Melihat akan perkembangan pasaran kenderaan elektrik (EV) di negara ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mahu memfokuskan pengeluaran teknologi EV mulai tahun ini. Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, ia bertujuan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar teknologi EV terutamanya kenderaan elektrik dua roda yang dibangunkan pengusaha tempatan.
Dengan tema ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’, ia merupakan salah satu daripada tiga bidang utama yang MOSTI ingin fokuskan pada tahun ini, selain sekuriti kesihatan negara dan inovasi sosial, laporan Bernama.
“Antara langkah yang diambil adalah pembangunan dan pengkomersialan ekosistem teknologi EV tempatan bersama syarikat pemula dan industri kecil sederhana (IKS), menerusi program ‘Enabling Mobility Electrification for Green Technology’ (Emerge) yang diterajui NanoMalaysia Bhd,” katanya dalam Majlis Amanat 2022 MOSTI bersama Dr Adham pagi tadi.
Selain itu, Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI) iaitu platform perintis peringkat kebangsaan turut diperkenalkan bagi membangun dan mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga untuk mobiliti elektrik, kegunaan di dalam sektor domestik dan industri serta penyelesaian mudah alih.
Buat masa ini, MOSTI belum memperincikan lebih lanjut mengenai teknologi EV mesra alam yang diperkatakan ini. Walau bagaimana pun, ia dilihat selaras dengan langkah kerajaan yang bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV. Pengecualian cukai jalan sehingga 100% juga diberikan kepada kenderaan berkenaan. Perkara ini diumumkan menerusi pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan pada Oktober tahun lalu.
Malah pada tahun 2017, kerajaan terdahulu bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi pasaran EV menjelang tahun 2030 dengan menyasarkan sebanyak 100,000 kereta elektrik, 100,000 motosikal elektrik, 125,000 stesen pengecas dan 2,000 bas elektrik di jalan raya.
Setahun sebelum itu, syarikat Malaysia iaitu Amber Dual dikatakan bekerjasama dengan Beijing Auto International Corporation (BAIC) untuk menghasilkan EV pertama buatan Malaysia, yang dibangunkan berdasarkan model hatchback sedia ada BAIC EV200. Namun sehingga kini, tiada perkhabaran lanjut mengenainya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.