SPYSHOT: Ford Ranger 2022 dalam varian XLT, FX4 dan Wildtrak dikesan diuji bersama di Thailand

SPYSHOT: Ford Ranger 2022 dalam varian XLT, FX4 dan Wildtrak dikesan diuji bersama di Thailand

Ford sebelum ini telah pun mengumumkan secara rasmi bahawa trak pikap Ranger generasi baharu bakal didedahkan pada penghujung tahun ini, bagi menggantik Ranger T6 yang kini sudahpun berada 10-tahun dalam pasaran. Dan nampaknya, Ranger 2022 tersebut kini sedang rancak membuat ujian jalan raya di Thailand.

Imej tiga unit Ranger 2022 yang anda lihat ini disiarkan oleh Ranger6g.com – ketiga-tiganya nampak sama bukan? Namun menurut laman berkenaan, tiga unit Ranger tersebut adalah dari varian berbeza iaitu XLT (paling kiri), FX4 (tengah) dan Wildtrak (paling kanan).

Jika anda perhatikan lebih teliti, unit yang didakwa adalah model Ranger Wildtrak berkenaan menerima lampu projektor dalam susunan dua tingkat, bersama gril dengan elemen sarang lebah. Manakala unit yang dikenalpasti sebagai Ranger FX4 pula menerima lampu hadapan dan gril berbeza, perumah lampu kabus dengan kemasan sekeliling berwarna perak, serta dipadankan dengan rim enam jejari.

SPYSHOT: Ford Ranger 2022 dalam varian XLT, FX4 dan Wildtrak dikesan diuji bersama di Thailand

Unit paling kiri yang didakwa sebagai model XLT menampilkan rim dua-tona yang sama seperti imej yang didedahkan pada teaser rasmi oleh Ford sebelum ini.

Ford Ranger 2022 ini menerima rekaan muka yang hampir sama dengan trak pikap unibody pasaran Amerika Syarikat iaitu Ford Maverick yang baru didedahkan pada Jun lalu, yang juga kini merupakan model paling kecil dalam barisan model trak pikap Ford.

Muka signatur terkini berkenaan menampilkan lampu hadapan berbentuk-C dengan bar yang merentangi sepenuhnya bahagian gril dan kelihatan ‘tertusuk’ pada kedua-dua lampu hadapan, serta menempatkan logo oval biru Ford di tengahnya. Namun bagi rekaan pada Ranger, bahagian bawah lampu hadapan tersebut tidak bersentuhan dengan gril. Bahagian belakang trak pikap ini pula dilihat diberikan lampu rekaan tiga-dimensi.

Ford Ranger generasi seterusnya ini dikhabarkan bakal menerima pilihan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) selain pilihan enjin diesel biasa. Model PHEV tersebut dilaporkan menerima gandingan enjin petrol 2.3 liter turbo bersama motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 367 PS dan tork maksima 680 Nm, serta mampu mencapai penggunaan bahan api 3.0 liter setiap 100 km.

Ia juga dijangka terus menerima pilihan enjin diesel twin turbo 2.0 liter empat-silinder, serta ditawarkan dengan enjin turbodiesel 3.0 liter V6 baharu dan juga enjin petrol 2.7 liter V6 turbo berkuasa 314 PS/542 Nm yang sama seperti pada Ford Bronco baharu.

Walau bagaimanapun, pilihan-pilihan enjin ini akan ditawarkan mengikut pasaran – rantau ASEAN dan Australia akan terus menerima enjin diesel biasa, PHEV untuk pasaran Eropah dan petrol V6 hanya untuk pasaran Amerika Utara.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required