November tahun lalu, Ford telah mendedahkan buat kali pertama Ranger 2022, dengan varian paling tinggi yang ditawarkan adalah Wildtrak, menggunakan enjin diesel turbo 3.0 liter V6 yang diambil daripada F-150. Bagi yang merasakan ia masih lagi tidak cukup, ini ada khabar yang menggembirakan.
Menurut laporan CarsGuide, dua eksekutif paling tinggi Ford, iaitu timbalan presiden pembangunan produk global, Trevor Worthington dan pengarah sukan permotoran global Ford Performance, Mark Rushbook telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka mahu menghasilkan sebuah Ranger Raptor “ultimate“, ataupun Raptor R.
Untuk mendapatkan lebih kefahaman tentang perkara ini, mari kita lihat kepada Bronco Desert Racer, iaitu sebuah SUV spesifikasi lumba yang dipacu oleh enjin Coyote V8 5.0 liter. Ia akan dibangunkan oleh syarikat sama yang membuat Ford GT, iaitu pakar kejuruteraan lumba dari Kanada, Multimatic.
Worthington mengaku terdapat potensi untuk menghasilkan Ranger Raptor dengan semangat yang sama seperti Bronco DR, dan beliau juga menambah bahawa “terdapat banyak peluang” untuk perkara ini berlaku kerana asas Bronco dan Ranger dibangunkan oleh pasukan Ford di Australia.
Tambah menarik lagi, Rushbrook menyatakan terdapat banyak komponen mekanikal yang sama antara Bronco dan Ranger. Beliau juga mengangguk apabila ditanya sama ada Ranger Raptor V8 akan menjadi tarikan bagi pasaran Australia. Walaubagaimanapun, kedua-dua individu ini tidak memberi pengesahan tentang projek tersebut.
Apabila masuk ke pasaran nanti, Ranger Raptor akan bersaing terus dengan Toyota GR Hilux serta Volkswagen Amarok V6, dan harganya mungkin akan jadi lebih tinggi berbanding AUD$75,000 (RM226k) bagi Ranger Raptor sekarang. Walaupun begitu, Wothington masih yakin terdapat tempat untuk kenderaan sebegitu dalam pasaran Australia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.