Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

Sekiranya anda berminat dengan kereta, berkemungkinan besar sebelum ini anda pernah tertarik dengan tawaran kenderaan terpakai. Kenapa pula tidak, kan? Sebabnya kadang-kadang, dengan bajet yang ada untuk kereta baru, anda boleh dapatkan kereta terpakai yang lebih menarik, lebih memenuhi kemahuan dan malah juga juga berspesifikasi lebih tinggi. Contohnya, kenapa beli Perodua sedangkan anda boleh dapatkan sebuah BMW?

Ya, memang betul, tetapi banyak benda yang perlu diperhatikan pada kenderaan terpakai ini. Kereta yang anda rasa teringin sangat beli dulu masih lagi nampak elok sekarang, tetapi ia mungkin menyembunyikan pelbagai isu di sebalik rupa luarannya. Semua ini memang boleh dijangka bagi sebuah kereta lama.

Tapi, anda sendiri sudah tahu tentang perkara ini dan bersedia untuk membuat pilihan sebaik mungkin. Lagipun, hidup cuma sekali dan ada masanya kita juga patut memuaskan kemahuan sendiri kan? Jadi, di sini kami beri sedikit sokongan moral, bersama beberapa tips apa yang perlu dilihat apabila mahu membeli sebuah kenderaan terpakai.

Jangkaan

Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

Bagi seseorang yang sudah biasa menjual dan membeli kenderaan, mereka mungkin tahu apa yang boleh dijangka. Tapi, bagi mereka yang sebelum ini cuma membeli kereta baru, anda perlu meletakkan jangkaan di tempat yang betul.

Tidak kiralah betapa bersih dan terjaganya sesebuah kereta terpakai itu, anda tidak sepatutnya berharap pengalaman pemanduannya seperti kereta baru. Maksudnya, ia bukanlah sebuah kereta yang anda cuma perlu jaga servis berkalanya sahaja. Pengedar kenderaan terpakai memang sudah biasa ‘membuat balik’ sesebuah kereta supaya penampilannya nampak menarik dan bersih.

Satu kompromi yang anda boleh buat adalah membeli kereta yang masih mempunyai jaminan dari kilang. Ini akan dapat memberi keseimbangan antara penjimatan dan ketenangan minda. Apabila masih ada lagi jaminan, kereta itu juga biasanya tidak berusia terlalu lama dan berkemungkinan tidak mempunyai banyak masalah.

Ada pengeluar yang mempunyai program kenderaan terpakai diiktiraf sendiri, bersama jaminan. Selain itu, ada juga pengedar kenderaan terpakai yang membuat kerjasama dengan pihak ketiga untuk memberi jaminan terhadap kenderaan mereka.

Vendor seperti myTukar mengambil inisiatif yang lebih lagi – semua kenderaan datang dengan tambahan jaminan satu tahun serta servis percuma selama satu tahun. Rasa ragu-ragu dan mahu bertukar fikiran? Anda juga boleh memulangkan semula kereta kerana myTukar memberikan jaminan pulangan-balik dalam masa lima hari.

Kemampuan

Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

Anda mungkin berpendapat aspek ini adalah jelas. Sama ada anda mampu untuk membeli kereta itu ataupun tidak, kan? Tapi sebenarnya ia tidaklah begitu. Ramai yang masih gagal untuk mengira kos lain apabila melihat tanda harga sesebuah kenderaan terpakai.

Kos penyelenggaraan kenderaan terpakai biasanya lebih tinggi kerana selain servis biasa, banyak alat ganti yang mungkin perlu ditukar. Sebagai tambahan kepada bayaran bulanan, anda juga perlu menyediakan dana untuk baik pulih. Selain itu, cuba juga lakukan penyelidikan harga alat ganti dan servis model tersebut supaya jangkaan anda berada di tahap yang betul. Sebagai contoh, kos penjagaan kereta Continental adalah lebih tinggi berbanding kereta jenama nasional.

Apabila tergoda dengan sesebuah model yang eksotik, tanya semula kepada diri, adakah anda mampu untuk menjaga sebuah Porsche ataupun Bentley baru? Kalau jawapannya tidak, berkemungkinan besar, anda juga tidak akan mampu untuk menjaga sebuah model terpakai jenama yang sama – meskipun harganya ada yang berada di bawah RM100k.

Satu lagi godaan adalah kereta yang dijual “bawah harga pasaran”. Ada kalanya, lebih baik kita berbelanja lebih sedikit untuk mendapatkan kereta yang lebih terjaga dan mempunyai rekod servis penuh. Kalau mahu “beli murah dan buat balik”, anda perlu ingat ia mungkin boleh mengambil masa yang lama, dan memerlukan lebih usaha.

Juga, ambil kira berkenaan cukai jalan. Walaupun harga kereta boleh turun, cukai jalan pula tidak. Lagi satu, kadar faedah pinjaman kereta terpakai juga boleh jadi lebih tinggi berbanding kereta baru.

