Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

Selepas tempahannya dibuka pada Oktober lalu, hari ini UMW Toyota telah mendedahkan secara rasmi Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid, iaitu versi lebih mesra alam berbanding Corolla Cross 1.8V dan 1.8G dengan enjin petrol sepenuhnya yang telahpun berada dalam pasaran Malaysia.

Walau bagaimanapun, harga rasmi bagi model ini masih lagi belum diumumkan kerana pelancaran rasminya hanya akan dibuat pada 9 malam, 14 Januari nanti. Namun ketika pengumuman tempahannya yang dibuka pada tahun lalu, Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid ini diberikan harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM137,000.

Model 1.8 Hybrid ini akan terus dipasarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di kilang UMWT Bukit Raja, Shah Alam. Ia akan dihasilkan sekali dengan varian petrol 1.8V dan 1.8G yang sebelum ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Secara tidak langsung, Corolla Cross merupakan model pertama Toyota yang diasaskan dari platform baharu Toyota New Global Architecture (TNGA) yang dipasang di Malaysia.

Seperti juga model pasaran Thailand, Corolla Cross Hybrid pasaran Malaysia ini menerima rangkaian kuasa hibrid elektrik Toyota generasi keempat. Ia terdiri dari enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter empat silinder berkuasa 98 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 142 Nm pada takat 3,600 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 72 PS dan tork maksima 163 Nm yang dijana oleh bateri nikel logam hidrat berkapasti 6.5 Ah.

Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 122 PS bagi memacu roda hadapan menerusi kotak gear automatik E-CVT, tanpa menampilkan kelajuan maya yang ditampilkan pada model petrol penuh. Menurut Toyota, secara keseluruhan Corolla Cross Hybrid ini mampu mencapai penggunaan bahan api 23.3 km/l.

Unit rangkaian kuasa ini menyediakan tiga mod pemanduan iaitu mod Eco yang memberikan penggunaan bahan api paling efisien, mod Sport untuk pemanduan lebih agresif serta mod EV yang memberikan pemanduan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan enjin petrol dimatikan terus.

Bateri untuk sistem hibrid pada Corolla Cross ini ditempatkan di bawah tempat duduk belakang, membolehkan ia mengekalkan ruang kapasiti but belakang. Tidak seperti pengeluar lain yang hanya menawarkan waranti hanya untuk bateri, Toyota memberikan perlindungan waranti untuk keseluruhan sistem hibrid berkenaan (termasuk inverter dan juga unit pengurusan kawalan kuasa) selama lapan-tahun tanpa had perbatuan.

Pembeli juga boleh memanjangkan perlindungan waranti tersebut dua tahun lebih lama (10-tahun secara keseluruhan) dengan bayaran tambahan RM2,950.

Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

Menurut UMWT lagi, mereka kini yakin dengan ketahanan sistem hibrid terkini Toyota berkenaan dengan memetik kajian lapangan di Singapura, yang membuat penilaian terhadap unit-unit Toyota Prius yang digunakan untuk perkhidmatan Grab. Sejak diperkenalkan pada 2016, tiada langsung kerosakan sistem tersebut dilaporkan sehingga kini, dengan sebahagiannya telah mencatatkan perbatuan lebih 150,000 km dalam tempoh enam tahun.

UMWT turut menyatakan bahawa kabin model 1.8 Hybrid ini adalah lebih enam desibel lebih senyap berbanding versi petrol penuh ketika ia memecut sepenuhnya, serta empat (hadapan) dan tujuh (belakang) desibel lebih senyap ketika bergerak dengan halaju malar 60 km/j.

Malah prestasi untuk versi hibrid ini juga lebih baik dari versi petrol kerana model 1.8 Hybrid ini mampu memecut dari 0-50 km/j 2.1 saat lebih pantas; 0-80 km/j 1.7 saat lebih pantas; 0-100 km/j 0.9 saat lebih pantas berbanding Corolla Cross 1.8G dan 1.8V.

Bagi membezakan penampilan luaran antara versi Hybrid ini dengan model-model petrol penuh, ia menerima lampu hadapan Bi-LED dengan serlahan biru. Fungsi lampu follow-me-home masih diberikan, bersama lampu nyalaan siang dan fungsi larasan manual seperti pada model-model petrol penuh. Model Hybrid ini juga diberikan rim aloi 18-inci yang sama seperti model 1.8V.

Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

Ia juga menerima perincian standard sama seperti kedua-dua varian petrol termasuk lampu kabus LED hadapan dan belakang, pengelap cermin automatik, cermin hadapan akustik, lampu belakang LED, cermin sisi elektrik (auto-lipat, larasan automatik ketika undur), dilengkapi rel bumbung yang boleh menampung beban sebanyak 70 kg serta penderia kaki untuk membuka pintu tailgate belakang.

Model CKD ini juga menyaksikan tayar Michelin Primacy 4 yang dipadankan pada model CBU sebelumnya digantikan dengan tayar Toyo Proxes CR1 yang didakwa memberikan penggunaan bahan api serta keselesaan yang lebih baik. Model kumpulan pertama CKD ini hanya akan diberikan port USB-A dibelakang, dan ia akan digantikan dengan port USB-C bermula Februari nanti.

Corolla Cross Hybrid ini menerima kelengkapan dalaman yang lebih baik berbanding varian-varian petrol penuh. Ia diberikan skrin pelbagai info berwarna TFT yang lebih besar bersaiz 7-inci (4.2-inci pada 1.8V dan G) pada panel instrumen, cermin pandang belakang elektrokromik dan sistem pendingin hawa automatik dua zon (zon tunggal untuk varian lain).

Model ini juga berkongsi perincian dengan model tertinggi petrol 1.8G seperti roda stereng pelbagai fungsi dengan butang kawalan sistem bantuan pemanduan, serta sistem pencahayaan pada pintu hadapan, pemegang cawan dan tray tengah.

Perincian dalaman lain adalah standard untuk ketiga-tiga varian Corolla Cross pasaran Malaysia termasuk tempat duduk upholsteri kulit hitam dengan fungsi larasan kuasa lapan-hala bagi sebelah pemandu serta fungsi lipat nisbah 60:40 dengan larasan rebah kebelakang satu langkah untuk tempat duduk belakang.

Sistem infotainmen juga adalah seragam untuk semua varian SUV segmen-B ini, yang terdiri dari skrin sesentuh kapasitif Display Audio sembilan-inci yang menyokong hubungan Apple CarPlay, Android Auto, Miracast, USB dan Bluetooth, serta menerima enam pembesar suara.

Varian Hybrid bagi Corolla Cross pasaran Malaysia ini masih tidak menampilkan brek parkir elektronik, dan dia masih menggunakan brek parkir manual menggunakan pedal kaki seperti model petrol. Namun ia diberikan karpet kaki serlahan biru bagi menandakan ia adalah varian lebih mesra alam.

Seperti model juga model petrol 1.8V, model Hybrid ini diberikan sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense. Ia terdiri dari fungsi seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, cruise control adaptif/Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

Klik untuk besarkan

Selain itu ia turut menerima sistem bantuan pemanduan asas yang turut terdapat pada model asas 1.8G termasuk Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS). Kelengkapan keselamatan standard lain yang turut dibekalkan termasuk tujuh-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix di belakang serta penderia parkir hadapan dan belakang.

Sistem kamera perakam digital (DVR atau dashcam) untuk bahagian hadapan adalah standard untuk kesemua varian. Namun untuk mereka yang mahukan unit perakam sebelah belakang, ia turut ditawarkan sebagai ciri opsyen. UMW Toyota turut menawarkan fungsi pengecas telefon pintar tanpa wayar untuk semua varian Corolla Cross, juga dengan bayaran tambahan.

Ketiga-tiga varian Corolla Cross pasaran Malaysia ini juga diberikan sistem telematik kenderaan (VTS) secara standard. Ia adalah sistem yang mampu untuk menjejaki kedudukan kenderaan menggunakan isyarat GSM/GPS. Sekiranya kereta dicuri, pusat panggilan 24/7 akan dapat mengesannya dengan segera dan memaklumkan pihak berkuasa untuk tindakan pantas. Ciri ini ditawarkan dengan langganan percuma selama tiga tahun.

Lima warna badan ditawarkan untuk model 1.8 Hybrid ini termasuk Red Mica Metallic, Nebula Blue Metallic, Platinum White Pearl, Silver Metallic serta warna eksklusif Celestite Grey Metallic. Setipa pembelian model ini datang sekali dengan waranti pengeluar selama lima-tahun.

GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid 2022 pasaran Malaysia

GALERI:Brosur Toyota Corolla Cross Hybrid pasaran Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required