Yamaha Y “Suku” EV — kapcai elektrik dari Umorie

Yamaha Y “Suku” EV — kapcai elektrik dari Umorie

Anda tidak salah baca atau tengok. Motosikal yang ditunjuk ini memang sebuah Yamaha Y15, tetapi bukan lagi dengan enjin pembakaran dalaman yang biasa. Ia adalah sebuah motosikal contoh atau prototaip yang telah diubah suai menjadi sebuah kapcai EV — melibatkan usahasama dengan jenama yang ingin dikenali sebagai Umorie dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Turut dipamerken ketika majlis pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 Isnin lalu, Yamaha Y15 ini telah diubahsuai untuk dikeluarkan enjin konvensionalnya, dan kemudian digantikan dengan motor dan bateri serta tali sawat sebagai pemacu untuk membolehkannya menjadi sebuah motosikal EV sepenuhnya.

Baterinya lithium-ion seberat 21.5 kg dengan motor elektrik berkapasiti 4,300 watt-hours (diletak di kedudukan enjin asal) yang memerlukan masa hanya empat jam untuk dicas penuh dengan penyambung Type 2 biasa — dengan pengecasan yang didakwa mampu menjadi tiga kali lebih pantas berbanding yang terdapat dalam pasaran ketika ini. Jarak yang tersedia pula sekitar 130 km dan laju maksimum yang boleh dicapai ialah 132 km/j — satu angka yang tinggi untuk sebuah motosikal seperti ini, dan ternyata ia mementingkan aspek prestasi tunggangan juga.

Motosikal ini sebenarnya merupakan sebuah unit percubaan bagi Umorie untuk menjalankan kajian terhadap sistem bateri EV yang mereka bangunkan. Difahamkan, sistem keseluruhan yang digunakan ini bukanlah sekadar memanfaatkan komponen third-party sedia ada dalam pasaran semata-mata, sebaliknya dibangun dan disepadukan untuk keperluan khusus motosikal EV yang ingin dihasilkan itu, untuk kegunaan di Malaysia.

Adakah motosikal ini bakal menjadi kenyataan dan dijual di pasaran terbuka kelak? Ini kita perlu tunggu dan lihat. Apa yang penting, teknologi motosikal EV yang dibangunkan oleh anak watan kini memang sedang diusahakan, dan diharap Malaysia akan dapat memanfaatkan produk dan kepakaran mereka. Apa pandangan anda tentang motosikal EV prototaip ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required