Pemeriksaan luar

Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

Sekarang anda sudah membuat kira-kira dan membuat keputusan untuk membeli sebuah kereta terpakai. Seperti kebiasaan bagi barang terpakai, secara kasarnya, harga adalah bergantung kepada keadaan. Untuk itu, kita mulakan dengan pemeriksaan bahagian luar.

Ambil kira umur kereta itu. Sedikit calar dan kemek memang boleh dijangka bagi sebuah kereta yang digunakan hari-hari. Lihat sebarang cacat cela pada cat serta badannya, dan buat anggaran kos yang diperlukan untuk menjadikannya cantik semula (seperti cat seluruh badan, ketuk dan sebagainya). Ataupun, anda tidak kisah untuk menggunakannya dengan keadaan sebegitu.

Tidak semua kenderaan terpakai mempunyai cat yang pudar kerana ada yang sudah dicat semula. Periksa sebarang bahagian badan yang tidak rata kerana permukaan yang nampak berkilat dan seperti baru mungkin menyembunyikan kesan baik pulih yang telah dibuat.

Bandingkan warna kenderaan tersebut dengan apa yang tertulis di dalam geran. Dalam masa yang sama, periksa juga jarak setiap panel kerana jarak yang tidak sama mungkin bukan setakat melibatkan perlanggaran kecil, tetapi juga kemalangan yang lebih besar. Lihat juga keadaan lampu hadapan dan belakang – kedua-dua bahagian kiri dan kanan sepatutnya menampakkan kesan pemakaian yang sama; jika tidak, mungkin salah satu daripadanya sudah ditukar. Anda juga tidak akan mahu sebarang retakan pada cermin hadapan.

Penggunaan tayar berjenama adalah tanda kereta tersebut dijaga baik oleh pemilik sebelumnya. Apabila tayar yang murah berada pada sebuah kereta mahal, ia mungkin adalah tanda penjimatan kos. Apapun, adalah lebih baik sekiranya anda menukar kesemua tayar apabila membeli sesebuah kenderaan terpakai kerana ia mungkin sudah disimpan agak lama dan tayar tersebut sudah keras atau rata di satu bahagian.

Untuk kit badan pula, sekiranya ia adalah bahagian yang dipasang daripada kilang, tidak mengapa. Tetapi jika ia dipasang di kedai luar (boleh dilihat melalui rekaan serta bahannya), anda perlu memeriksa kekemasannya. Anda juga tidak mahu sebarang paku rivet atau skru yang ditembak terus pada badan kenderaan.

Secara umumnya, cari kereta yang masih berada dalam keadaan asal – lagi kurang ubah suai yang dibuat, adalah lebih bagus. Lain pula kisahnya jika anda memang mencari kit badan atau ubah suai tertentu dan ia sudah dipasang oleh pemilik asalnya.

Pemeriksaan dalam

Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

Bahagian dalam adalah lebih susah untuk dicantikkan semula berbanding bahagian luar dan ia boleh memberitahu sejarah kenderaan tersebut. Tanda penggunaan biasa memang boleh dijangka tetapi jika ia keterlaluan dan perlu ditukar, ini melibatkan lebih lagi kos tambahan.

Untuk tempat duduk yang dibalut kain, pastikan tiada koyak atau lubang. Kesan gesekan adalah biasa. Tempat duduk kulit pula boleh merekah, jadi berkilat ataupun keras. Meskipun semua ini boleh dibuat semula, anda perlu ingat tentang kosnya. Sama juga keadaannya dengan stereng serta bahagian lain yang dibalut kulit. Tengok juga jika ada sebarang kesan terbakar dari rokok. Bau rokok yang sudah berada lama pada kereta kadang kala susah untuk dibuang.

Selain stereng dan tempat duduk, ada juga bahagian lain yang selalu disentuh dalam kabin. Tanda penggunaan pada penarik pintu serta butang kawalan pendingin hawa dan audio adalah sesuatu yang biasa, tetapi jaga-jaga dengan bahagian yang pecah. Bahagian-bahagian ini mungkin nampak kecil, tetapi kadang-kadang ia susah dicari dan harganya boleh jadi mahal.

Semua ciri elektronik sepatutnya berfungsi dengan baik. Periksa pengelap cermin, tingkap, kunci, kamera belakang, sistem bunyi dan skrin. Cuba juga buat larasan tempat duduk, cermin sisi, stereng serta tali keledar – ia sepatutnya boleh keluar dan masuk semula dengan lancar.

Untuk kereta yang mempunyai bumbung kaca boleh buka, pastikan operasinya lancar. Langkah ini adalah lebih penting bagi sebuah kereta dengan keseluruhan bumbung yang boleh dibuka secara elektronik kerana ia mempunyai lebih banyak panel, actuator dan pelbagai lagi kelengkapan lain berbanding bumbung biasa. Ini juga membawa kepada potensi lebih banyak masalah.

