Selepas dilancarkan dan dijual dalam pasaran Malaysia dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand bermula Mac lalu, tak lama lagi Toyota Corolla Cross bakal dijual dalam versi pemasangan tempatan (CKD) bersama penambahan model Hybrid – UMW Toyota telah mengesahkan perkara ini dan mengumumkan harga anggaran untuk semua varian.

Namun, penurunan harga dilihat tidak banyak. Model paling asas Corolla Cross 1.8G CKD dianggarkan akan dijual pada harga RM123,00 (murah RM1,000 berbanding CBU), dan varian 1.8V CKD pula dijual pada harga RM129,000 (turun RM266 berbanding CBU). Seperti yang diumumkan sebelum ini, Corolla Cross CKD turut akan diperkenalkan dalam versi Hybrid dan akan dijual pada harga RM137,000.

Harga-harga yang dinyatakan ini adalah termasuk pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan kerajaan sehingga 30 Jun 2022. Setiap pembelian juga disertakan dengan perlindungan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan, manakala model Hybrid turut akan menerima waranti selama lapan-tahun untuk bateri, inverter dan ECU kawalan pengurusan kuasa sistem hibrid berkenaan. Pemilik model Hybrid juga boleh memanjangkan waranti tersebut sehingga 10-tahun dengan tambahan kos RM2,590.

Walau bagaimanapun, versi CKD ini diberikan berberapa peningkatan kelengkapan berbanding versi CBU sebelumnya. Bagi model 1.8G, ia bakal dibekalkan dengan lampu hadapan LED secara standard. Manakala semua varian lain menerima tingkat taraf seperti rel bumbung baharu, port USB Type-C di belakang, cermin hadapan akustik dan juga penebat bunyi pada bonet (untuk model petrol penuh) bagi mengurangkan bunyi enjin.

Bagi model 1.8V dan juga Hybrid, ia menerima pakej bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense yang dipertingkat dengan fungsi stop & go pada cruise control adaptif – penambahan fungsi ini juga mungkin akan menampilkan brek parkir elektronik sama seperti yang diterima pada model pasaran Jepun. Ia juga akan ditambah dengan sistem bantuan pengekal tengah lorong.

Sistem keselamatan lain seperti tujuh-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, sistem pemantau tekanan angin tayar, sistem kameran pemantau sekeliling 3D 360 darjah, dan kamera perakam digital masih dibekalkan secara standard untuk semua varian.

Bagi model petrol sepenuhnya, ia terus dijana oleh enjin 2ZR-FE 1.8 liter Dual VVT-i yang menghasilkan kuasa 139 PS pada takat 6,400 rpm dan tork maksima 172 Nm tork pada takat 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT bagi memacu hanya roda hadapan.

Model Hybrid pula menerima rangkaian kuasa yang terdiri dari enjin petrol 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson yang menghasilkan 98 PS/142 Nm bersama motor elektrik berkuasa 72 PS/163 Nm. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan yang dikadarkan pada 122 PS.

GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8V CBU

GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8G CBU