PANDU UJI: Lexus UX 200 Luxury — prestasi, selesa seimbang sebagai sebuah SUV kompak urban bergaya

PANDU UJI: Lexus UX 200 Luxury — prestasi, selesa seimbang sebagai sebuah SUV kompak urban bergaya

Agak menarik untuk melihat penawaran Lexus UX; ia berada dalam segmen yang bukanlah baru, tetapi tidak pernah diwakili oleh Lexus sebelum ini – SUV kompak premium. Untuk pasaran global, UX mula ditunjukkan kepada umum pada tahun 2018. Dan, kurang lebih dua tahun selepas itu, ia diperkenalkan pula di Malaysia, secara rasminya pada Mac 2020. Sebelum itu, tempahannya mula dibuka pada bulan Februari 2020.

Melihat corak penawaran dari pemain-pemain global sejak beberapa tahun kebelakangan ini, setiap segmen kenderaan yang ada bagi kenderaan-kendaraan bukan premium, pasti ada penawaran yang setara untuk segmen premiumnya. Corak seperti ini dapat kita perhatikan pada praktik kebanyakan jenama-jenama utama pengeluar di dunia.

Bayangkan model-model bukan premium seperti Mazda CX-3, Honda HR-V, Subaru XV dan Toyota C-HR. Semua ini contoh penawaran dalam segmen yang sama, SUV kompak – atau biasa kita panggil crossover – yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin mendapat perhatian dan sambutan menggalakkan. Orang mungkin sudah bosan dengan sedan, dan jika SUV sebenar terlampau besar dan kurang menarik di mata mereka, maka kenderaan dalam segmen SUV kompak ini adalah jawapan yang paling hampir.

Ini ditambah pula dengan peralihan penerimaan terhadap SUV sebagai sebuah kendaraan urban praktikal yang mengatasi kecenderungan permintaan terhadap kereta sedan. Maka SUV kompak hadir sebagai alternatif yang lebih masuk akal; tidak terlalu besar atau tinggi, dan lebih mudah dikendalikan untuk kegunaan dalam bandar.

PANDU UJI: Lexus UX 200 Luxury — prestasi, selesa seimbang sebagai sebuah SUV kompak urban bergaya

Lexus UX ingin bermain di dalam segmen yang sama, tetapi bagi penawaran peringkat premium tentunya. Adakah ia satu-satunya model yang ada? Sebenarnya, tidak. Bahkan, Lexus agak terlewat untuk “masuk padang”. Permainan telah pun berlangsung agak lama, tetapi bak kata orang, “eloklah terlambat sedikit daripada tak ada terus”.

Bagi segmen SUV kompak premium, ada beberapa contoh terdekat yang boleh diperhatikan, terutamanya yang ada ditawarkan untuk pasaran tempatan. Antara yang perlu disebutkan ialah Mercedes-Benz GLA, BMW X1 (dan juga X2), Volvo XC40 dan juga Audi dengan Q2 dan Q3.

Bergantung bagaimana anda melihatnya, Lexus UX boleh sahaja punya kelebihan atau kekurangan dalam kelompok ini — ia satu-satunya penawaran yang dikeluarkan oleh jenama Jepun, manakala selebihnya dari pengeluar dari Jerman. Dan untuk saya, hal ini hadir dengan set kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Dalam barisan kenderaan Lexus untuk pasaran tempatan, UX kini menjadi model paling “rendah” dan asas yang ditawarkan ketika ini, berbanding model-model lain yang ada. Bagi barisan SUV, UX diposisikan paling bawah – sebelumnya ada NX, dan paling atas, RX – dari segi saiz, kelengkapan dan sudah tentu, harganya. Ada tiga tingkat kemasan yang ditawarkan untuk UX ini.

PANDU UJI: Lexus UX 200 Luxury — prestasi, selesa seimbang sebagai sebuah SUV kompak urban bergaya

Yang paling ringkas, UX 200 Urban, dijual pada harga RM243,888; tingkat pertengahan Luxury pada harga RM283,888 dan yang paling lengkap, F Sport pada harga RM299,888. Semua harga ini adalah harga atas jalan tidak termasuk insurans.

