Selepas beberapa iklan teaser yang dimuat naik secara rasmi di laman Facebook rasmi Toyota Malaysia, kali ini semakin jelas tentang apa yang boleh dijangkakan daripada jenama ini dalam masa terdekat, untuk pasaran tempatan.
Dalam perkembangan terbaru, syarikat ini mendedahkan dengan jelas model Corolla Cross Hybrid yang bakal diperkenalkan itu. Dan, lebih penting, ia kini telah dibuka untuk tempahan. Ini adalah sebahagian daripada kempen dan usaha Toyota membawakan teknologi Hybrid Electric Vehicle (HEV) yang lebih bersih dan maju untuk pasaran Malaysia.
Ada beberapa maklumat lain juga yang boleh diteliti pada poster terbaru berkenaan. Antaranya ialah model berkenaan diberi jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan bagi pacuan hibridnya, termasuk bateri hibrid dan inverter, serta unit kawalan pengurusan kuasa (ECU).
Sistem pacuan hibrid ini datang dengan tiga mod pemanduan sebagai pilihan, termasuk Eco untuk kecekapan maksimum, Sport untuk lebih responsif dan EV untuk pacuan elektrik sepenuhnya. Bagi kelengkapan, antara yang sudah disahkan ialah paparan multi-info tujuh-inci untuk kluster instrumen. Ini lebih besar berbanding paparan 4.2-inci yang ada pada varian semasa 1.8G dan 1.8V.
Corolla Cross Hybrid di pasaran lain dilengkapi enjin 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson empat-silinder petrol (98 PS dan 142 Nm) serta sebuah motor elektrik (72 PS dan 163 Nm) untuk memberikan output sistem keseluruhan 122 PS. Pacuan disalur ke roda depan melalui e-CVT, dengan motor elektriknya mendapat kuasa dari bateri nikel-metal hydride 6.5-Ah.
Corolla Cross versi bukan hibrid dilancarkan di Malaysia pada Mac lalu dan menampilkan enjin 2ZR-FE 1.8 liter NA empat-silinder petrol, menghasilkan sebanyak 139 PS dan 172 Nm dan diganding bersama CVT.
Corolla Cross Hybrid pula sebelum ini sudah mula dijual di Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam. Maka, sepatutnya tidak terlalu lama lagi Malaysia pula akan menerima model ini. Model hibrid ini bakal menjadi antara model hibrid yang dipasang di sini (CKD) seperti yang dirancang UMWT, dengan Corolla dan Camry menjadi calon hibrid seterusnya untuk pemasangan tempatan kelak.