Toyota Corolla Cross – perbandingan antara SUV segmen-B & -C; Proton X50, X70, Honda HR-V, dll

Toyota Corolla Cross – perbandingan antara SUV segmen-B & -C; Proton X50, X70, Honda HR-V, dll

Selepas bermain teka-teki, akhirnya UMW Toyota sudahpun memberikan petunjuk jelas bahawa SUV baharu mereka iaitu Toyota Corolla Cross bakal dilancarkan ke pasaran Malaysia pada 25 Mac ini. Tiada sebarang tanda harga yang diumumkan, namun kami jangkakan harga yang bakal ditawarkan untuk model ini adalah kompetitif dan masuk akal, kerana ia akan ditawarkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD), berbanding Toyota C-HR sebelum ini yang diimport sepenuhnya (CBU).

Toyota Corolla Cross telah membuat kemunculan sulung globalnya pada Julai tahun lalu, dan kemudian turut telah di bawa ke pasaran Indonesia. Seperti versi sedan Corolla, SUV segmen-B C-HR dan juga SUV kompak Lexus UX, Corolla Cross ini juga dibina berasaskan platform TNGA-C yang sama.

Namun mesti ramai yang tertanya-tanya, Corolla Cross ini sebenarnya akan duduk dalam kelas mana? Segmen-B atau segmen-C? Walaupun Toyota sendiri menyifatkan dia sebagai SUV segmen-C, tetapi model ini sebenarnya berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Atau lebih spesifik, Toyota Corolla Cross ini lebih besar dari SUV segmen-B, namun ia lebih kecil dari SUV segmen-C. Dalam hieraki model Toyota pula, Corolla Cross masih berada di bawah satu anak tangga satu lagi SUV segmen-C Toyota iaitu RAV4 yang lebih premium, dan ia lebih disasarkan untuk bersaing dengan Honda HR-V, Proton X50, serta model-model SUV segmen-B yang lain, khususnya dalam pasaran ASEAN.

Toyota Corolla Cross – perbandingan antara SUV segmen-B & -C; Proton X50, X70, Honda HR-V, dll

Jadi sebelum ia dilancarkan, kami sediakan dahulu perbandingan awalan Toyota Corolla Cross terhadap pesaing-pesaingnya yang lain – disebabkan kedudukannya yang agak unik, kami bariskan perbandingan ini dengan bercampur antara SUV segmen-B dan segmen-C iaitu Proton X50 dan X70, Honda HR-V, Kia Seltos dan juga Mazda CX-30.

UMWT masih lagi belum menyiarkan sebarang maklumat Corolla Cross berkenaan, jadi maklumat yang kami gunakan ini adalah berdasarkan dari model pasaran Thailand. Pada pasaran tersebut, Corolla Cross dipasarkan dalam versi petrol dan juga hibrid – kami jangka model pasaran Malaysia bakal menampilkan spesifikasi yang hampir sama dengan model petrol di negara jiran berkenaan dan ini yang akan kami guna dalam perbandingan ini.

Seperti yang kami katakan tadi, Corolla Cross dihasilkan dalam saiz yang cukup unik, jadi anda boleh perhatikan panjang keseluruhan model yang diukur 4,460 mm ini berada di tengah-tengah antara model segmen-B dan segmen-C lain. Namun antara kesemua model segmen-B, Mazda CX-30 tampil dengan jarak roda yang paling jauh dengan 2,655 mm, hanya kurang sedikit dari X70 dengan jarak 2,670 mm.

Manakala untuk Corolla Cross, jarak roda model ini sebenarnya sama dengan Toyota C-HR, namun secara keseluruhan ia adalah 100 mm lebih panjang membolehkan ruang kargonya dihasilkan lebih besar dengan kapasiti 487 liter (C-HR hanya 388 liter). Ruang kargo yang ditawarkan pada Corolla Cross ini juga sebenarnya paling besar berbanding model segmen-C lain, hanya kurang sikit dari Proton X70 yang mempunyai kapasiti 515 liter.

Di Thailand, Corolla Cross menerima enjin 1.8 liter NA empat silinder berkuasa 138 hp dan tork maksima 177 Nm. Ia sudah tentu lebih berkuasa dari enjin 1.6 liter NA pada Seltos dan hampir sama dengan enjin 1.8 liter i-VTEC pada HR-V. Tetapi penghasilan kuasa enjin tersebut juga sudah tentu tidak setanding dengan enjin-enjin turbo Proton dan juga Mazda CX-30 yang menerima enjin 2.0 liter NA.

Juga sama seperti HR-V, Corolla Cross juga diberikan kotak gear CVT. Kia Seltos dan Mazda CX-30 hadir dengan pilihan kotak gear automatik enam kelajuan 6AT, manakala adik-beradik Proton pula diberikan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT. Kecuali Mazda CX-30, kesemua SUV yang kami senaraikan ini hanya memacu roda hadapan tanpa pilihan sistem AWD.

Seperti model berasaskan TNGA-C lain, Corolla Cross menerapkan suspensi jenis Topang McPherson di hadapan, tetapi ia satu-satunya yang hanya diberikan suspensi torsion beam berbanding double wishbone di belakang. Namun jika dilihat pada pesaingnya yang lain, sistem torsion beam ini adalah normal untuk SUV segmen-B, dan satu-satunya model yang menerima suspensi bebas jenis multilink dalam senarai ini hanyalah model segmen-C Proton X70.

Setakat ini, UMWT sudahpun menawarkan sistem keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem brek kecemasan automatik (AEB) pada model lebih rendah seperti Vios dan Yaris. Jadi kami jangkakan sistem keselamatan yang akan ditawarkan pada Corolla Cross pasaran Malaysia ini nanti adalah setanding dengan penawaran pada pasaran Thailand, dan ia juga sebaris dengan sistem-sistem yang ditawarkan pada pesaingnya yang lain di sini.

Walau bagaimanapun, untuk perbandingan lebih terperinci, kita perlu menunggu dahulu senarai spesifikasi rasmi yang akan diumumkan oleh UMWT kelak – mungkin ketika ia dilancarkan, atau mungkin hampir dengan tarikh 25 Mac nanti. Jadi setakat ini bagaimana? Dah jelas bagaimana kedudukan Toyota Corolla Cross dalam pasaran Malaysia?

Kalau dah mula terpikat dengan model ini, jangan lengah, daftarkan minat anda secara atas talian menerusi PAUTAN INI.

GALERI: Toyota Corolla Cross pasaran Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required