Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

Selepas 10-tahun Ford Ranger T6 berada dalam pasaran, akhirnya ia bakal direhatkan sepenuhnya tidak lama lagi. Dan ini dia penggantinya, Ford Ranger 2022 serba baharu! Kali ini, Ranger diisytihar terus sebagai trak pikap global dalam saiz pertengahan yang akan dijual di 180 pasaran, dan pembangunan dilakukan secara ekstensif melibatkan kesemua aspek berdasarkan maklum balas pelanggan yang diterima.

Namun walaupun ia menampilkan pembangunan semula yang menyeluruh, Ranger generasi baharu ini masih menggunakan platform T6 sedia ada, tetapi telah direka semula dengan pelbagai penambahbaikan. Menurut Ford, setiap komponen pada kerangka ladder frame berkenaan telahpun “diusik”, tetapi masih menggunakan konfigurasi casis yang sama iaitu suspensi bebas di hadapan dan sistem gandar solid beam di belakang bersama spring dedaun.

Roda hadapan telah ditolak 50 mm ke hadapan sekaligus memanjangkan jarak rodanya, dan ia turut memberikan sudut approach yang lebih baik. Lebar trek roda juga telah dipertingkat sebanyak 50 mm bagi memberikan artikulasi gandar yang lebih bagus.

Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

Ranger sebelum ini telah dikenali sebagai sebuah trak pikap yang selesa, namun model baharu ini masih diberi penambahbaikkan untuk faktor tersebut. Rel kerangka suspensi telah dialihkan bagi memberikan pemanduan dan juga keselesaan lebih mirip kepada sebuah kereta.

Antara perkara menarik pada Ranger baharu ini adalah unit rangkaian kuasanya. Buat pertama kali, Ranger ditawarkan dengan enjin turbodiesel 3.0 liter V6 yang sama seperti pada trak pikap saiz penuh Ford F-150. Walau bagaimanapun, enjin tersebut telah ditala semula bagi disesuaikan pada Ranger dengan saiz yang lebih kecil ini.

Pengecas turbo pada enjin tersebut menerima sistem peliciran yang telah direka semula, bagi membolehkan ia beroperasi secara optima pada sudut kedudukan yang sangat condong, terutama ketika digunakan pada laluan off-road yang ekstrem. Menurut Ford, enjin ini akan memberikan prestasi terbaik dalam kelasnya, serta pengalaman menunda yang sangat mudah, seperti yang pemilik-pemilik Ranger sebelum ini mahukan.

Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

Model baharu ini juga ditawarkan dengan enjin petrol turbo 2.3 liter EcoBoost, diikuti dengan enjin diesel 2.0 liter turbo berkembar dan juga 2.0 liter diesel turbo tunggal seperti pada model sedia ada. Ford mendakwa bahawa masalah kebocoran minyak pelincir pada enjin turbo berkembar sebelum ini turut telah diselesaikan menerusi rekaan baharu yang dibuat pada gasket.

Walau bagaimanapun, Ford masih belum mendedahkan sebarang perincian berkenaan model yang menerima unit rangkaian kuasa hibird, namun telah menjelaskan bahawa platform yang telah dihasilkan semula berdasarkan platform T6 ini sememangnya boleh menerima sistem elektrifikasi.

“Kami lakukan simulasi penggunaan pelanggan yang ekstrem dengan mengoperasikan enjin ini untuk lebih 700 jam secara berterusan pada kadar pendikit penuh. Ia seakan mengelilingi dunia sebanyak enam kali dengan pendikit penuh! Oh, lagipun, ia juga dibuat dengan suhu dalam julat antara -40 darjah sehingga lebih dari 50 darjah selsius,” kata pengurus program Ranger T6, Pritika Maharaj.

Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

Kotak gear automatik 10-kelajuan 10R80 masih terus digunakan pada Ranger baharu ini, tetapi ia telah ditingkat taraf bagi menjadikannya lebih tahan lama (bagi menyelesaikan berberapa masalah yang telah muncul sebelum ini) dan juga lebih ringan.

Transmisi automatik untuk Ranger ini diberikan torque converter baharu yang direka bagi memberikan rasa yang lebih diperhalusi dan respon lebih baik. Menurut Ford, tiada lagi lag mahupun ‘zon mati’ ketika memecut, walaupun dari kedudukan pegun pada kotak gear yang telah dikemaskini tersebut.

Sela antara nisbah gear juga telah dirapatkan lagi, bagi memberikan penghantaran kuasa lebih baik ketika enjin berada pada beban rendah – ini memberikan manfaat ketika menunda dan juga melalui permukaan off-road. Kotak gear ini juga diberikan fungsi pengatur tukaran gear adaptif baharu yang mampu untuk menentukan lebih awal nisbah gear mana yang enjin perlukan, dalam masa yang sama ia turut mengadaptasi gaya pemanduan anda.

Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

Mod “Tow Haul” turut diberikan, namun fungsi ini hanya eksklusif pada model yang menggunakan kotak gear 10R80. Bagi enjin yang menerima pengecas turbo tunggal, ia masih dipadankan dengan kotak gear 6R80, tetapi telah ditala semula bagi menjadikan ia lebih efisien dari sebelum ini.

Manakala untuk model dengan transmisi manual, Ford telah mengenepikan kotak gear MT82 sebelum ini dan memberikan laluan kepada kotak gear MT88 baharu yang direka khas untuk platform T6. Menurut Ford, kotak gear MT88 ini telah diuji dalam tempoh lebih dari empat tahun di empat benua berbeza. Ia merupakan kotak gear yang direka secara modular dan boleh diskalakan semula bagi dijelmakan sebagai transmisi lima-kelajuan atau enam-kelajuan manual.

Model baharu ini ditawarkan dengan dua sistem pacuan empat roda yang berbeza. Bagi sistem pertama, ia masih lagi sistem 4X4 bersama fungsi elektronik yang menampilkan sistem shift-on-the-fly sama seperti model sedia ada. Manakala satu lagi sistem adalah sistem 4X4 sepenuh masa yang lebih canggih dengan pemilih elektronik baharu dan transfer case dua-kelajuan (4H dan 4L) baharu.

Ford turut memberikan mod pemanduan untuk sistem pacuan semua roda persis model Ranger Raptor pada model generasi sebelum ini, kepada Ranger biasa untuk versi generasi baharu ini.

Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

Seperti yang telah tular sebelum ini, Ford Ranger 2022 menampilkan konsep rekaan muka yang sama seperti adiknya yang lebih kecil iaitu Ford Maverick. Ia diberikan lampu hadapan berbentuk-C, dengan gril lebih besar kelihatan tertusuk pada lampu berkenaan. Cangkuk penyelamat hadapan kini diberikan dua unit berbanding hanya satu sebelum ini.

Bagi model-model varian tertinggi, Ranger menerima lampu LED Matrix buat pertama kali, sementara varian lebih rendah hanya diberikan lampu reflektor LED atau reflektor halogen. Ranger baharu ini juga kurang diberikan kemasan-kemasan krom bagi menarik minat golongan lebih muda.

Garis bahu Ranger ini kelihatan lebih menonjol, namun tidak menenggelamkan ‘otot-otot’ pada ruang roda. Liang pada kedua-dua fender hadapan trak pikap ini bukan dihasilkan untuk kosmetik semata-mata, malah ia benar-benar berfungsi untuk mengalirkan udara panas dari ruang enjin ke luar.

Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

Ranger 2022 ini menerima barisan rim-rim rekaan baharu dengan saiz bermula 17-inci, dan buat pertama kali ia turut ditawarkan dengan rim sebesar 20-inci menerusi varian Wildtrak. Di belakang, sepasang lampu kombinasi LED rekaan baharu dipadankan, manakala pembuka pintu tailgate diletakkan betul-betul di bawah lampu brek ketiga. Kamera undur pula bersembunyi di bawah loga ‘Blue Oval’ di tengah pintu tailgate berkenaan.

Bed belakang Ranger 2022 ini menampilkan pelbagai perincian yang sangat praktikal. Kalau anda perhatikan pada bahagian sisi bampar belakang, ia kini telah diberikan satu bahagian seakan pemijak sisi. Ini membolehkan anda mengambil barang pada bahagian sisi bed belakang tanpa perlu memanjat tayar belakang.

Bahagian yang digelar sebagai box step tersebut menerima tekstur yang sama seperti pemijak sisi dan pemijak bampar belakang, jadi ia akan sentiasa memberikan cengkaman terhadap kaki tidak kira apa jua cuaca. Malah struktur box step yang bersaiz besar berkenaan turut boleh menampung berat individu berbadan besar, dan ia diberikan untuk setiap varian.

Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

Bed belakang Ranger ini juga kini direka 50 mm lebih lebar dari sebelum ini, membolehkan ia memuatkan palet saiz penuh. Bahagian ini juga diberikan perincian-perincian baharu seperti bedliner acuan plastik, soket kuasa 400 watt 240 volt, dan juga pelindung kotak beban bagi melindungi cat dan juga permukaan logam.

Pintu tailgate Ranger ini turut menampilkan pelbagai inovasi menarik yang sangat praktikal – ia dihasilkan sebagai meja kerja-kerja pertukangan dan diberikan pembaris metrik/imperial yang dicetak terus bagi memudahkan kerja-kerja mengukur bahan serta poket yang membolehkan anda menggunakan clamp.

