Memandangkan Ford Ranger 2022 telah pun didedahkan, sekarang perhatian beralih pula kepada versi SUV, iaitu Everest. Gambar teaser pertama model generasi ketiga itu telah pun didedahkan, dan ia sepatutnya juga mendapat banyak kelengkapan seperti trak pikap tersebut.
Ini turut dapat dilihat melalui bahagian luarnya, yang menggunakan lampu hadapan gaya Maverick dengan bentuk C di penjuru, serta gril besar dan kemasan krom di tengah. Rekaan bampar bagaimanapun sedikit berlainan dan menggunakan perumah lampu kabus yang mempunyai kemasan krom.
Everest juga berkemungkinan menggunakan bonet, fender serta kabin yang sama seperti Ranger, sementara bahagian belakang sudah tentu berbeza dengan bentuk yang tertutup sepenuhnya. Lampu belakang menggunakan pencahayaan berbentuk L terbalik, dengan garisan LED terputus di bahagian penutup but.
Tiada perincian yang didedahkan setakat ini, tetapi kita boleh menjangka pengunaan enjin sama seperti Ranger, yang termasuk unit diesel turbo 3.0 liter V6 dan empat silinder petrol 2.3 liter turbo baru, serta 2.0 liter turbo dan twin turbo diesel seperti sebelum ini. Transmisi pula mungkin menggunakan unit manual enam dan lima kelajuan, serta automatik enam dan sepuluh kelajuan.
Ford memberitahu, mereka akan mendedahkan Everest baru ini pada suku pertama tahun hadapan, manakala jualan pula dijangka bermula pada suku kedua. Bagi Ranger, ia terus dibuat di kilang AutoAlliance Thailand (AAT) di Rayong.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.