Mungkin ramai yang tidak tahu, di Malaysia ada pengeluar bas dan badan bas yang telah mencipta nama di peringkat antarabangsa. Gemilang International Limited (GML) yang berpangkalan di Johor, baru-baru ini dijangka akan menghantar 140 unit bas sekolah elektrik sepenuhnya ke California, Amerika Syarikat pada tahun 2022.
GML yang juga tersenarai di Bursa Hong Kong telah membekalkan bas EV ke AS sejak 2016, ketika pasaran masih menggunakan kenderaan berkuasa bahan api fosil. Berpengalaman lebih 30 tahun dalam merekabentuk, mengeluarkan dan memasang bas, GML turut menghasilkan produk untuk Transit Aliran Bas Iskandar Malaysia (IMBRT), bas bandar elektrik pertama Sarawak untuk Kuching Metro, dan projek perintis bas elektrik oleh kerajaan Sabah untuk pengangkutan awam.
Selain itu, GML juga telah membekalkan bas aluminium untuk Go KL, Rapid KL, Rapid Penang dan bas pengantara MRT sejak 13 tahun yang lalu.
“Malah, GML telah membekalkan badan bas untuk pelbagai pembuat EV seperti BYD dan CRRC ke beberapa pasaran termasuk Malaysia, Singapura, Australia sejak 2015, dan kami menjangkakan lebih banyak negara akan mengikuti peralihan kepada EV sebagai peningkatan komitmen perubahan iklim yang telah diumumkan oleh kerajaan di seluruh dunia,” kata Pang Chong Yong, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GML.
Chong Yong berkata, tempahan 120 unit bas sekolah sepanjang 12 meter dan 20 unit lagi sepanjang 7.5 meter adalah luar biasa bukan hanya kerana ia menjadi satu kejayaan untuk pasaran AS, tetapi ia juga membabitkan kuantiti terbesar daripada satu pesanan bas EV yang pernah diterima pihaknya.
“Pasaran bas sekolah EV di AS sangat besar dengan aspek pertumbuhan berpotensi. Ini adalah hasil daripada Perjanjian Infrastruktur Bipartisan (Akta Pelaburan Infrastruktur dan Pekerjaan) diumumkan baru-baru ini yang ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden AS, Joe Biden, dengan memperuntukkan AS$2.5 bilion (kira-kira RM10.5 bilion) untuk membeli bas sekolah elektrik untuk daerah sekitar AS.
“Dengan rancangan baharu untuk menukar kesemua 500,000 bas sekolah AS kepada kenderaan emisi sifar, kami yakin dapat menguasai lebih banyak bahagian pasaran dengan pengalaman industri selama tiga dekad kami serta kelebihan daya saing utama membabitkan struktur aluminium super ringan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.