Proton Wira 1.8 EXI DOHC ‘Tiang Gol’ 1996 hasil restorasi DSR – legenda yang dibangunkan semula!

Proton Wira 1.8 EXI DOHC ‘Tiang Gol’ 1996 hasil restorasi DSR – legenda yang dibangunkan semula!

Kita dah tengok hasil restorasi oleh Dream Street Restoration (DSR) terhadap Proton Satria GTI dan juga Proton Satria R3 sebelum ini. Sekarang, tiba masa kita lihat satu lagi hasil kerja DSR terhadap satu lagi model lagenda dengan kod C99 Proton yang dijana oleh enjin 1.8 liter 4G93P – ini dia Proton Wira 1.8 EXI DOHC Limited!

Jika anda sudah baca artikel-artikel kami berkenaan DSR yang diasaskan bersama oleh Suriya Sankaran dan anaknya Dharveen Suria sebelum ini, anda pasti tahu bahawa setiap kereta yang dihasilkan oleh DSR, ia akan diberikan satu plat istimewa yang diberikan nombor siri unik, dan Wira ini menerima nombor DSR-009-C99, bermaksud ia adalah unit kesembilan yang telah menerima restorasi lengkap dari mereka.

Macam biasa, setiap unit kereta yang direstorasi oleh DSR ini ada cerita tersendiri. Kereta ini dibeli sendiri pihak DSR dari pemilik asal yang memang membelinya ketika baharu dan ia adalah antara unit kumpulan awalan yang diproduksi antara tahun 1995 dan 1996.

Selepas dibeli, ia kemudiannya dibuka untuk jualan oleh DSR, manakala kerja-kerja restorasi hanya dibuat setelah ia dijual serta mengikut bajet dan juga kemahuan pemilik baharu berkenaan. Akhirnya, seorang pembeli bersetuju untuk memiliki Wira tersebut pada lewat tahun lalu.

Proton Wira 1.8 EXI DOHC ‘Tiang Gol’ 1996 hasil restorasi DSR – legenda yang dibangunkan semula!

Oleh kerana unit ini hanya dimiliki oleh hanya seorang pemilik sebelum ini, ia berada dalam keadaan yang sangat lengkap. Jadi pemilik baharu hanya mahukan cat hitam metalik yang telah dilayangkan pemilik sebelum ini untuk disembur semula dengan warna asal dari kilang Proton Shah Alam iaitu Majorca Black.

Pemilik baharu ini juga mahukan sebuah Wira 1.8 LE dengan kelengkapan asli dari kilang dikekalkan sebanyak yang boleh, jadi DSR tidak membalut semula upholsteri asal kereta berkenaan. Kesemua tempat duduk Recaro, trim pintu, roda stereng Momo dan sebagainya masih dibalut dengan fabrik dan kulit asal, DSR hanya melakukan pembersihan semula yang ekstensif.

Walau bagaimanapun, tombol gear Momo asal yang sudah terlalu lusuh terpaksa digantikan dengan tombol gear DSR. Ia juga diberikan set karpet kaki DSR dan juga set pedal aloi DSR yang nampak seiras dengan set pedal asli Satria GTI (DSR memang menggunakan khidmat pembekal asal set pedal Satria GTI tersebut bagi menghasilkan set repro berkenaan).

Pemilik Wira ini sekarang juga beruntung kerana pelindung matahari pada cermin belakang model istimewa ini masih lagi berfungsi. Manakala trim kayu pada papan pemuka kereta ini juga masih asli – untuk pengetahuan anda, trim kayu tersebut bukan diperbuat dari plastik seperti model-model Wira yang lain, sebaliknya trim bagi model 1.8 Limited ini memang diperbuat dari kayu sebenar!

Proton Wira 1.8 EXI DOHC ‘Tiang Gol’ 1996 hasil restorasi DSR – legenda yang dibangunkan semula!

Ruang bonet belakang ini juga menyimpan satu lagi khazanah yang mungkin kita tidak boleh jumpa lagi di mana-mana. Tayar gantian yang berada pada ruang tersebut adalah asli dari kilang yang tidak pernah digunakan (lihat pada kod DOT untuk tarikh produksi tiga digit yang digunakan untuk tayar sebelum tahun 2000 yang dicop, tertulis ‘236’ bermaksud minggu ke-23 tahun 1996).

