Toyota Corolla Cross rasmi dilancarkan di M’sia — dua varian, 1.8L dengan 139 PS/172 Nm, CVT, dari RM124k

Toyota Corolla Cross rasmi dilancarkan di M’sia — dua varian, 1.8L dengan 139 PS/172 Nm, CVT, dari RM124k

UMW Toyota Motor hari ini memperkenalkan secara rasmi model SUV terbaru jenama tersebut untuk pasaran tempatan, Toyota Corolla Cross. Ditawarkan dalam dua varian, 1.8G dan juga 1.8V, harga masing-masing ialah RM124,000 dan RM134,000. Namun, kumpulan terawal ini bakal menyaksikan hanya varian 1.8G sahaja yang dijual terlebih dahulu, dengan varian paling tinggi 1.8V turut dibuka untuk tempahan dan menyusul kemudian.

Toyota Corolla Cross merupakan penawaran dalam segmen baru buat pengeluarnya; pada posisi yang lebih rendah daripada RAV4 dan menggantikan kelompongan yang ditinggalkan oleh model C-HR yang tidak lagi ditawarkan ketika ini di Malaysia.

Kehadirannya sangat menarik kerana buat pertama kali sejak pesaingnya Honda HR-V berada dalam pasaran tanpa banyak cabaran, akhirnya Toyota mempertaruhkan sebuah model yang sepadan. Semua unit dalam kumpulan terawal ini adalah CBU dari Thailand, dengan versi CKD-nya dirancang untuk diperkenalkan juga dalam tahun ini.

Toyota Corolla Cross rasmi dilancarkan di M’sia — dua varian, 1.8L dengan 139 PS/172 Nm, CVT, dari RM124k

Toyota Corolla Cross ini memanfaatkan platform terkini Toyota New Global Architecture (TNGA), sebuah struktur yang membolehkan kejuruteraan lebih anjal dilaksanakan serta beberapa lagi manfaat lain. Berbanding Corolla Sedan, versi SUV Cross ini memiliki badan yang sedikit lebih pendek dengan panjang keseluruhan 4,460 mm, 45 mm lebih lebar dengan 1,825 mm dan 185 mm lebih tinggi dengan 1,620 mm. Ketinggian ini membolehkan jarak kelegaan tanah dinaikkan kepada 161 mm.

Corolla Cross 1.8G menggunakan lampu utama jenis projektor halogen, sementara varian 1.8V pula dilengkapi unit Bi-LED yang memberikan tahap pencahayaan lebih baik. Lampu nyalaan siang (DRL) menampilkan ciri “tirai cahaya” yang menyuntik penampilan unik dan berkualiti—ciri sama turut diberikan untuk lampu belakang.

Tema warna utama ruang kabinnya ialah hitam, dengan kemasan balutan kulit bagi tempat duduk, sementara penyudah cat satin digunakan pada bahagian perincian lain. Pencahayaan LED pada bahagian pintu depan menghasilkan suasana berkualiti tinggi dan melahirkan tanggapan menarik. Untuk kemudahan pemandu pelbagai saiz, tempat duduknya didatangkan dengan ciri larasan elektrik lapan-hala.

Toyota Corolla Cross rasmi dilancarkan di M’sia — dua varian, 1.8L dengan 139 PS/172 Nm, CVT, dari RM124k

Panel instrumen mempunyai rekaan sporty dengan fokus utama pada speedometer di tengah serta Multi-Information Display (MID) 4.2-inci. Panel sembilan-inci di tengah papan pemuka pula adalah untuk paparan sistem infotainmen dan audio, serta memancarkan imej dari kamera undur. Sistem ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem sambungan lain termasuklah USB Mirroring, AUX dan Bluetooth.

Selain kemudahan sistem pintar tanpa kunci untuk memudahkan lagi urusan keluar-masuk dan menghidupkan enjin, Corolla Cross juga datang dengan pintu belakang sensor kuasa elektrik yang boleh dibuka secara automatik melalui pengesanan gerak kaki pengguna. Ini membolehkan operasi tanpa menggunakan tangan sekiranya tangan pengguna penuh kerana memegang beg atau barangan lain.

Ruang barangan yang tersedia pula mempunyai kapasiti 440 liter. Jumlah ini boleh ditingkatkan dengan merebahkan bahagian penyandar kerusi belakang. Dalam keadaan ini, lantainya akan menjadi rata sepenuhnya. Dengan kedua-dua penyandar direbahkan, pengguna boleh membawa dua buah basikal sekali gus dalam ruang berkenaan. Untuk melindungi penglihatan terhadap ruangan ini, penutup tonneau boleh gulung ada disediakan.

Toyota Corolla Cross dikuasakan oleh enjin 1.8-liter petrol DOHC dengan Dual VVT-i. Unit enjin yang telah terbukti ini menghasilkan 139 PS kuasa pada 6,400 rpm dengan 172 Nm tork pada 4,000 rpm. Dengan sistem suapan minyak optimum, enjinnya menawarkan keseimbangan padu antara kuasa, ketahanan dan penjimatan bahan api.

Transmisi Sequential Shiftmatic (CVT) tujuh-kelajuan yang digunakan pula diperkemas prestasinya dengan pendikit kawalan elektronik untuk memberikan maklum balas lebih berkesan, lancar dan senyap. Beberapa perkara menarik lain model ini termasuklah radius pusingan yang terbaik dalam kelasnya (5.2 meter) serta bukaan sudut 18° di bahagian depan yang memudahkan lagi SUV ini melalui bonggol dengan selesa.

Aspek keselamatan Corolla Cross juga mengkagumkan. Ia lengkap dengan Toyota Safety Sense (TSS), merangkumi ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB). Sebagai tambahan, ada juga ciri Peninjau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS).

Tidak ketinggalan ialah Perakam Video Digital (DVR) di depan (ditawarkan sebagai pilihan untuk bahagian belakang). Semua Corolla Cross baru dipasangkan dengan sistem keselamatan termasuk immobilizer enjin. Selain itu, Sistem Telematik Kenderaan (VTS) boleh menjejaki kedudukan kenderaan menggunakan isyarat GSM/GPS. Sekiranya kereta dicuri, pusat panggilan 24/7 akan dapat mengesannya dengan segera dan memaklumkan pihak berkuasa untuk tindakan pantas. Ciri terakhir ini ditawarkan dengan langganan percuma selama tiga tahun.

Ia juga lengkap tujuh beg udara SRS (termasuk satu untuk bahagian lutut pemandu) serta ISOFIX (dengan cangkuk atas) disediakan di tempat duduk belakang. SUV ini menerima penarafan keselamatan lima-bintang bagi ujian ASEAN NCAP.

Corolla Cross datang dengan pilihan warna terdiri daripada Red Mica Metallic, Platinum White Pearl, Metalstream Metallic, Graphite Metallic dan Nebula Blue Metallic. Jaminan kilang selama lima-tahun tanpa had perbatuan disediakan, berserta jaminan sokongan lepas jualan seluruh negara dengan ketersediaan alat ganti tulen.

Toyota Corolla Cross 1.8V

Toyota Corolla Cross 1.8G

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required