Proton telah menyatakan sokongannya terhadap inisiatif kerajaan menerusi pemberian Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini. Baucar bernilai RM1,000 akan diterima oleh Proton sebagai pembayaran untuk baikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir. Ia juga adalah sebahagian daripada program bantuan banjir yang telah diumumkan oleh Proton sebelum ini iaitu diskaun sebanyak 50% untuk alat ganti terpilih, 25% diskaun kos buruh serta perkhidmatan tunda kenderaan serta pembersihan luaran kenderaan secara percuma.
“Dengan begitu ramai rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, sebarang bentuk bantuan yang diberikan adalah suatu pemberian yang tidak ternilai. Proton menyahut seruan untuk melangkah ke hadapan dan ingin mengumumkan bahawa kami menyokong penuh inisiatif baucar diskaun automotif kerajaan,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton.
“Kerosakan yang disebabkan oleh banjir pada akhir tahun lalu tidak pernah berlaku sebelum ini dan beribu-ribu kenderaan pemilik Proton telah terjejas teruk. Sehingga kini, pusat servis kami telah menerima 1,023 kenderaan yang rosak akibat banjir dan kami menjangkakan lebih banyak lagi jumlahnya dalam beberapa minggu akan datang. Justeru, inisiatif menerusi bancar diskaun ini amat dihargai kerana ia dapat membantu pemilik kami untuk kembali ke jalan raya secepat mungkin,” ujar Timbalan CEO baharu Proton Roslan Abdullah.
Bagi kenderaan yang diisytiharkan ‘total loss’, Proton juga akan menerima baucar RM1,000 untuk menjadi sebahagian daripada bayaran pendahuluan (downpayment) untuk pembelian kereta baharu, tertakluk pada terma dan syarat. Hubungi pusat servis rasmi berhampiran untuk maklumat lanjut.
Seperti yang diumumkan pada 30 Disember lalu, menerusi Kemudahan Bantuan Bencana di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif, kerajaan telah mengumumkan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara yang layak adalah untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi usaha sama antara kerajaan dan 19 buah syarikat automotif yang mengambil bahagian. Di mana syarikat terbabit menawarkan diskaun sekurang-kurangnya diskaun 15% bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma dan kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000 yang sah sehingga 31 Mac 2022
19 syarikat automotif terbabit termasuklah Perodua, Proton, UMW Toyota Motor, Tan Chong Motor, Honda Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dan Volvo Car Malaysia.
Selain itu TC Euro Cars (Renault), Mercedes-Benz Malaysia, BMW Malaysia, Sime Darby Motor Group (untuk Ford, Hyundai dan lain-lain), Bermaz (Mazda, Peugeot dan KIA), TC Subaru, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, Boon Siew Honda Sdn Bhd, MODENAS, Mofaz Motorsikal Sdn Bhd dan KMSB Motors Sdn Bhd (Suzuki) turut mengambil bahagian.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.