Malah ia masih menampilkan satu ‘besen’ hitam yang di dalamnya mengandungi satu tong simpanan air, satu tong simpanan minyak pelincir, dan satu botol minyak brek, satu set perkakasan pembaikkan ringkas – kesemua ini adalah set asli yang dibekalkan secara standard untuk Wira edisi terhad berkenaan.

Rupa luaran Wira ini sudah tentu mahu dikekalkan se’original’ yang mungkin oleh pemilik baharunya. Selain dari warna Majorca Black, segala perincian-perincian unik untuk Wira 1.8 Limited turut masih lagi lengkap pada badannya. Ini termasuk lips spoiler opsyen pada bahagian bawah bampar hadapan, emblem ‘1.8 EXI DOHC’ yang hanya diberikan di bawah lampu signal fender sebelah kiri (ya, original memang sebelah sahaja), rim 14-inci lima jejari dari AAC, tip ekzos berkembar dan juga spoiler ‘tiang gol’ bersaiz besar yang dipasang oleh EON.

Kalau anda perasan, Wira ini tidak diberikan airbrush dengan logo DSR pada bahagian belakang seperti lazimnya kereta-kereta yang telah lengkap direstorasi oleh DSR sebelum ini. Ini kerana pemilik Wira tersebut mahukan kereta ini menampilkan rupa sehampir mungkin dengan rupanya ketika berada dalam bilik pameran pada tahun 1995-1996 dahulu.

Setelah siap bahagian luaran dan dalaman, tidak semena-mena pemilik ini menghubungi DSR agar suspensi dan juga unit rangkaian kuasa kereta ini turut disegarkan semula. Jadi, restorasi casis kereta ini juga kemudian disentuh oleh DSR, membabitkan rombak rawat semula yang dibuat pada sistem suspensi.

Selepas itu, enjin dan transmisi turut dibawa keluar bagi dibuat proses bluerprint – satu perkhidmatan signatur yang ditawarkan oleh DSR yang bukan sekadar membuat proses rombak rawat biasa, malah komponen-komponen dalam enjin berkenaan turut diimbang semula, kemudian dipasang kembali dengan had toleransi yang paling rapat, dan proses tersebut dibuat oleh pakar pembinaan enjin perlumbaan tempatan, SS Motorsport Garage.

Seperti yang pernah penulis sendiri rasai menerusi Satria GTI dan Satria R3 DSR sebelum ini, proses blueprint tersebut walaupun tidak melibatkan sebarang pemadanan komponen prestasi aftermarket, ia tetap menghasilkan respon kuasa yang jauh lebih baik dari asal, berfungsi dengan lancar dan stabil, sehinggakan anda boleh merasai kuasa enjin tersebut sentiasa mencukupi dan boleh memecut walaupun dengan gear lima.

Dalam masa yang sama, DSR turut membina semula sistem stereng kuasa, sistem pengecas, dan juga sistem pendingin hawa pada Wira berkenaan.

Proton Wira 1.8 EXI DOHC ‘Tiang Gol’ 1996 hasil restorasi DSR – legenda yang dibangunkan semula!

Enjin dan transmisi manual lima-kelajuan tersebut kemudian dimasukkan kembali ke dalam perut Wira ini, dan ruang enjin berkenaan juga disentuh semula bukan sahaja melibatkan penukaran/restorasi pada setiap nat dan bol, malah ia turut menerima pelbagai perincian oleh DSR sendiri seperti penutup cam valley aloi dan juga pemegang bateri berwarna merah lengkap dengan logo DSR, serta plat istimewa dengan nombor siri unik dilekat pada manifold kemasukan yang memberitahu bahawa enjin ini sudah menerima proses blueprint.

Habis cerita berkenaan Wira 1.8 yang direstorasi oleh DSR, tapi dikesempatan ini ada sedikit bingkisan yang ingin penulis kongsi bersama. Tahukah anda bukan semua Wira 1.8 adalah model Limited Edition? Ya, pada tahun 1996, Proton ada memperkenalkan model 1.8 EXI yang bukan edisi terhad, sebagai tambahan dari varian 1.3L, 1.5L, dan 1.6L sedia ada.