Dengan pengecualian cukai 2020 ketika ini, harga semasa masing-masing menjadi RM235,472, RM274,027 dan RM289,364. Itu melibatkan pengurangan sehingga RM10,524 atau sekitar 3.5%. Lexus UX 200 adalah model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Lexus UX menjadi model pertama jenama itu yang menggunakan platform Global Architecture – Compact (GA-C). Untuk mudah faham, kiranya ini nama versi premium bagi platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang digunakan untuk model-model Toyota.

Dimensi binaan SUV kompak ini pula adalah seperti berikut: 4,495 mm panjang, 1,840 mm lebar dengan jarak antara roda 2,640 mm. Jika dibandingkan dengan NX, UX ini 130 mm lebih pendek, 30 mm lebih sempit dan jarak rodanya 20 mm lebih singkat. Kedudukan UX juga 110 mm lebih rendah berbanding NX.

Ketiga-tiga tingkat penawaran itu hadir dengan unit enjin yang sama bagi UX; 2.0 liter NA Dynamic Force empat-silidner dengan janaan 169 hp dan 205 Nm tork pada 4,800 rpm – enjin yang sama turut digunakan pada model Toyota RAV4. Ia dipadankan pula dengan transmisi CVT Direct-Shift dengan fungsi 10-kelajuan maya – dengan pacuan roda depan. Bagi varian F-Sport, paddle shifter ada disediakan. Ini membolehkan SUV kompak ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat dengan kelajuan maksimum 190 km/j.

Berbalik kepada kelainan yang ada pada model dari satu-satunya pengeluar Jepun ini. Paling menarik untuk diperhatikan tentulah reka bentuknya. Ada ketelitian lain yang diberikan oleh tangan-tangan dan idea Jepun yang diterapkan pada SUV kompak ini. Dari satu sudut, ia seperti meminjam unsur garis-garis tajam yang sama seperti yang pernah dilihat pada Toyota C-HR, misalnya.

Dilihat dari depan, SUV kompak ini mempunyai penampilan yang garang. Rekaan lampu utama tirus, dengan jalur DRL yang juga tajam – LED semuanya, gril yang menempati ruang yang agak luas dengan bukaan sampai ke bawah, rekaan inlet di sudut bampar, serta kemasan krom yang ada semuanya menjurus kepada imej begini. Walaupun ia Lexus yang paling kecil, UX tetap membawakan penggayaan yang tidak kalah berbanding model-model Lexus yang lain.

Oleh kerana kedudukan keseluruhannya yang rendah, profil sisi UX membawa iras wagon sporty berbanding sebuah SUV kompak. Bahagian depan yang panjang dan semakin rendah dihujungnya, diikuti dengan bahagian badan yang mencadangkan rekaan bumbung rendah – tanpa landasan pada bumbung yang kelihatan ketara – dengan sedikit lanjutan ruang di belakang. Bahagian sisi badan juga bersih, hanya terdapat satu garis lekuk pada bawah pintu, serta kemasan pada lengkung plastik pada tayar mencadangkannya lebih terarah sebagai sebuah crossover.

PANDU UJI: Lexus UX 200 Luxury — prestasi, selesa seimbang sebagai sebuah SUV kompak urban bergaya

Melihat ke bahagian belakang, ia juga menampilkan pendekatan rekaan yang segar. Rekaan lampu LED belakang dengan jalur melintang berkelebaran penuh di kiri-kanannya memberikan satu kesan visual menarik bagi SUV kompak ini, terutama pada waktu malam.

Ia memberi satu kehadiran yang cukup jelas dan tersendiri bagi model ini. Tempat logo Lexus diletak pula ada seolah ada creasing bentuk trapezoid yang “membahagikan” ruang berkenaan, ditarik dari bahagian bampar. Bahagian belakang ini juga nampak “bersih” dan moden, memberikan penampilan tersendiri bagi UX.

