UMW Toyota Motor (UMWT) bakal melancarkan Toyota Corolla Cross Hybrid di Malaysia pada 14 Januari 2022. Tarikh berkenaan diumumkan menerusi satu hantaran teaser di laman Facebook rasmi Toyota Malaysia.
Seperti dimaklumkan ketika tempahannya dibuka Oktober lalu, harga jangkaan bagi varian hibrid ini ialah RM137,000, atas jalan tidak termasuk insurans dan termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. Ini akan menjadikan model hibrid ini — yang dijangka tiba sebagai unit pemasangan tempatan — sebagai varian paling tinggi daripada tiga yang sedia ada ketika pelancarannya.
Toyota Corolla Cross Hybrid yang bakal dijual di sini menggunakan enjin 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson, empat-silinder petrol, yang menghasilkan 98 PS pada 5,200 rpm dan 142 Nm tork pada 3,600 rpm. Dengan bantuan motor elektrik 53 kW (72 PS) dan 163 Nm, keseluruhan sistem berkenaan menghasilkan 122 PS, dengan kuasa dihantar ke roda depan melalui e-CVT.
Bateri nickel-metal hydride 6.5 Ah membekalkan tenaga kepada motor elektrik berkenaan, dan unit tersebut — yang ditempatkan di bawah kerusi belakang untuk menyediakan kapasiti but yang sama seperti model enjin biasa — datang dengan jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan. Jaminan bagi bateri hibrid berkenaan juga boleh dilanjutkan dua tahun lagi, dengan tambahan RM2,950.
Dari segi kelengkapan, Corolla Cross Hybrid datang dengan paparan multi-maklumat tujuh-inci di kluster instrumen, lebih besar daripada unit 4.2-inci untuk varian 1.8G dan 1.8V, serta peninjau pandangan panoramik 3D (PVM), peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang, Sistem Telematik Kenderaan (VTS) dan sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense.
Bagi warna luaran, lima pilihan tersedia untuk versi hibrid. Empat daripadanya dikongsi dengan versi petrol; Silver Metallic, Red Mica Metallic, Nebula Blue Metallic dan Platinum White Pearl (pilihan dengan tambahan RM800). Manakala warna Celestite Grey Metallic unik untuk hibrid.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.