Akhir sekali, lihat di bawah karpet lantai dan ruang simpanan di belakang. Sebarang tanda kebasahan atau air yang bertakung boleh membawa kemungkinan terdapat kebocoran ataupun lebih teruk, banjir. Walaubagaimanapun, sekiranya anda membeli kenderaan ini daripada pengedar kenderaan terpakai, mungkin ada bahagian yang dinyatakan tadi sudah ditukar terlebih dahulu.

Pandu uji

Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

Sesi pandu uji adalah langkah penting. Hidupkan enjin dan dengar bunyi enjin beroperasi – dalam keadaan melahu, ia sepatutnya stabil dan tidak tersekat-sekat. Pasang pendingin hawa untuk memastikan ia sejuk dan semua corong keluar angin.

Apabila mula bergerak, pastikan memandu dengan tenang. Tidak perlu tergopoh-gopoh atau memandu secara agresif dalam kereta yang anda masih belum biasa dan belum menjadi milik anda. Ambil masa untuk biasakan diri dengan bahagian kawalan dan keadaan dalam kereta. Dalam situasi ini juga anda boleh memerhatikan keadaan kenderaan tersebut apabila bergerak perlahan.

Bahagian penting yang perlu diberikan perhatian adalah enjin (sama ada ia beroperasi lancar, tiada gegaran berlebihan), transmisi (tukar gear dengan lancar, tidak tersengguk-sengguk dan tidak banyak kekosongan bagi transmisi manual), stereng (tiada gegaran berlebih, tidak tertarik kepada satu arah) dan suspensi (tiada bunyi-bunyi pelik dan rasa tegap).

Selepas memandu, buka bonet dan periksa bahagian enjin sama ada terdapat sebarang tanda cecair yang bocor. Habuk dan kotoran pada enjin itu memang sudah biasa, tapi anda tidak mahu sebarang minyak atau air yang meleleh.

Tengok juga minyak enjin menggunakan batang pemeriksa, hidupkan semula enjin dan dengar bunyinya. Perhatikan keadaannya sewaktu melahu dan cuba dengar sekiranya ada sebarang bunyi yang tidak sepatutnya. Tekan sikit minyak dan tengok sama ada ia boleh kembali stabil tanpa sebarang masalah.

Panduan membeli kenderaan terpakai di Malaysia ada di sini.

myTukar AutoFair 2022 — kereta terpakai tanpa risau

Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

Senarai yang kami nyatakan di atas mungkin nampak macam banyak, tetapi dalam keadaan sebenar ia tidaklah begitu menakutkan, dan tanpa diberitahu, anda juga mungkin sudah memeriksanya secara sendiri.

Banyak masalah kenderaan terpakai ini sebenarnya boleh dielak dengan adanya jaminan. Setiap pembelian melalui myTukar bukan sahaja diberi tambahan jaminan satu tahun, tetapi juga servis percuma selama satu tahun. Ini dapat mengurangkan risau pembeli kenderaan terpakai. Anda juga diberi dengan jaminan pulangan-balik selama lima hari – tanpa sebarang soalan – sekiranya anda bertukar fikiran.

Acara myTukar AutoFair 2022 akan berlangsung dari 7 hingga 9 Januari 2022 di myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan. Ini bakal menjadi acara jualan kenderaan terpakai terbesar di Malaysia dengan lebih 1,000 unit kenderaan terpakai akan dipamerkan, dari model biasa seperti Perodua Myvi dan Axia, Proton Saga dan Persona, serta pelbagai model Honda dan Toyota, hinggalah model premium seperti BMW, Mercedes-Benz and Volvo.

Beli kenderaan terpakai – apa yang perlu diperhatikan

Selain manfaat yang dinyatakan tadi, apabila membeli kereta ketika acara ini nanti, anda juga akan menerima tambahan servis percuma selama setahun (maksudnya menjadi dua tahun), kadar faedah serendah 1.68%, kelulusan dan serahan kenderaan pada hari yang sama dan pengalas kaki Trapo untuk semua kereta. myTukar juga ada menyediakan penilaian kenderaan untuk trade-in kereta semasa anda ketika acara ini nanti.

Ada lagi. Pembeli juga layak menyertai promosi myTukar Lucky Spin Wheel untuk memenangi satu daripada enam hadiah, termasuk iPad generasi kesembilan; mereka juga berpeluang untuk membawa pulang sebuah Proton X70 melalui peraduan Ulang Tahun Ke-4 myTukar. Pelawat juga boleh menikmati hidangan ringan dan ruang pameran jenama rakan niaga yang lain.

SOP Covid-19 yang ketat juga dipraktik, termasuk kaedah bayaran tanpa sentuhan dan penggunaan pelitup muka sepenuh masa, vaksinasi penuh dan jaga jarak fizikal. Maklumat lanjut tentang acara ini boleh didapati di laman rasmi myTukar, dan anda juga melayari inventori di sini untuk mencari kereta yang diinginkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required