Dalam ruang kabin, barulah terserlah sisi premium yang ingin dipertaruhkan Lexus, untuk semua barisan modelnya. Walaupun ruang yang tersedia agak kecil dan padat, ia tak sedikit pun berkurangan dari segi kemewahan, sekurang-kurangnya bagi kenderaan dalam segmen yang sama.

Tambahan pula, model ini merupakan unit pemasangan Jepun, ketelitian yang ditampilkan sangat cermat – hampir segala sudut dalam kereta ini terasa seperti difikirkan dengan mendalam sebelum dizahirkan. Satu sisi yang menjadi kelebihan Lexus, walaupun untuk model UX.

Banyak perkara yang boleh diperkatakan tentang kabinnya. Antara yang penting untuk dinyatakan ialah tentang ruang dalamannya, terutama dari sudut “look & feel”. Rekaan papan pemuka membawa semangat yang sama dengan rekaan luaran bahagian depan.

Yang dimaksudkan ialah lapis-lapis rekaan moden yang ditunjukkan, dengan konsol utamanya condong ke arah pemandu yang nampak sedikit futuristik sifatnya. Skrin apung terletak di tengah dengan jam analog di hujungnya menjadi paparan utama untuk multimedia. Butang-butang kawalan berkaitan sistem pendingin hawa semuanya “ditanam” dan disusun dengan kemas.

Lihat juga kemasan yang digunakan pada permukaan papan pemuka; pada unit yang di uji ini – dari tingkat kemasan Luxury, ia hadir dengan balutan kulit dalam gabungan warna kebiruan dan kelabu – tema sama dapat dilihat pada balutan kerusi juga – yang menjadikan ruang berkenaan tampil dengan sedikit kelainan yang dari kebiasaan.

Jika anda ada peluang untuk mendekati kereta ini, luangkan sedikit masa untuk menyentuh permukaan-permukaan di dalamnya. Cantik dari sudut penglihatan, ia akan lebih memberikan tanggapan bermakna jika anda perhatikan pula tekstur permukaan yang berbeza-beza – semacam satu kelegaan untuk deria sentuhan, dibuat dengaan kecermatan dan ketelitian yang disengajakan.

Tentang ruang, seperti dinyatakan awalnya, ia tidaklah begitu luas, terutamanya untuk tempat duduk belakang. Paling tidak, ketika dua penumpang depan ingin sedikit selesa dan mengundurkan kerusi kebelakang; dua atau tiga penumpang di belakang masih boleh duduk dengan ok, cuma ruang kaki akan sedikit terhad – bila lenguh mungkin payah sedikit untuk berlunjur atau mengalihkan kaki.

Lagi tentang ruang. Untuk buka pintu ruang barangan di belakang, boleh saja menggunakan gerak kaki, dengan kunci berada berdekatan anda. Ruang yang tersedia untuk barangan anda ialah 228 liter, yang boleh saja ditambah dengan menurunkan penyandar kerusi belakang. Ini ciri-ciri yang tambah menyenangkan pengalaman pengguna yang memang dijangkakan untuk sebuah kenderaan premium. Dan Lexus UX menyediakan semua itu.

Satu lagi perkara yang turut diberi perhatian khusus oleh Lexus ialah kelengkapan ciri dan teknologi keselamatan yang ada pada UX. Walaupun model paling “bongsu” dalam penawaran di Malaysia ketika ini, UX tidak diabaikan dari aspek ini. Selain ciri keselamatan pasif seperti lapan beg udara SRS, UX juga datang dengan pakej keselamatan Lexus Safety System+.

Di dalamnya, sama seperti pakej keselamatan aktif yang biasa kita lihat ditawarkan pada kenderaan Lexus. Ini termasuklah ciri seperti sistem pra-perlanggaran, sistem lampu tinggi adaptif, bantuan mengekalkan lorong, sistem melayar radar adaptif dengan fungsi Stop & Go, sistem peninjau titik buta dan monitor pandangan panoramik. Walaupun untuk SUV kompak saiz ini, keselamatan tidak pernah diperjudikan oleh Lexus.

