Dream Street Restoration (DSR) merupakan antara pemain baharu yang sedang meningkat naik dalam scene permotoran tempatan di mana firma berkenaan kini menjadi peneraju sebagai pakar untuk merestorasi dan menambahbaik model-model lagenda Proton khususnya yang dijana enjin 1.8 liter 4G93P (dengan kod nama badan C99) iaitu Proton Satria GTI, Satria R3, Putra dan juga Wira 1.8 DOHC EXi (C99 Limited).
Kami sudah pun mendedahkan secara terperinci dua hasil kerja mereka sebelum ini iaitu Proton Satria GTI DSR-001-C99 dan juga Proton Satria R3 DSR-002-C99. Kami juga sudah mendedahkan siapa insan disebalik DSR ini dalam artikel khas yang kami tulis pada PAUTAN INI.
Menerusi artikel berkenaan, kami turut telah mendedahkan bahawa pengasas bersama DSR iaitu Suriya Sankaran bukan sahaja pernah berkhidmat dengan pasukan Proton R3, malah pada era penghujung 90’an dia juga merupakan pelumba rali persendirian yang bertanding dalam kejohanan peringkat nasional dengan memandu Proton Wira 1.8 ‘tiang gol’.
Sebagai sebuah model ‘homologation special’ oleh Proton, Wira 1.8 EXi berkenaan sememangnya jentera rali untuk jalan raya, dan sah untuk digunakan untuk mana-mana kejohanan rali yang dikawal selia oleh pihak FIA hanya dengan penambahan komponen-komponen keselamatan seperti rollcage.
Jadi sebagai pelumba persendirian, Wira tersebut bukan sahaja digunakan untuk berlumba, dengan rollcage yang boleh dibuka/pasang ia sebenarnya adalah kereta harian Suriya untuk membawa keluarga dan ke tempat kerja ketika itu!
Tambah menarik, ketika masih berkhidmat dengan Shell Malaysia dan menguruskan pergerakan kru pasukan Formula 1 Scuderia Ferrari Marlboro pada Grand Prix Malaysia 2003, Wira berkenaan telah menarik minat juara F1 tujuh kali (ketika itu baru lima kali) Michael Schumacher dan beliau meminta untuk mengujinya dari Hotel Pan Pacific di Sepang (selepas berakhir satu sidang media) ke Cyberjaya Lodge untuk satu lagi sidang media.
Peristiwa berkenaan sebenarnya sudah disiarkan dalam satu laporan akhbar pada waktu tersebut, dan sudah diketahui bahawa Schumi mencatatkan kelajuan maksima 236 km/j serta menyerlahkan kebolehan maksima Proton Wira berkenaan. Dan menerusi satu video terbitan DSR sendiri yang baru sahaja disiarkan, Suriya bercerita dengan lebih teliti tentang peristiwa yang tidak boleh dilupakan itu.
Kami sebenarnya bertuah kerana pertemuan pertama dengan Suriya Sankaran tahun lalu, dia turut membawa Proton Wira berkenaan yang kini masih berkeadaan baik serta masih dipandu setiap hari oleh anaknya yang juga pengasas bersama DSR, Dharveen Suriya.
Ia tidak lagi mengenakan livery perlumbaan Shell Helix ketika berlumba dahulu, sebaliknya telah dicat semula dengan warna putih. Rollcage juga sudah tidak lagi dipasang (ia masih disimpan dan boleh dipasang semula bila-bila masa), tetapi panel sumpguard pada bahagian bawah hadapan badan yang berfungsi untuk melindungi takung minyak enjin masih lagi dikekalkan.
Malah tandatangan Michael Schumacher yang dicerap dari tandatangan sebenar yang diturunkan pada pelapik bumbung telah dihasilkan semula pada bonet hadapan dengan teknik airbrush.
GALERI: Proton Satria GTi DSR-001-C99
GALERI: Proton Satria R3 DSR-002-C99