Brabus G700 6×6 diguna bantu mangsa banjir di M’sia

Brabus G700 6×6 diguna bantu mangsa banjir di M’sia

Hujung minggu ini merupakan hari yang penat buat sebahagian rakyat Malaysia khususnya di Lembah Klang dan Pahang kerana dilanda banjir yang begitu besar. Namun, dengan semangat muhibbah, bukan sahaja agensi-agensi kerajaan yang kini sedang bertungkus lumus menyelamatkan dan memberikan pelbagai bantuan kepada mangsa, malah ia turut disertai oleh pelbagai NGO dan juga ramai individu persendirian.

Trak pikap dengan kelegaan tanah yang tinggi antara keperluan dalam operasi-operasi menyelamat dan menyampaikan bantuan seperti ini. Namun agak luar biasa apabila seorang pengguna Twitter Nedim Sujak Nazri memuatnaik sesuatu yang eksotik turut digunakan untuk membantu, iaitu Brabus G700 6×6!

Brabus G700 6×6 ini diasaskan dari Mercedes-AMG G 63 6×6 yang pada asalnya dihasilkan hanya dalam versi pemanduan sebelah kiri. Namun atas permintaan Naza, hanya 15 unit G700 6×6 tersebut dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan dan di bawa ke pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga RM3.2 juta (sebelum cukai) ketika diperkenalkan di sini pada tahun 2015, dan unit yang dibawa untuk membantu mangsa banjir ini adalah salah satu dari 15 unit berkenaan.

Jentera gergasi ini dipadankan dengan gandar portal bersama set roda dengan enam tayar 37-inci, membolehkan ia mendapatkan kelegaan tanah 460 mm serta meredah laluan yang tenggelam dengan air sedalam 1,000 mm. Boleh dilihat kereta disebelahnya hampir tenggelam keseluruhan tayar, namun air masih tidak mencapai running board G700 berkenaan.

Berbanding AMG G 63 6×6 ‘biasa’ yang turut dijana oleh enjin V8 5.5 liter turbo berkembar, G700 6×6 ini ditala bagi menghasilkan 700 PS dan tork maksima 960 Nm berbanding kuasa asal 543 PS/759 Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan AMG Speedshift Plus 7G-Tronic bersama lima (ya, 5!) unit differential lock. Ini membolehkan rasaksa ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat, namun kelajuan maksima hanya dihadkan pada 160 km/j kerana ia menerima sistem pacuan dan tayar jenis off-road.

Tak sayang ke kereta mahal-mahal macam ni di bawa redah banjir? Nampaknya pemilik G700 ini iaitu DS Sunny seperti yang disebut dalam hantaran Twitter tersebut tak kisah jika ia boleh membantu orang ramai yang dalam kesusahan. Syabas!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required