Seperti yang kita tahu, kaedah pembayaran di plaza tol PLUS laluan utama Juru di Pulau Pinang dan Skudai di Johor akan melaksanakan RFID bermula esok. Di sepanjang laluan tersebut, sekurang-kurangnya satu lorong akan disediakan untuk RFID di semua plaza tol di susur keluar yang terlibat.
Dan, dalam masa yang sama, lorong bayaran untuk Touch ‘n Go dan SmartTAG masih lagi dikekalkan buat masa ini, sehinggalah ia beransur-ansur di mansuhkan secara berperingkat dan akan dimaklumkan kelak. Jika anda masih samar-samar tentang RFID ini dan bagaimana cara menggunakannya, kami telah sediakan beberapa artikel untuk membantu.
Jika dilihat, ini adalah cara PLUS untuk melaksanakan bayaran tol tanpa tunai, beralih daripada sistem yang menggunakan tiket tidak lama dulu kepada cara bayaran elektronik. Dan, ini tidak akan berakhir hanya dengan RFID sahaja.
Dalam satu perkongsian yang dibuat oleh PLUS di laman web khas RFID, pihaknya secara ringkas berkongsi dengan perancangan masa depan berkaitan hal ini. Yang dimaksudkan ialah bayaran tol menggunakan kad kredit/debit pelanggan di masa akan datang. Menurut PLUS, ketika ini, ujian rintis sedang dijalankan di beberapa plaza tol terpilih.
Ini mungkin menjadi kaedah yang lebih praktikal dan menjimatkan, kerana hampir semua orang pasti memiliki kad debit bank atau pun kad kredit yang sentiasa di bawa ke mana-mana. Tambahan pula, jika ini dilaksanakan, pelanggan tidak perlu membeli sebarang kad atau peranti khas berasingan untuk tujuan itu — tidak perlu kad Touch ‘n Go, tidak perlu SmartTAG dan menukar bateri, dan tidak juga perlu membeli pelekat RFID.
Harapnya kaedah ini boleh diperkenalkan segera, dan ia akan memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan, dan lebih memudahkan urusan di plaza tol.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.