ANIH Berhad pengendali Lebuhraya KL Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) telah mengumumkan kedua-dua lebuhraya berkenaan telah pun kembali dibuka secara berperingkat mulai jam 6 petang tadi setelah kerja pembaikan dan pembersihan hampir selesai.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pembukaan kembali kedua-dua lebuhraya berkenaan bagi membolehkan pengguna lebuhraya sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat.
Walau bagaimana pun, pengguna dinasihati untuk tetap berhati-hati dan mematuhi tanda arah apabila menghampiri laluan kontra di Sungai Dua, iaitu di KM74.8 sehingga KM77.3 yang tetap dibuka demi keselesaan dan keselamatan.
“Pengguna yang ingin ke laluan Pekan Karak perlu membuat pusingan ‘U-turn’ sebelum Tol Karak, dan seterusnya keluar di susur keluar menghala ke Karak. Manakala laluan di KM76 sehingga KM78.8 (Karak) masih ditutup untuk kerja pembersihan.
“Bagi laluan menghala ke Kuala Lumpur pula, hanya lorong laju akan dibuka iaitu di Bentong bermula dari KM66 sehingga KM70,” kata ANIH yang turut menasihati agar semua pengguna mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa mahupun petugas lebuh raya.
Dalam masa yang sama, ANIH sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, dan komited memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuhraya sentiasa menjadi keutamaan syarikat itu.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh melayari laman rasmi media sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter dan Facebook atau hubungi Hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 09-5479111/ 1-700-818-700.
Pada hujung minggu lalu, laluan di kedua-dua lebuhraya terbabit ditutup sepenuhnya susulan bencana banjir yang berlaku di kawasan persekitarannya. Ini menyebabkan ramai pengguna lebuhraya terkandas kerana laluan ditenggelami air banjir. Malah terdapat juga kejadian tanah runtuh dan permukaan jalan yang rosak akibat banjir berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.