Ia juga diberikan lampu LED di kedua-dua belah rel tangan membolehkan anda membuat kerja di kawasan yang gelap, serta diberikan sokongan pencahayaan lain menerusi lampu 360 darjah sekeliling kenderaan (boleh diakses menerusi aplikasi telefon pintar Ford), dan juga lampu “Super Puddle” berkuasa tinggi yang terletak di bawah kedua-dua cermin sisi.

Selain itu, terdapat juga poin-poin untuk mengikat tali bagi memastikan barangan yang dibawa dalam ruang kargo berkenaan tidak bergerak, yang turut boleh dijadikan cagak bagi aksesori-aksesori aftermarket lain termasuk kanopi.

Bed belakang Ranger itu juga menerima sistem pengurusan kargo baharu lengkap dengan pembahagi yang membolehkan ia memegang pelbagai barangan berlainan saiz. Pemilik juga boleh menghasilkan ruang yang lebih kecil menggunakan sistem tetupai menggunakan spring yang sangat kuat yang diklip kepada rel bagi menyimpan barang-barang yang lebih kecil.

Ruang kabin Ranger 2022 ini menerima sentuhan semula yang lebih menyeluruh. Ia kini menerima skrin infotainmen ‘besar gedabak’ bersaiz 12-inci yang diletakkan secara potret pada papan pemuka. Ia berfungsi dengan sistem infotainmen Ford SYNC 4, dan turut menerima modem bina dalam bagi membolehkan kemaskini perisian dilakukan secara over-the-air dan memberikan fungsi WiFi hotspot.

Ford Ranger 2022 didedah – enjin 3.0L V6 Turbodiesel, sistem 4X4 sepenuh masa, pelbagai fungsi ergonomik

Dengan fungsi terhubung ini juga membolehkan pemilik berkomunikasi dengan kereta mereka menerusi aplikasi telefon pintar FordPass, yang memberikan fungsi seperti penghidup enjin jarak jauh, memeriksa status kenderaan, dan juga fungsi kunci jarak jauh.

Ranger juga kini diberikan panel instrumen digital (bergantung kepada varian) yang turut berintegrasi dengan skrin tengah bagi memberikan maklumat seperti data off-road dan juga status sistem pacuan empat roda. Ia juga diberikan kamera pemantau sekeliling 360-darjah resolusi tinggi dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Ford telah menghasilkan tiga jenis tombol gear berbeza untuk Ranger 2022 ini, termasuk satu jenis yang menampilkan gerakan pendek dengan rupa lebih moden serta lebih mudah untuk digunakan. Perincian lain yang turut diberikan termasuk pemegang cawan yang boleh disimpan, port pengecas USB-C, tempat penyimpanan barang lebih banyak termasuk di bawah dan di belakang tempat duduk belakang serta di atas dan di bawah glovebox.

Walau bagaimanapun, varian-varian lebih rendah diberikan skrin sesentuh dengan saiz lebih kecil, dan juga konsol yang diubah sedikit.

Ford masih belum mendedahkan perincian berkenaan sistem bantuan pemanduan termaju pada Ranger baharu ini. Namun boleh dijangka ia mungkin dibekalkan dengan sistem pemanduan berautonomi paling kurang pada Tahap 2 kerana Ford menyatakan bahawa ia “akan menetapkan aras yang tinggi untuk Ranger ini bagi mencapai lima faktor penting – stance dan kestabilan, menunda, kebolehan off-road, prestasi dan pemanduan, serta teknologi-teknologi bantuan pemanduan.”

Jenama Blue Oval tersebut turut menyatakan bahawa pemilik Ranger baharu ini bakal ditawarkan dengan 600 pilihan aksesori yang dihasilkan dengan kerjasama pengeluar, sebahagian daripadanya dibangunkan oleh pakar peralatan 4X4 iaitu ARB 4X4 Accesories.

Produksi Ranger ini akan dibuat di kilang Ford yang terletak di Thailand dan Afrika Selatan bermula awal tahun hadapan. Ford juga akan mewujudkan Ranger Concierge yang membolehkan keperluan jualan dan khidmat selepas jualan pelanggan dibuat secara atas talian, manakala pada pasaran terpilih bakal pelanggan berpotensi turut diberikan sesi pemanduan 4WD pada laluan off-road bersama tenaga pengajar yang pakar.

GALERI: Ford Ranger Wildtrak 2022

GALERI: Ford Ranger Sport 2022

GALERI: Ford Ranger XLT 2022

GALERI: Lakaran-lakaran rekaan Ford Ranger 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required