaan komersial.

Untuk enjin, BT-50 menggunakan enjin sama dengan D-Max, dengan varian 1.9L memanfaatkan unit RZ4E-TC 1.9 liter empat-silinder turbodiesel, menghasilkan 148 hp pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 rpm hingga 2,600 rpm.

Varian paling tinggi pula menggunakan unit 4JJ3-TCX 3.0 liter empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 188 hp pada 3,600 rpm dan 450 Nm dari 1,600 hingga 2,600 rpm. Pacuan empat roda adalah standard untuk semua varian, tetapi ada pilihan penawaran kotak gear manual enam-kelajuan (MT) atau automatik enam-kelajuan (AT).