PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengenalpasti beberapa plaza tol di mana lorong SmartTag yang sebelum ini ditutup akan diaktifkan semula ekoran rungutan dari pelanggan SmartTAG dan pengurusan trafik. Di mana menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, sebanyak 19 lorong SmartTag di 16 buah plaza tol akan dibuka semula sebelum 25 Januari ini. Manakala baki 24 lorong SmartTAG di 18 buah plaza tol juga akan kembali beroperasi pada 19 Februari 2022.
“PLUS juga komited untuk mengambil segala pendekatan perlu dalam mengoptimumkan prestasi sistem RFID dan meningkatkan kadar pengesanan tag RFID di plaza tol. Palang tol berganda yang lebih pantas akan dipasang di plaza-plaza tol dengan jumlah trafik yang tinggi bagi memastikan kenderaan dapat melalui lorong RFID dengan lebih pantas.
“Sebagai tambahan, lokasi zon pengesanan RFID akan ditandakan pada permukaan jalan bagi membolehkan pengguna memastikan kedudukan kenderaan mereka dengan lebih baik dalam meningkatkan kadar pengesanan yang lebih tinggi ketika melalui lorong RFID,”kata kenyataan yang dikeluarkan oleh PLUS.
Selain itu, PLUS juga telah menempatkan pembantu khidmat pelanggan di semua 158 lorong RFID di semua 74 plaza tol untuk memberi bantuan kepada pelanggan RFID yang menghadapi masalah dengan menggunakan Peranti Pengesan Mudah Alih.
PLUS turut menambah, terdapat 24 Pusat Pemasangan Tag RFID di lebuhraya PLUS dan 35 lagi lokasi berada di luar lebuh raya. Senarai penuh Pusat Pemasangan boleh didapati di laman sesawang https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres yang dikemas kini dari semasa ke semasa.
“Pelanggan yang mengalami masalah pengesanan RFID di lebuhraya PLUS akan menerima kupon Touch N Go dari pembantu Khidmat Pelanggan kami dan pelanggan boleh terus ke pusat Pusat Pemasangan Tag RFID yang terdekat untuk pemeriksaan. Jika tag didapati rosak, pihak Touch N Go akan menggantikan tag tersebut secara percuma. PLUS akan terus bekerjasama dengan Touch N Go untuk meningkatkan bilangan pusat pemasangan RFID bagi memastikan pemasangan tag yang betul oleh ejen pemasangan yang terlatih,” jelasnya.
Projek RFID ini adalah selaras dengan pelan tindakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Kementerian Kerja Raya ke arah eko-sistem lebuh raya bebas kesesakan iaitu Sistem Aliran Tol Tanpa Henti (MLFF). Transaksi pembayaran tol dengan RFID telah wujud bersama dengan pilihan pembayaran SmartTAG dan Touch ‘n Go dikebanyakan rangkaian lebuh raya bertol sistem terbuka sejak 2018 dengan lebih 1.5 juta pelanggan RFID sedia ada.
Pada 15 Januari 2022, PLUS memperkenalkan sistem ini secara menyeluruh di sepanjang lebuh raya kendaliannya sebagai pilihan pembayaran tambahan kepada pelanggan. Walau bagaimana pun, semasa hari pertama pelaksanaan RFID Perintis Awam ke-2 sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dari Juru ke Skudai, berlaku kesesakan teruk di beberapa plaza tol yang berpunca apabila pengguna ‘tersangkut’ di hadapan palang tol di lorong RFID sehingga memaksa mereka untuk mengundurkan kenderaan dan menukar ke lorong TNG atau SmartTAG.
Perkara ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang inginkan PLUS terus mengekalkan lorong SmartTag dan Touch ‘n Go (TNG) sebagai pilihan kepada pengguna lebuhraya sebagai transaksi pembayaran tol.
“Dari segi lorong, jangan semua RFID kalau kita diberi pilihan. Kalau ada 10 lorong, mungkin beberapa lorong RFID Dan selebihnya ‘Touch n’ Go’ dan SmartTag. Kita tak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya. Berikan mereka kebebasan memilih. Serah kepada pengguna untuk buat pilihan. Kalau mereka rasa RFID mudahkan jalan, mereka boleh tukar,” kata beliau.
Semalam, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut mengarahkan agar PLUS mengekalkan lorong SmartTag dan TNG . Selain itu, LLM turut menggesa agar PLUS memastikan prestasi sistem RFID dipertingkatkan bagi mengelakkan kesesakan trafik di plaza tol dan harus lebih banyak menyalurkan informasi sistem RFID menerusi saluran media untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran pengguna (terhadap sistem RFID).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.