Model 1.8 EXI biasa berkenaan turut diberikan kod C99, namun ia hanya menerima enjin 4G93 SOHC bersama kotak gear automatik, tanpa tempat duduk Recaro, serta tanpa tombol gear dan roda stereng Momo. Sebab itulah model 1.8 EXI DOHC ini dilabelkan sebagai Wira 1.8 Limited Edition (LE) kerana dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad.

Seperti yang ramai tahu, Proton menghasilkan model LE ini adalah sebagai ‘homologation special’ untuk sukan rali, atau untuk mudah anda faham seperti Mitsubishi menghasilkan model Lancer Evolution atau seperti Toyota menghasilkan GR Yaris.

Proton Wira 1.8 EXI DOHC ‘Tiang Gol’ 1996 hasil restorasi DSR – legenda yang dibangunkan semula!

Namun anda jangan salah faham, Wira 1.8 DOHC ini bukan dihomologasi oleh Proton untuk membolehkan mereka bertanding di Kejohanan Rali Asia Pacific (APRC) atau Kejuaraan Rali Dunia (WRC) dengan menggunakan Lancer Evolution (cerita mengapa Proton dan Karamjit Singh boleh berlumba dengan Lancer Evo menggunakan logo Proton dalam APRC dan WRC boleh anda baca dalam artikel khas kami pada PAUTAN INI).

Sebaliknya, Wira 1.8 Limited Edition ini dihasilkan bagi memudahkan pasukan-pasukan persendirian bertanding dalam mana-mana rali di bawah seliaan FIA dalam kategori Group N. Menerusi undang-undang Group N, kereta-kereta yang bertanding mestilah kereta produksi yang sama seperti yang dijual dibilik pameran, serta menggunakan enjin, dan ketika itu masih perlu menggunakan kotak gear dan sistem brek yang sama.

Oleh itu, Wira 1.8 DOHC ini dihasilkan dengan kerangka yang lebih kuat berbanding varian Wira yang lain. Jadi untuk mentransformasi kereta ini kepada kereta rali, pemilik hanya perlu memasang rollcage serta peralatan keselamatan perlumbaan yang lain, dan ia sudah lulus untuk menyertai mana-mana rali.

Dan idea ini bukan sekadar idea. Ingat kereta Wira 1.8 DOHC EXI milik Suriya Sankaran sendiri yang pernah dipandu oleh juara dunia F1 tujuh kali Micheal Schumacher dengan kelajuan 236 km/j? (Kalau tak pernah, anda boleh baca artikel khas kami pada PAUTAN INI).

Proton Wira 1.8 EXI DOHC ‘Tiang Gol’ 1996 hasil restorasi DSR – legenda yang dibangunkan semula!

Wira 1.8 LE dengan livery perlumbaan Shell Helix tersebut bukan hanya sekadar kereta harian Suriya untuk ke tempat kerja dan sebagai pengangkutan utama keluarganya, malah dengan rollcage yang boleh dibuka dan dipasang kembali, Wira yang sama digunakan oleh Suriya untuk menyertai kejohanan rali peringkat nasional ketika itu, dan pernah berada dalam kelompok teratas kejohanan!

Mengikut syarat yang ditetapkan oleh FIA, Proton telah menghasilkan sejumlah 2,500 unit Wira 1.8 Limited Edition ini. Manakala 50 dari jumlah tersebut dihasilkan dalam versi RS – bermaksud ia adalah dari versi ‘kosong’ dengan badan berwarna putih, tanpa aksesori fancy dari Momo dan Recaro, tetapi ia diberikan kotak komputer enjin dengan talaan lebih agresif serta tidak mempunyai rev-cut dan speed cut. Model RS ini dihasilkan bagi lebih memudahkan pasukan lumba persendirian merubah kereta tersebut kepada kereta lumba.

Satu lagi fakta menarik, oleh kerana Wira yang dibeli pada mulanya memang untuk digunakan setiap hari, Suriya tidak membeli model RS, tetapi masih memilih model spesifikasi penuh 1.8 EXI DOHC yang biasa. Namun dengan kereta tersebut, ia masih mampu menggugat jentera-jentera lain yang hanya bertugas sebagai kereta lumba. Jadi jangan tanya kenapa Wira biasa anda boleh beli dalam harga RM5k-6k, tapi Wira 1.8 EXI DOHC ‘Tiang Gol’ ini sekarang dijual pada harga 5-6 kali lebih mahal!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required