Duduk di tempat pemandu rasanya lebih seronok. Stereng balutan kulit dengan banyak butang kawalan yang tersedia untuk membantu pemandu mengekalkan perhatian pada jalan raya, paparan meter maklumat pemanduan digital dengan warna penuh yang mudah dilihat serta kedudukan kerusi yang boleh direndahkan menjadikan pengalamannya sama seperti berada dalam kereta sedan.

Untuk mengawal perihal audio pula, semua itu juga berada dengan dengan tangan kiri pemandu; pada bahagian konsol tengah dalam keadaan tangan direhatkan. Track pad dan kawalan roda putar untuk Volume dan sebagainya agak intuitif untuk dikendalikan, cuma anda perlu luangkan masa untuk membiasakan diri mengawal tanpa melihat ke arahnya.

Di atas kertas, Lexus UX memang bukanlah yang terpantas. Tetapi itu tidak bermakna pengelaman pemanduan yang diberikan tidak bermaya. Sepanjang mencuba unit ini, beratus kilometer sempat ditempuh dengan perasaan yang sangat menyenangkan. Keunggulannya yang paling utama tentulah dari sudut keselesaan, tetapi untuk berada di belakang sterengnya juga tidaklah mengecewakan.

PANDU UJI: Lexus UX 200 Luxury — prestasi, selesa seimbang sebagai sebuah SUV kompak urban bergaya

Maklum balas dari enjin Dynamic Force yang digunakan, setakat yang dapat diperhatikan, mengimbangi antara tujahan bertenaga dan juga penjimatan bahan api. Dan, oleh kereta UX agak kecil dan ringan, setiap kali menjangkakan saluran kuasa sampai tanpa sebarang kelewatan, setiap kali itu jugalah UX tak pernah mengecewakan.

Tentang penggunaan minyak, tangki petrolnya saja tidak terlalu besar, iaitu cuma 47 liter – di atas kertas, ia menggunakan sebanyak 6.2 liter petrol bagi setiap 100 km. Ini agak cekap bagi sebuah kereta dalam kelasnya. Pengendaliannya juga tak kalah menarik. Dengan kedudukan yang rendah dan kecil, ia mampu kekal stabil dan berada dalam kawalan dengan baik.

Terima kasih kepada penyerap hentak prestasi yang digunakannya – suspensi depan menggunakan jenis MacPherson Strut sementara di belakang Trailing Wishbone. Rod prestasi depan juga dipasang bagi memberikan lebih kestabilan ketika pemanduan. Untuk varian F-Sport misalnya, ia ada tambahan lain – Adaptive Variable Suspension System (AVS).

PANDU UJI: Lexus UX 200 Luxury — prestasi, selesa seimbang sebagai sebuah SUV kompak urban bergaya

Jika memandu diwaktu malam, sistem lampu yang ada juga banyak membantu; lampu tinggi dilaraskan secara automatik jika sistem mengesan kenderaan berada dalam keadaan yang memerlukan lebih penglihatan. Jadi jangan hairan jika tiba-tiba sahaja tanda lampu tinggi terpasang pada paparan meter.

Lexus UX memadankan dengan agak baik juga bagi cara penggunaan di dalam bandar mahupun untuk perjalanan jauh. Di dalam kota, saiznya banyak membantu untuk memudahkan kendalian, begitu juga dengan semua ciri keselamatan yang dimiliki. Untuk perjalanan jauh pula, ia tidak langsung berasa janggal untuk memberikan keselesaan dan sedikit keseronokan kepada pemandu. Tambahan pula, jika anda hanya perlu mengisi RM50 dan itu sudah cukup untuk memberikan jarak perjalanan beratus kilometer.

Jadi, Lexus UX ini untuk siapa? Mudah sahaja, bagi mereka yang inginkan sebuah SUV kompak, tetapi tak mahu segmen bukan premium, dan tidak juga senang untuk beramai-ramai memandu kenderaan daripada pengeluar Jerman. Dan dengan itu, UX datang bersama kerapian pembuatan seperti selalu yang kita jangkakan daripada Lexus – atau kecermatan dari budaya Jepun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required