Kementerian Kerja Raya mensasarkan 60% kadar penggunaan Radio Frequency Identification (RFID) bagi semua bayaran tol menjelang penghujung 2022 ketika dalam sidang Dewan Negara semalam, lapor Bernama.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata penggunaan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG mungkin akan dihentikan menjelang penghujung 2023.
“Kami faham keresahan yang disuarakan oleh pengguna lebuhraya dan ingin menjelaskan bahawa operasi kad TnG dan SmartTAG akan terus dikekalkan dan ia akan dihentikan secara berperingkat, berdasarkan kadar penggunaan RFID dan ketersediaan lorong RFID di plaza tol,” jelas beliau ketika sesi soal-jawab.
Beliau menjawab pertanyaan daripada Senator Aknan Ehtook berkaitan rancangan kementeriannya terhadap penggunaan teknologi RFID.
Beliau juga menambah yang kos bagi RFID adalah lebih rendah berbanding Touch ‘n Go dan SmartTAG, selain daripada tidak mempunyai kos penyelenggaraan seperti untuk menukar bateri yang diperlukan oleh SmartTAG, serta ia juga lebih mudah ditambah nilai secara dalam talian (untuk RFID).
“Di lorong RFID, kami boleh capai 1,000 kenderaan dalam sejam. Tetapi untuk lorong Touch ‘n Go hanya 550 kereta sejam. Ini bermakna teknologi RFID ini mampu mengurangkan kesesakan di plaza tol.
“Kerajaan akan memberikan potongan harga RM10 jika anda membeli peranti RFID melalui eWallet. Dalam masa sama kami juga sedang mengkaji kaedah untuk memberikan insentif misalnya kepada pembeli kenderaan baru yang terus memasang RFID,” ujar beliau.
Ini adalah jawapan kepada Senator Seruandi Saad’ yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk menyediakan pemasangan percuma atau subsidi kepad pelanggan yang beralih daripada Touch ‘n Go dan SmartTAG kepada RFID untuk mengurangkan bebas kos.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.