Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited dalam skala 1/24 – hasil kreatif Faqih Jamaludin dari kit Lancer Evo III

Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited dalam skala 1/24 – hasil kreatif Faqih Jamaludin dari kit Lancer Evo III

Perkara biasa untuk peminat-peminat kereta, kalau tak dapat beli kereta idaman, kadang kala cukup la dapat simpan model-model skala kecil kereta yang disukai tersebut. Jadi tak hairan mengapa ramai orang dewasa yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli model-model skala yang diperbuat dari logam (die-cast).

Namun bagi yang lebih hardcore, mereka mungkin akan beralih ke hobi membina model kit plastik pula. Walaupun hobi membina model kit ini jauh lebih leceh kerana kereta yang dibeli perlu dipasang dan diwarnakan sendiri, ia sebenarnya lebih seronok kerana jika anda cukup kreatif, kerana model kit yang dihasilkan tersebut dapat dibuat lebih terperinci mengikut rupa atau spesifikasi yang betul-betul anda mahukan seperti kereta sebenar.

Kalau anda berminat dengan hobi membina model kit ini, anda mungkin perlu melawat Facebook Group Big Boys Small Toys Club (BBSTC). Ini adalah antara kelab pembina model kit khususnya untuk model-model automotif (motosikal dan kereta) yang paling aktif di Malaysia.

Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited dalam skala 1/24 – hasil kreatif Faqih Jamaludin dari kit Lancer Evo III

Baru-baru ini tular satu hasil kerja yang dipaparkan dalam Group Facebook BBSTC berkenaan – ia adalah model Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited yang dihasilkan oleh modeler bernama Faqih Jamaludin. Untuk pengetahuan anda, model kit untuk Proton Wira ini memang tiada langsung dijual dalam pasaran. Jadi untuk menghasilkan Wira 1.8 Tiang Gol ini, Faqih menggunakan kit Mitsubishi Lancer GSR Evolution III yang dikeluarkan oleh Hasegawa dalam skala 1/24.

Perkara pertama yang dibuat oleh Faqih untuk merubah Lancer Evo berkenaan kepada Proton Wira adalah dengan memotong dan membuang bahagian bampar hadapan. Dia kemudiannya menghasilkan sendiri bampar Wira tersebut menggunakan plat plastik (atau lebih dikenali sebagai plaplate).

Dia kemudiannya memotong dan membuang bahagian penutup bonet dan juga gril hadapan, dan membentuk semula perumah lampu hadapan kerana lampu Wira menampilkan rupa yang lebih bulat berbanding Lancer. Juga dengan plaplate serta bahan putty, Faqih membentuk kembali bonet hadapan, gril dan juga bampar hanya dengan menggunakan tangan dan peralatan-peralatan modeling lain.

Selesai bahagian muka, Faqih beralih pula ke bahagian belakang. Bahagian ini turut ditambah dengan bahan putty bagi menjadikan Lancer berkenaan sedikit lebih panjang agar seiras dengan Proton Wira, kemudian bahagian lampu dan juga perumah plat pendaftaran turut diukir dan dibentuk hanya menggunakan tangan.

Seperti yang kita tahu, Lancer dan Wira menampilkan profil sisi yang sama, jadi Faqih hanya perlu membuang skirt sisi Evo III tersebut, dan membina semula skirt sisi yang seiras dengan Proton Wira 1.8 DOHC EXi juga menggunakan putty. Faqih juga mengubahsuai spoiler Evo III berkenaan agar kelihatan seperti spoiler ‘Tiang Gol’ Wira 1.8 Limited.

Untuk pengetahuan anda, kit Lancer Evo III dari Hasegawa ini didatangkan dengan dua set tempat duduk hadapan iaitu Recaro SR3, dan juga sepasang tempat duduk Recaro N-Joy yang sememangnya perincian standard untuk Lancer Evo II dan Wira 1.8 DOHC Limited.

Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited dalam skala 1/24 – hasil kreatif Faqih Jamaludin dari kit Lancer Evo III

Jadi Faqih memilih untuk memadankan set tempat duduk Recaro N-Joy berkenaan. Manakala untuk papan pemuka, panel konsol tengah Evo III tidak digunakan, sebaliknnya Faqih membentuk sendiri panel konsol tersebut agar seiras dengan papan pemuka Proton Wira.

Setelah siap semua, badan Wira ini disembur dengan layangan primer, kemudian disudahkan dengan warna hitam yang nampak sedikit ke’ungu’an. Bonet Wira ini juga diberikan decal dengan efek gentian karbon. Satu lagi yang menarik, tip ekzos asal Evo III ini juga sebenarnya seiras dengan tip ekzos berkembar Wira 1.8 DOHC.

Untuk mendapatkan set rim AAC 14-inci dalam skala 1/24 ini memang agak mustahil. Jadi Faqih hanya menggunakan kembali set rim OZ Chrono yang datang sekali dengan kit Evo III Hasegawa ini.

Sebenarnya selain dari Wira 1.8 ini, Faqih sebelum ini turut pernah menghasilkan Wira Aeroback juga menggunakan kit asas Lancer Evo dari Hasegawa, dan juga Daihatsu Mira L200 yang kelihatan seperti Perodua Kancil diasaskan dari kit Daihatsu Mira L70 keluaran Fujimi.

GALERI: Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited hasil restorasi Dream Street Restoration

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required